Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Tuesday, 27 May 2025


Pengenalan

Dalam era teknologi yang berkembang pesat, kewangan Islam kini sedang mengalami satu transformasi besar. Jika dahulu kewangan Islam dilihat sebagai sistem kewangan alternatif yang konservatif yang memerlukan prosedur ketat dan tertentu. Hari ini ia beradaptasi dengan era digital dan teknologi dengan memperkenalkan pelbagai inovasi yang mematuhi prinsip Syariah sambil memenuhi keperluan pengguna moden. Evolusi ini bukan sekadar penyesuaian kepada teknologi, malah ia mencerminkan keperluan kepada sistem kewangan yang lebih beretika, telus dan inklusif kepada masyarakay Islam seluruh dunia.

Asas Kewangan Islam

Kewangan Islam berpaksikan yang prinsip Syariah menekankan beberapa perkara sebagai asas yang membezakan kewangan islam dan konvesyional. Antara prinsip utamanya adalah larangan riba (faedah), perkongsian risiko (mudarabah, musyarakah), transaksi yang berasaskan aset sebenar (murabahah, ijarah), dan mengelakkan ketidakpastian (gharar) serta pelaburan dalam industri haram seperti alkohol atau perjudian.

Sebelum era digital, sistem kewangan Islam lebih bergantung kepada kaedah manual dan fizikal yang memerlukan kaedah bersemuka dalam menjalankan apa-apa transaksi termasuk pembiayaan dan pelaburan. Namun, dunia kini sedang bergerak ke arah pendigitalan penuh, dan sektor kewangan Islam tidak terkecuali.

Perubahan Landskap Kewangan Islam

Era digital telah membawa pelbagai inovasi dalam kewangan Islam yang memudahkan urusan penting tanpa mengabaikan prinsip utama dalam transaksi. Justeru kaedah pendigitalan dan inovasi ini telah membuka ruang baru kepada institusi kewangan Islam untuk menjalankan traksaksi lebih laju dan cepat. Antara inovasi yang berlaku dalam kewangan islam hari ni adalah:

  • Penggunaan e-KYC (Electronic Know Your Customer) untuk pembukaan akaun dan permohonan pembiayaan secara digital,
  • Platform pelaburan patuh Syariah automatik (robo-advisors),
  • Pembiayaan secara peer-to-peer (P2P) patuh Syariah,
  • Akad melalui elektronik auto-robotik – akad melalui platform SMS atau emel
  • Dan tokenisasi sukuk dan aset Islam menggunakan teknologi blockchain.

Inovasi-inovasi ini telah membantu menjadikan kewangan Islam lebih efisien, telus dan mudah diakses, terutamanya untuk komuniti yang sebelum ini terpinggir seperti kawasan luar bandar atau komuniti berpendapatan rendah yang mungkin jauh untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan di kawasan mereka.

Perbankan Digital Islam: Gabungan Teknologi dan Syariah

Kemunculan kaedah digital sepenuhnya merupakan antara pencapaian terbesar dalam evolusi ini. Di Malaysia, beberapa lesen bank digital telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, termasuk institusi yang berlandaskan prinsip Islam sepenuhnya.

Antara ciri utama penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kewangan islam adalah Chatbot AI yang menjelaskan kontrak-kontrak Islamik kepada pengguna, aplikasi mudah alih dengan fungsi pengiraan dan potongan zakat automatik, dan akses pembiayaan mikro secara mudah tanpa fizikal ke cawangan. Perkhidmatan sebegini mampu menarik masyarakat untuk lebih memilih produk kewangan islam yang selari dengan gaya hidup digital dan tanpa mengabaikan nilai keagamaan mereka.

Cabaran yang Dihadapi

Walaupun perkembangan ini positif, kita tidak boleh nafikan terdapat cabaran dalam mengembangkan inovasi ini. Antaranya adalah pematuhan Syariah dalam masa nyata amat kompleks terumata menggunakan teknologi seperti AI dan kontrak pintar, kekurangan standard global dalam pematuhan syariah melibatkan teknologi, dan kefahaman tentang kaedah syariah yang digunapakai oleh institusi kewangan.

Cabaran utama juga berkisar tentang isu keselamatan data dan siber yang masih membimbangkan. Keyakinan pelabur dan juga pengguna dalam memastikan keselamatan data serta mengelakkan kes penipuan atas talian ini memerlukan satu prosedur dan kerjasama rapat antara pihak keselamatan, pakar Syariah, pembangun teknologi, dan institusi kewangan itu sendiri.

Kesimpulan

Evolusi kewangan Islam hari ini bukan sekadar trend, tetapi ia telah menjadi satu keperluan. Dengan menggabungkan prinsip Syariah dan teknologi moden, kewangan Islam membuktikan bahawa agama dan inovasi boleh bergerak seiring. Malaysia, sebagai hub kewangan Islam global, mempunyai potensi besar untuk menerajui transformasi ini.

Kini, cabaran utama adalah memastikan setiap inovasi digital kekal berlandaskan nilai Islam, demi membina masa depan kewangan yang lebih adil, telus dan mampan.


Rujukan

  1. Bank Negara Malaysia (2024). Menggalakkan Sistem Kewangan Islam yang Progresif dan Inklusif (Laporan Tahunan 2024).
  2. Malaya Newsroom (2025)- Pendigitalan kunci tingkatkan ekosistem kewangan syariah - https://malayanewsroom.com/04/04/2025/pendigitalan-kunci-tingkatkan-ekosistem-kewangan-syariah/
  3. Co-opbank Pertama (2024)– Resolusi Jawatankuasa Syariah 2023
  4. Journal of Islam in Asia (IIUM) (2019) - ¤International Islamic University Malaysia (IIUM)Journal of Islam in AsiaVol. 16, No.  3. 2019E-ISSN: 2289-8077Islamic Finance in theDigital World: Opportunities and Challenges

 

Posted on Tuesday, May 27, 2025 by Mohd Syarizwan

No comments

Friday, 23 September 2016

Semalam merupakan hari pengundian untuk Pilihan Raya Kampus di UIAM atau dipanggil SRC General Election. Suasana meriah dan hangat mempromosikan calon-calon bertanding telah berlalu sepanjang dua hari. Walaupun bagi saya suasananya tidak semeriah tahun lepas, tapi cukup menarik untuk menggambarkan suasana demokrasi dalam memilih pemimpin dalam kalangan mahasiswa tetap subur. Melihat suasana ini, saya melihat ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi tentang mahasiswa dan politik.

Pilihan raya merupakan satu alternatif dalam memilih pemimpin untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sistem demokrasi yang dijalankan ini memberi peluang kepada rakyat untuk memilih siapa antara yang terbaik untuk dipilih berdasarkan peribadi dan manifesto yang disampaikan.

Di UIA ini, calon-calon yang bertanding mempunyai kelebihan dan manifesto-manifesto yang sangat menarik. Apa yang menarik, cara mereka mempromosikan diri mereka bukan sahaja melalui medium yang biasa, tapi mereka sama-sama duduk sebaris dalam satu program debat manifesto dalam memberi penerangan dan hujah masing-masing. Saya kira ini merupakan satu bentuk kematangan dalam politik.

POLITIK DALAM ISLAM

Dalam Islam, politik ini diajar dalam setiap sudut. Bagaimana seorang pemimpin itu bergaul dengan yang dibawahnya.  Bagaimana rakyat perlu menegur seorang pemimpin yang leka. Bagaimana amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin itu akan ditanya. Semuanya diajar dalam Islam melalui sunnah Rasul dan Kalam Allah (Quran). Begitu juga ia diajar melalui hikmah disebalik pensyariatan ibadah kepada Allah.


Pensyariatan solat jemaah bukan sahaja memberikan hikmah gandaan kebikan sebanyak 27 kali ganda, bahkan ia juga mengajar kita prinsip-prinsip utama dalam politik.


Pertama, ia mengajar kita tentang principle of election, cara kita memilih pemimpin. Untuk solat jemaah, untuk menentukan imam, ada kriteria-kriteria yang perlu diutamakan. Sebagai contoh, seseorang untuk dijadikan imam harus mempunyai akhlak yang baik, bacaan yang baik, ilmu yang baik. Begitu juga dalam menentukan pemimpin, perlu juga dilihat kepada kriteria-kriteria yang baik berdasarkan kepakaran, ilmu, akhlak, kepimpinan dan sebagainnya.


Yang Kedua, dalam solat, makmum sama sekali tidak boleh mendahului imam dan wajib mengikut imam dalam setiap pergerakan. Ini yang dinamakan principle of obedience. Orang yang dibawah wajib mengikut arahan pemimpin selagi mana ia tidak melanggar syariat. Dalam kepimpinan, ketua adalah orang bertanggungjawab memberi arahan dalam melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab, dan haruslah ia ditepati oleh orang yang dibawahnya.


Dalam solat juga, apabila Imam terlupa atau tersilap, makmum wajib menegur kesalahan tersebut dengan menyebut subhanallah. Begitu juga prinsip ketiga yang diajar melalui solat jemaah ini, iaitu principle of advices. Setiap ketua atau pemimpin yang tersilap wajib ditegur dan dinasihati. Namun, cara nasihat dan teguran itu hendaklah sesuai dan tepat. Sepertimana dalam solat, makmum tidak boleh sesuka hati menegur imam kecuali dengan menyebut subhanallah. Bermakna, menegur pemimpin juga hendaklah dengan cara dan nasihat yang baik.


Seterusnya keempat, ia mengajar principle of cooperation and ukhuwah. Makmum dalam solat jemaah mesti berada dalam satu saf yang lurus dan rapat. Oleh sebab itulah kebiasaannya imam akan perintahkan untuk rapatkan dan luruskan saf sebelum mula solat. Dalam kepimpinan dan politik, prinsip kerjasama antara ahli dan ukhuwah antara sesama mereka ini sangat diperlukan dalam melaksanakan sesuatu tugas.


Ada beberapa lagi prinsip lain sebenarnya yang ditekankan oleh Islam diajar melalui solat jemaah ini. Namun, prinsip utama diatas merupakan basic atau asas yang sangat penting dalam menjamin gerak kerja yang berkesan. Justeru, dalam kita berpolitik ataupun berada dalam mana-mana organisasi, kita perlu meletakkan hikmah agama itu lebih tinggi. 


PERLU ATAU TIDAK MAHASISWA TERLIBAT DALAM POLITIK?


Persoalan ini sering diajukan kepada mahasiswa. Perlu atau tidak? Pendapat saya, perlu. Terlibat maksudnya bukanlah sama-sama berkempen untuk pilihan raya sesuatu parti atau bertindak dalam mana-mana demonstrasi. Tetapi terlibat yang saya maksudkan adalah mengambil tahu dan memberi pandangan terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara kita. Ini Mahasiswa wajib ambil tahu.


Kenapa? Kerana mahasiswa yang ada inilah harapan negara dan bakal menjadi pemimpin rakyat. Justeru segala yang berlaku perlu diperjelaskan kepada mereka ini.


Platform Pilihan Raya Kampus (PRK) ini sangat sesuai bagi memberi gambaran dan pengalaman kepada mahasiswa untuk lebih matang dalam politik. Ini kerana mereka berpeluang melakukan yang terbaik dan membawa suara mahasiwa ke peringkat lebih tinggi dan mahasiwa sendiri yang memilih mereka secara demokratik dan legitimasi itu diberikan kepada mereka untuk memimpin mahasiswa.


Akhir kata, saya mengharapkan mereka yang dipilih ini mampu berkhidmat seikhlas dan sedaya mungkin. Ini bukanlah satu medium untuk mempromosikan nama atau menjadi glamor. Tetapi ini adalah platform untuk anda berkhidmat , mencurahkan bakti kepada mahasiswa dan menunjukkan yang terbaik bahawa kita mampu untuk memimpin negara dengan lebih baik.



Debat Manifesto calon-calon PRK UIAM bagi kuliyyah HS
Penerangan manifesto calon-calon bertanding


Kempen oleh calon yang bertanding

Posted on Friday, September 23, 2016 by Mohd Syarizwan

4 comments

Tuesday, 23 February 2016

Medium maklumat yang ada pada hari ini bukan lagi seperti dulu. Hari ini semua orang boleh mendapatkan maklumat dengan mudah. Bukan seperti dulu, hanya bergantung kepada medium akhbar dan warta berita. sekarang, akhbar terdapat dalam versi online, mudah dibaca, dan boleh diakses dimana-mana dan pada bila-bila masa. Ditambah lagi dengan medium media sosial seperti Facebook, Twitter,Whatsapp dan sebagainya. Setiap apa yang menarik pasti akan ada yang update dan memuat naik post tersebut di medium-medium tersebut.

Namun, kemudahan ini sebenarnya menimbulkan satu perkara negatif yang sukar untuk diatasi. Medium-medium yang digunakan ini membawa suatu kekeliruan kepada masyarakat kerana terlalu banyaknya maklumat yang diperoleh. Persoalan yang timbul dari isu ini, bagaimana cara kita menerima maklumat-maklumat ini. Ada antara kita yang apabila terima sahaja apa-apa maklumat, terus disebarkan tanpa membacanya. Ada juga yang apabila diterima, mereka terus mempercayainya dan keluarlah pelbagai teori konspirasi yang dianalisisnya. 
  
Adakah perkara ini perkara yang remeh? Sebenarnya ini satu yang serius. Maklumat-maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber ini membawa kepada satu kekeliruan dan boleh mengundang fitnah. Oleh sebab itu perlunya kita bersikap tabayyun.

Apa makna Tabayyun ini dan mengapa pentingnya bersikap seperti ini? Tabayyun adalah perbuatan menyiasat, menyelidik, dan mengkaji kesahihan sesuatu maklumat yang diterima daripada sumber yang belum pasti betul sebelum kita mengambil tindakan samaada untuk menerima maklumat tersebut atau menyebarkannya. Ia penting dan bertepatan dengan Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Ramai antara kita hari ini terlalu obses untuk menjadi pembawa berita tanpa menyelidik fakta dan kesahihannya. Ini yang menyebabkan berlaku banyaknya fitnah di laman sosial Facebook, Twitter dan sebagainya. Tabayyun ini sebenarnya menjadikan kita masyarakat yang matang. Tidak gelabah atau marah ketika menerima sesuatu maklumat.

Kadang-kadang yang menyebarkan berita-berita palsu ini mereka sendiri juga tidak faham dan tidak tahu isu sebenar. Cuma disebabkan ghairah mendapat berita yang panas dan mungkin akan mendapat perhatian, mereka terjerumus dalam masalah CPS (copy, paste dan share). Ada juga yang bersikap playsafe dengan menyebarkannya kemudian meletakkan caption "Copy & Paste dari Group Whatsapp sebelah". Adakah dengan meletakkan caption sebegitu maka ia dianggap membenarkan perbuatan tersebut? Apakah caption tersebut adalah satu autoriti untuk anda menyebarkannya?

Tabayyun ini mengajar kita untuk lebih rasional dan professional dalam menerima maklumat. Bukan sekadar terima dan share walaupun ia daripada sahabat baik kita. Pastikan sumber yang diperoleh itu adalah tepat dan dipercayai sebelum menyebarkannya kepada orang lain, takut-takut ia adalah satu fitnah dan kita termasuk dari golongan yang menyebarkan fitnah. Fitnah dan berita palsu ini banyak kesannya kepada masyarakat dan negara. 

Jadi, bertabayyun lah apabila menerima sesuatu maklumat. Jadilah masyarakat yang matang, bukan mengikut nafsu dan telunjuk syaitan.




Posted on Tuesday, February 23, 2016 by Mohd Syarizwan

1 comment

Friday, 6 November 2015

Ramai yang masih keliru berkenaan dengan bidaah dalam ibadah dan juga bidaah dalam perkara umum (duniawi). Hari ini ternyata timbul isu-isu yang melibatkan kedua-dua ini yang mengundang khilaf para ulama dalam menyatakan pandangan mereka terhadap isu-isu tersebut. Yang terbaru adalah berkenaan dengan isu berzikir sambil menari walaupun sebenarnya isu ini telah lama dipedebatkan.

Untuk meletakkan hukum pada isu tersebut bukanlah dalam bidang kuasa saya. Namun dalam isu ini saya lebih kecewa membaca komen-komen para pengguna media sosial yang menghentam para agamawan termasuk mufti dan ahli akademik yang lain. Tidak kurang juga da yang melabelkan mereka ini Syiah, Wahabbi, sesat, dan sebagainya. Ini sebenarnya boleh menimbulkan perpecahan dan persespsi negatif kepada golongan agamawan ini kerana hanya perbezaan pendapat.

Sebahagian pendapat yang menyatakan hukum ini haram kerana tiada dalil yang membenarkan ibadah itu dilakukan. Itu adalah betul. Dalam ibadah, setiapa perkara yang ingin dilakukan memerlukan dalil dalam membenarkanya. Berbeza dengan perkara umum yang lain seperti makanan, teknologi dan sebagainya.

Saya menulis ini kerana ada yang berhujah menyatakan mereka yang mengharamkan ibadah sebegini sesat. mereka membalas hujah dengan bertanya "kenapa naik kereta? sedangkan ia tidak ada zaman Rasululllah. jadi, adakah menaiki kerata haram kerana tidak terdapat dalil berkenaannya??" 

Baik, perkara ibadah dan umum seperti penggunaan kereta ini adalah dua hal yang berbeza dan tidak boleh dibandingkan. dalam melakukan ibadah (perkara agama), perlu ada dalil berkenaannya. Tetapi, dalam perkara umum, ia dibolehkan dan dihalalkan selagi mana tidak ada dalil mengharamkannya.


لاصل في العباده بطلان حتي يقوم الدليل علي الامر
"Asal hukum sesuatu perkara ibadah itu adalah haram/tidak sah, kecuali ada dalil yang memerintahkan."

Berkenaan dengan menaiki kereta atau seumpamanya, memang ia tidak ada pada zaman Rasulullah. tetapi ia dibenarkana kerana ia tergolong dalam kategori Maslahah Mursalah. 

الأصل فى الاشيأ الاباحة, حتى يدل الدليل على التحريم
"asal hukum perkara umum itu adalah harus, kecuali ada dalil yang mengaharamkannya"


Ini lah dua konsep yang berbeza yang perlu kita faham. Sebagai contoh, makan keropok lekor disalut cheese dan coklat kemudian digoreng bersama tepung. Itu dibenarkan. Apa pun resepi yang nak ditambah, silakan. tidak ada dalil yang mengharamkannya. Begitu juga dengan rambutan, durian, laksa, semuanya tidak ada dalil berkenaannya. Adakah boleh makan? ya boleh, kerana hukum asalnya harus.

Tetapi dalam ibadah lain. Seorang yang terlalu zuhud, ingin melakukan solat subuh 4 rakaat. Adakah boleh? Tidak kerana tidak ada dalil yang memerintahkan sebegitu.

Jadi dalam konteks isu yang disebutkan diatas, setiap ulama dan agamawan ada hujah mereka. Cuma orang awam yag tidak faham akan isu ini menjadikan isu ini rumit dan mengelirukan.

Apa-pun cubalah kita berlapang dada dan mengelakkan permusuhan. Bagi mereka yang kata boleh, ada hujahnya. Bagi mereka yang kata haram, ada juga pendapatnya. Jika kita rasa apa yang disampaikan oleh orang lain salah, maka perbetulkan lah dengan cara baik, bukan dengan mengeluarkan kata-kata kesat atau melabel dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

Yang penting bagi kita, cuba cari sebanyak mungkin ilmu, dan fahamkan. Berguru dengan mereka yang benar-benar arif dan beradablah dengan ilmu tersebut. Jangan angkuh dan takabur. Sekian Wallaua'lam...


Posted on Friday, November 06, 2015 by Mohd Syarizwan

7 comments

Monday, 23 February 2015



Berita Harian 23/2/15 - Mohd Syarizwan Mat Jenon
Artikel Penuh:


Langkah Tangani Ancaman Kumpulan IS

Pelbagai langkah perlu dalam menangani ancaman keselamatan global kerana  ia menjadi topik hangat di media termasuk sosial media. Isu yang dibincangkan banyak mengisarkan berkenaan dengan kumpulan militan IS yang dilihat semakin mengganas dengan beberapa ugutan dan pembunuhan tebusan secara kejam yang dipercayai dilakukan oleh mereka.

Ini mengundang persepsi negatif dan ketakutan terhadap isu keselamatan. Malaysia juga tidak terkecuali dalam ancaman tersebut. Ini berikutan daripada beberapa penahanan yang dibuat oleh Unit Anti-Pengganas PDRM terhadap beberapa individu rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas tersebut. Ada antara mereka menjadi ‘suicide bombers’ atau pengebom berani mati bagi kumpulan terebut dalam melancarkan serangan.

Meracuni pemikiran anak muda sertai IS
Laporan media juga menyebut bahawa dari Oktober hingga Disember tahun lalu, lebih 50 orang rakyat Malaysia terbabit dengan kumpulan tersebut. Ini membuktikan bahawa fahaman mereka telahpun memasuki negara kita dan cuba meracuni rakyat Malaysia terutamanya anak muda termasuk golongan bawah umur antara 14-18 tahun untuk menyertai mereka atas nama jihad.

Ini menimbulkan kebimbangan terhadap isu keselamatan negara kita. Kumpulan Pengganas IS ini dlihat lebih bahaya daripada kumpulan-kumpulan pelampau agama yang pernah dilaporkan di Malaysia sebelum ini. Ini dibuktikan apabila mereka semakin mengganas dengan beberapa ugutan dan pembunuhan tebusan secara kejam yang dilakukan oleh mereka. Justeru, kita perlu memandang serius perkara sebegini kerana ia boleh mengganggu gugat keamanan negara melalui ideologi-ideologi melampau walaupun atas nama agama, tetapi hakikatnya ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Pada tahun lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menyenarai hitamkan kumpulan tersebut. Ini bertujuan untuk membendung penglibatan rakyat Malaysia dalam kumpulan ekstremis IS. Walaupun ianya dilakukan atas nama jihad, umat Islam harus berhati-hati dengan perkara tersebut kerana ianya perlu difahami secara menyeluruh.

Beberapa penganalisis politik berpendapat bahawa tindakan mereka yang menyertai kumpulan terbabit adalah kerana dimanipulasi pihak tertentu. Ini kerana salah satu faktor yang menyumbang kepada mereka untuk menyertai IS adalah sifat simpati mereka terhadap saudara Islam diseluruh dunia yang sering ditindas. Mereka merasakan bahawa tidak ada keadilan terhadap umat Islam didunia dan mereka ingin membantu dengan cara mereka sendiri, walaubagaimanapun, niat mereka ini dimanipulasi  oleh pihak yang menawarkan jihad kepada mereka.

Ada antara mereka yang mempercayai bahawa kumpulan IS ini bertujuan untuk mengembalikan sistem khalifah bagi negara-negara Islam yang menyebabkan mereka tertarik dan terlibat dalam kumpulan tersebut. Walaupun secara rasionalnya ianya adalah alasan yang baik, namun pendekatan dan aktiviti yang dilakukan oleh mereka jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam terutamanya menurut Ahli Sunnah wa Al-Jamaah.

Pelbagai perkara perlu dilakukan oleh semua pihak bagi membendung aktiviti dan ideologi seperti ini terus merebak dalam kalangan anak muda. Ianya termasuklah mengawal dan meningkatkan tahap keselamatan siber atau ‘cyber security’. Hal ini kerana salah satu cara kumpulan IS ini mengrekrut anak muda adalah melalui laman sosial terutamanya Facebook.

Boleh serang melalui talian
Tidak dinafikan bahawa mereka boleh menyerang melalui talian dengan menggodam laman web tertentu untuk mencari maklumat dan mengancam keselamatan negara. Terrorisma berprofil tinggi seperti ‘hickjacking plane’ boleh berlaku akibat keselamatan siber yang rendah. Oleh itu, aktiviti siber dalam kalangan anak muda perlu dipantau secara serius.

Selain itu, kesedaran tentang bahayanya aktiviti radikalisma perlu diperluas kepada seluruh rakyat Malaysia melalui media, forum, dan juga khutbah Jumaat. Ini termasuklah dengan menerangkan apa yang berlaku di negara bergolak seperti Syria dan Iraq dengan lebih jelas dan tepat, selain meningkatkan kefahaman tentang manhaj wasatiyyah atau kesederhanaan dalam Islam secara tepat.

Seterusnya, kefahaman berkenaan jihad dengan lebih mendalam juga perlu dititikberatkan bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan ideologi-ideologi ekstremis yang sentiasa menular dan memperdayakan umat Islam terutamanya golongan muda tidak kira lelaki atau perempuan. Baru-baru ini juga seorang remaja perempuan ditahan di KLIA kerana ingin menyertai kumpulan IS dan difahamkan beliau diperdaya oleh seorang lelaki yang dipercayai bakal suami remaja terbabit. Ini menunjukkan bahawa mereka juga memperdaya anak muda di Malaysia dalam cinta.

Tidak dinafikan bahawa walaupun media sering melaporkan tentang kegiatan kumpulan IS, ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak faham dan keliru berkenaan dengan kumpulan tersebut. Ada yang menyoalkan tentang kewujudan mereka. Hal ini kerana mereka tidak mempercayai apa yang dilaporkan media dan menganggap ini hanyalah sekadar rekaan. Sesetengah masyarakat dunia juga masih lagi mengaitkan kumpulan tersebut dengan agama Islam walhal ia jauh daripada ajaran Islam yang menitik bertakan keamanan dan kesejahteraan. Justeru, sebagai umat Islam, kita perlu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan sejahtera.

Posted on Monday, February 23, 2015 by Mohd Syarizwan

No comments

Sunday, 22 February 2015


Kadang-kadang, saya melihat bahawa sebahagian daripada masyarakat kita mempunyai sati sifat ego yang tinggi. Sukar menerima pandangan. Tidak kira pangkat atau darjat, dari golongan atasan, juga golongan bawahan iaitu rakyat. Masing-masing ingin menunjukkan bahawa merekalah yang mulia dari yang lain. Merekalah yang berhak memiliki kuasa. Pendapat merekalah yang terbaik.

Inilah satu sifat yang melanda masyarakat kita hari ini. Bila ditegur, maka akan ada yang melatah dan naik ingin. 

Tidak salah jika kita mempunyai idea atau pendapat, bahkan digalakkan untuk kita suarakan. Namun kita tidak berhak memaksa orang lain untuk menerima idea kita sebulat-bulatnya. Kita juga harus membuka minda dan hati untuk menerima pendapat orang lain.

Namun, apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, masing-masing ingin mempertahankan ego mereka. Ini berlaku dalam setiap skop kehidupan kita terutamanya dalam minda politik di Malaysia.

Perkara sebegini bukan sekadar menyukarkan kita untuk bersatu padu, bahkan ianya memarakkan lagi api permusuhan yang sedia ada.

Allah SWT berfirman melalui surah al-Hujurat, ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِير
Yang Bermaksud:
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Kita semuanya sama, dan yang membezakan antara kita adalah taqwa kepada Allah SWT.

Kita memerlukan perpaduan dan penyatuan dalam memajukan agama, bangsa dan negara kita. Jika masing-masing tidak mahu mengetepikan ego dan terus bermusuhan, maka kita akan terus mundur.

Iktibar dan pengajaran dari kisah yang dibawa oleh al-Quran sepatutnya menjadi contoh kepada kita. Antaranya ialah kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar dan juga kisah penyatuan Kaum Aus dan Khazraj. Kerana perpaduan yang dibawa itulah mereka berjaya membangunkan sebuah negara Islam bernama Madinah bersama Rasulullah. Sebaliknya, jika kita saling bermusuhan kerana ingin mempertahankan ego, masih jauh perjalanan kita dalam menuju kejayaan sebenar.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُون

Maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.


Semoga satu hari nanti kita semua bersatu atas nama Islam dan masing-masing saling menerima tanpa mengira perbezaan politik, warna kulit, pangkat, ataupun darjat.

Posted on Sunday, February 22, 2015 by Mohd Syarizwan

1 comment

Wednesday, 27 August 2014

artikel disiarkan Berita Harian 27 Ogos 2014

artikel penuh:

Fahami Konsep Wasatiyah Hindarkan Diri Dari Ekstrimis Agama
oleh: Mohd Syarizwan

Islam seringkali dipandang dengan imej buruk oleh masyarakat barat dek kerana pelbagai fitnah yang terlempar dari apa yang berlaku di sesetengah tempat. Ia bukanlah isu yang baru timbul. Islam telah digambar secara melulu dan menjadi mangsa kepada perlakuan segelintir manusia yang tidak memahami Islam dengan sepenuhnya tetapi mengaku perlakuan mereka sebagai Islamik.

Ini ditambah dengan kemunculan sebuah kumpulan yang menggelarkan mereka sebagai Islamic State of Iraq and Levant (ISIS atau ISIL).  Ini mencemarkan lagi imej Islam dengan tindakan mereka yang bertentangan dengan Islam. Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi selaku ketua Kesatuan Ulama Dunia juga menyuarakan isu ini yang mengisytiharkan mereka ini bukan dari kumpulan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Perbuatan oleh puak pelampau agama ini disebut sebagai al-Ghuluw didalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar di dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang terdahulu yang telah sesat (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakkan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." (Surah al-Ma'idah, 5: 77).

Golongan pelampau atau lebih popular dengan gelaran ekstrimis ini menjadi duri dalam Islam. Ini merupakan fitnah terbesar kepada Islam. Malaysia juga tidak terkecuali dari golongan seperti ini. Mereka telah pun diharamkan dan diisytiharkan sebagai kumpulan merbahaya kerana mengancam keselamatan negara dan terpesong dari aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Baru-baru ini juga pihak polis telahpun melaporkan penahanan beberapa orang rakyat Malaysia yang mengancam untuk mengebom kilang arak di Shah Alam. Perancangan pengeboman itu disifatkan ala ISIL kerana antara mereka dipercayai terlibat dengan kumpulan militan di Syria itu.

Perkara sebegini harus diambil serius kerana ia boleh mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara disamping pemesongan akidah umat Islam. Hal ini kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk melampaui batas dalam sesuatu perkara bahkan peperangan dalam Islam sendiri amat mementingkan etika dan akhlak terhadap musuh dan rumah-rumat ibadat.

Ini dilihat melalui firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke-190 yang bermaksud “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”  Sebagai umat Islam yang berpegang pada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah, kita harus menghindarkan diri dari perbuatan-perbuatan yang melampaui batas kerana ia boleh menjadi fitnah untuk Islam itu sendiri dan menjadi satu senjata untuk musuh dalam menjatuhkan Islam.

Manhaj wasatiyah (kesederhanaan) dalam Islam merupakan doktrin penting dalam mengelakkan diri terjebak dengan isu-isu sebegini. Islam merupakan agama yang indah lagi mudah. Al-Qaradhawi menerangkan dua faktor dalam keruntuhan umat Islam adalah disebabkan al-Ghuluw (berlebihan atau melampau) dan al-Inhilal (terlalu bebas tanpa batasan). Islam berada ditengah antara kedua-duanya. Islam menolak perkara-perkara ekstrim dan juga kebebasan yang terlampau luas.

Justeru konsep wasatiyah merupakan pemikiran yang membawa kearah Islam yang sebenar. Wasathiyah yang menjadi perbincangan kita adalah konsep kesederhaan atau pertengahan atau seimbang antara ketuhanan-kamanusian, kerohanian-kebendaan, ukhrawi-duniawi, wahyu-akal, individu-masyarakat, dan realiti-keunggulan. Umat Islam hari ini perlu memahamkan diri dengan konsep ini supaya tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang membawa kepada ekstrimism seperti ISIS atau ISIL.

Salah satu ciri kefahaman wasathiyah dalam Islam adalah ialah kefahaman Islam yang syumul. Islam berdiri diatas semua cabang kehidupan manusia seperti akidah, undang-undang, muamalat, ibadat, akhlak, budaya, penampilan, dan sebagainya. Kefahaman yang sepenuhnya tentang Islam dapat menolak pemikiran sesetengah masyarakat yang hanya tertumpu kepada ibadat semata-mata dan ada juga menganggap Islam ini hanya hanya ritual keagamaan sahaja tidak pada perniagaan, kerja, pergaulan, pemakaian, dan lain-lain.

Kedua, sumber utama kepada kefahaman Islam ini mestilah al-Quran dan al-Sunnah. Allah menurunkan kitab al-Quran sebagai ‘gudance book’ atau buku panduan untuk manusia. Begitu juga pengutusan rasul-rasul-Nya. Ia adalah sumber utama dalam memandu manusia kearah kebenaran sepertimana hadis Nabi SAW: “aku tinggalkan kamu dua perkara. Jika kamu berpegang teguh pada kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.” (hadis riwayat Muslim)

Ketiga, konsep wasatiyah ini menekankan nilai-nilai akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW. Ini dibuktikan melalui sabda baginda SAW, “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” (hadis riwayat al-Bukhari). Nilai-nilai ini bukan sahaja tertumpu antara sesama muslim, bahkan Nabi mengajar untuk berbuat baik kepada bukan muslim. Akhlak Islamiyah ini juga dipraktikkan dalam perang iaitu akhlak terhadap tawanan perang, rumah-rumah ibadat dan orang yang tidak berdaya. Justeru, ini menempelak tindakan kumpulan ekstrimis ISIL yang menyebarkan tindakan kejam mereka terhadap tawanan perang di internet.

Kesimpulannya, umat Islam harus berusaha memahami konsep wasatiyah ini dalam mengelakkan diri daripada terjebak dengan kumpulan-kumpulan ekstrimis. Tindakan golongan tersebut juga memberi kesan negatif kepada mujahidin yang ikhlas berjuang dalam menegakkan syiar Islam yang terpalit sama dengan kontroversi golongan ekstrimis ini. Umat Islam harus berfikir dengan lebih matang dalam setiap tindakan supaya ia tidak menjadi fitnah kepada Islam termasuk etika kita dalam kempen boikot.

*Berita Harian 27 Ogos 2014

Posted on Wednesday, August 27, 2014 by Mohd Syarizwan

No comments

Sunday, 20 July 2014


Oleh: Mohd Syarizwan

Sejarah merupakan satu elemen penting dalam kehidupan. Sejarah sendiri mempunyai pelbagai definisi yang diketengahkan oleh ahli sejarah terdahulu. Menurut Donald V. Gawronski, beliau mendefinisikan sejarah sebagai satu catatan atau rekod masa lalu atau sebahagian dari masa lalu (lihat Gawronski, Donald V, History: Meaning and Method, Foreman and Company, Scott, 1969). Kalau dilihat kepada definisi tersebut, ianya melibatkan tempoh masa yang telah berlalu dalam kehidupan manusia. Namun walaupun ianya telahpun berlalu, ia amat penting untuk suatu tamadun manusia.

Dalam Islam sendiri sejarah amat memainkan peranan dalam membentuk peribadi manusia. Oleh kerana itu, al-Quran yang diturunkan bukan sahaja untuk memberitahu mengenai hukum-hukum, tetapi didalamnya terkandung sejarah tamadun tamadun terdahulu sebagai pengajaran untuk kita semua. Sebagai contoh, bagaimana Allah merakamkan dalam al-Quran kisah umat yang diturunkan azab terhadap mereka seperti kaum Lut, A’d dan Thamut. Ahli sejarah dalam kalangan muslim juga cuba untuk menerapkan kepentingan sejarah melalui karya mereka seperti al-Muqadimmah karya Ibnu Khaldun dan Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk (sejarah para Rasul dan Raja-raja) karya Al-Tabari.

Pemahaman sejarah itu penting kepada semua generasi terutamanya umat Islam sendiri. Sarjana sejarah Islam seperti Ibnu Khaldun sering mengetengahkan bahawa intelektual dan spritual umat terdahulu telahpun berjaya membentuk kegemilangan tamadun Islam. Namun, dalam pada itu, kita juga jatuh kerana kekurangan elemen tersebut. Salah satu faktornya adalah kerana kita melupakan sejarah.

Mari kita ingat kembali ucapan yang diungkapkan Tun Dr Mahathir sebelum beliau menyatakan perletakan semua jawatannya dalam parti (Perhimpunan Agong Umno 2001). Beliau menyatakan bahawa melayu mudah lupa. Berulang-ulang kali beliau mengungkapnya. Apakah signifikasi ungkapan tersebut? Dalam satu buku bertajuk “Jejak Seorang Pemimpin: Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir”, beliau ada menjelaskan mengapa beliau berkata sedemikian. Ini kerana beliau melihat bahawa anak muda kita semakin lupa akan asal-usul dan sejarah mereka sendiri. Ini yang mengecewakan beliau. Justeru, kita tidak patut melupakan sejarah kerana menurut George Santayana, sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginnya berkali-kali. Sejarah itulah panduan terbaik kita.

Sebagai contoh, saya ingin mengajak para pembaca kembali merenung tentang sejarah kewujudan sekularisma dalam dunia ini. Ramai menyangka bahawa Mustafa Kamal Atartuk merupakan orang pertama yang mengasaskan pemikiran yang disebut sekularisma itu. Namun, sebelum pada itu, Perancis merupakan negara sekular pertama yang mengisytiharkan agama dipisahkan dari pentadbiran politik negara pada tahun 1789. Hal ini kerana pada ketika itu orang melihat bahawa peranan agama dan golongan gereja ini terlalu mengongkong kehidupan rakyat. Selain itu, peranan gereja juga seolah-olah dilihat tidak masuk akal dengan penjualan sijil pengampunan dengan harga yang mahal. Begitu juga konkongan gereja terhadap penemuan sains sehingga beberapa saintis ketika itu dihukum. Itulah yang berlaku pada zaman gelap akibat daripada kesilapan memahami dan pemesongan dalam kalangan ahli agama.

Berbalik pada apa yang berlaku di negara kita hari ini, saya melihat ada segelintir antara kita yang tidak memahami sepenuhnya konsep dalam Islam itu sendiri. Ini boleh mengakibatkan satu fitnah besar terhadap agama yang boleh mengakibatkan sejarah dahulu berulang. Ramai yang memperlihatkan kejahilan mereka tentang agama secara terang-terangan sehingga umat Islam dan bukan Islam melihat bahawa Islam ini agama yang terlalu mengongkong dan tidak masuk akal. Perkara sebeginilah yang memalukan agama dan diri kita sendiri sedangkan Islam itu mudah dan indah. Secara jujurnya, saya merasakan kita berada dalam keadaan yang agak bahaya dan kritikal dengan pencemaran imej Islam oleh pihak-pihak yang tertentu.


Oleh sebab itu, kita perlu mengambil pengajaran dari apa yang berlaku pada sejarah lampau. Kita perlu mengkaji dan mejejaki semula jejak tamadun terdahulu dari segi kebangkitan, kegemilangan dan juga kejatuhan. Jika yahudi boleh mengkaji tentang sejarah Islam, mengapa tidak kita sendiri yang mengkaji sejarah kita untuk bangkit. Semuanya mempunyai signifikasi dan pengajaran tersendiri untuk masa hadapan. Sepertimana yang ditulis oleh Donald W. Whisenhunt dalam The Importances of History (Kepentingan Sejarah), beliau menegaskan bahawa sejarah penting untuk merancang masa hadapan kerana setiap keputusan seseorang atau sesebuah negara adalah berdasarkan masa lalu (lihat Whisenhunt, Donald W, A Student’s Introduction to History 2nd Edition, American Press, Boston, 1993). Jadikanlah sejarah itu guru kita seperti lirik lagu doa buat kekasih, nyanyian Ramli Sarip, “sejarah, mengajar kita, menjadi lebih dewasa..”

Posted on Sunday, July 20, 2014 by Mohd Syarizwan

1 comment

Tuesday, 15 July 2014

Oleh: Mohd Syarizwan

Mungkin ramai yang mengikuti apa yang berlaku pada dunia Islam hari ini. Keadaan di negara-negara bergolak semakin serius dan menghadapi tekanan yang agak kuat dari pihak-pihak tertentu. Keamanan mereka dirobek dan kehidupan mereka tidak lagi aman seperti mana biasa. Itulah yang berlaku di Syria, Iraq dan juga Palestin. Konflik yang tidak berkesudahan itu seolah-olah semakin meruncing dengan timbulnya banyak persoalan baru.

Konflik di Syria dan Iraq

Dunia telah digemparkan dengan pengumuman pembentukan negara Islam Khalifah yang dibuat oleh satu pihak yang mendakwa bertanggungjawab atas segala hal umat Islam didunia ini. Pengumuman yang dibuat oleh Abu Bakr al-Baghdadi yang menggelar dirinya sebagai Khalifah Ibrahim itu telah mengundang pelbagai reaksi dari banyak pihak termasuk ulama-ulama sunni yang ada menyokong dan ada juga yang membangkang serta mempertikaikan tindakan penubuhan itu.

Sejak pengumuman itulah, dunia hari ini semakin tahu mengenai penubuhan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syams (ISIS) atau (ISIL) dan sedar akan kewujudannya. Namun banyak pertikaian dan persoalan timbul mengenai penubuhan kumpulan tersebut. Penubuhan kumpulan tersebut adalah bertujuan mengembalikan sistem khalifah dalam majoriti sunni di negara Iraq dan juga sekitarnya, termasuk Syria. Jika dilihat pada tujuan asal kumpulan tersebut, kita akan percaya dan mungkin bersetuju dengan penubuhan dan tujuan tersebut.

Konflik di Iraq dan Syria ini sebenarnya mempunyai persamaan apabila dilihat kepada sejarah kejatuhan Empayar Soviet Union oleh mujahidin Afghanistan pada 1991. Mujahidin Afghanistan seolah-olah diperalatkan dan diperkuda barat hanya untuk kepentingan mereka. Setelah kepentingan tersebut diperoleh, perjuangan mereka seolah-olah sia-sia ibarat habis madu sepah dibuang. Itulah yang berlaku sehingga mujahidin ini diiktiraf sebagai kumpulan militan dan ‘terrorist’ hingga hari ini walaupun pada awalnya, AS merupakan pendukung besar dibelakang kumpulan tersebut.

Berbalik kepada apa yang berlaku pada kumpulam ISIS, banyak pihak mempersoalkan siapakah yang menjadi pendukung dibelakang kumpulan ISIS atau ISIL ini. Trak-trak tentera baru yang direka khas dan bantuan persenjataan buatan AS ini menimbulkan persoalan kepada kita dari mana datangnya dana yang besar tersebut sehingga mereka berjaya menawan daerah kedua terbesar di Iraq iaitu Mosul.

Jika dilihat dari satu sisi yang berbeza, mungkin itu satu kejayaan. Namun cara mereka berjihad juga dipertikaikan. Reaksi sama juga turut dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Dunia, Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi yang tidak mengiktiraf Kumpulan ISIS ini mewakili ahl Sunnah wa al-Jamaah. Begitu juga pendapat yang dinyatakan oleh ulama salafi dan Mufti Jihad lain seperti Adnan al-Aroor dan Abu Basir al-Tartusi yang mengatakan mereka tidak mewakili Sunni tetapi mereka lebih kearah Khawarij. Ini kerana konflik yang berlaku bukan sahaja antara ISIS dan regim al-Assad, tetapi juga antara ISIS dan kumpulan jihad Islami yang lain seperti Jabhah al-Nusra.

Tambahan lagi, menurut penyaksian daripada al-Hammam al-Suri (bekas tentera al-Qaeda dan ketua sayap Jabhah al-Nusra) kumpulan ISIS juga menyerang mereka kerana mereka tidak mahu berbaiah kepada ISIS sehingga kumpulan jihad yang lain juga digelar murtad oleh ISIS dan perlu diperangi menurut ISIS. Begitu juga tindakan mereka yang membunuh kejam tawanan perang yang tersebar. Islam tidak pernah mengajar tindakan sedemikian walaupun terhadap tawanan perang.

Justeru, konflik yang berlaku sebenarnya memberi kesan kepada dunia Islam lain. Ini melihatkan tiada penyatuan dalam Islam sehingga mereka saling berbunuhan menjadikan mereka serampang dua mata dengan mempunyai dua musuh pada masa yang sama. Begitu juga kita melihat bahawa ramai anak muda yang ingin menjihadkan diri termasuk di Malaysia, namun diperdaya oleh kumpulan yang tidak benar jihadnya kerana terlalu banyak kumpulan yang ditubuhkan dan masing-masing mempunyai matlamat yang sama tetapi cara-caranya lain-lain.

Mengapa kita tidak mengambil pengajaran dari kisah perang Afghanistan dan Soviet tersebut? Kesannya bukan hanya melibatkan mereka, tetapi Islam keseluruhannya. Itulah yang berlaku selepas peristiwa 9/11 yang menyebabkan umat Islam keseluruhannya menjadi mangsa kepada “War of Terror” dan menjadi alasan untuk AS menceroboh Iraq demi memonopoli kepentingan mereka.

Tidak mustahil sekali lagi kita akan diperkuda barat jika kita terus mengulangi sejarah yang sama. Kita tidak mahu matlamat kita tercapai tetapi pada akhirnya kita diambil kesempatan sehingga impak besar menimpa kita. Konflik ini mugkin juga tidak akan berakhir jika terus bermusuh sesama sendiri. Andai kata kuasa pemerintahan Syiah dijatuhkan di Iraq dan Syria, apa yang berlaku pada kumpulan-kumpulan ini? Mungkin sahaja perang sesama sendiri pula berlaku untuk merebut kuasa. Akhirnya, barat juga yang berjaya mengambil kesempatan.

Begitu juga di negara kita sendiri, jika antara kita terus bermusuh dan berbalah hanya kerana perbezaan politik, tidak mustahil kita juga turut menerima nasib yang sama. Noah Feldman dalam bukunya ada menegaskan bahawa negara Islam moden boleh memberikan keadilan politik dan undang-undang untuk muslim melalui syariah,tetapi institusi itu harus mempunyai satu kuasa seimbang dalam perlembagaan tanpa korupsi (lihat Noah Feldman, The Rise and The Fall of Islamic state, 2012, New Jersey)

Pada hakikatnya, memang kita memerlukan sistem khalifah untuk mentadbir negara-negara Islam ini seperti mana zaman kegemilangan Islam dahulu. Kita juga sering melihat kepada pembentukan negara Islam pertama yang diasaskan oleh Nabi Muhammad sebagai satu contoh terbaik. Namun, sayangnya, kita hanya melihat pada fasa madinah tersebut tidak pada fasa Makkah sebelum pembentukan negara Islam tersebut.

Berbalik kepada sirah dahulu, fasa Makkah yang saya maksudkan adalah pentarbiahan jiwa dan rohani umat Islam yang mengambil masa 23 tahun lamanya. Jika diikutkan secara logiknya, Rasulullah boleh menerima tawaran dari Abu Jahal yang menawarkan kepada baginda kuasa, wanita dan harta sebagai syarat untuk berhenti berdakwah. Mungkin sahaja baginda menjadi pemimpin dan lebih mudah untuk mempengaruhi kaum arab pada masa itu untuk menyembah Allah.

Namun, apa yang berlaku, baginda menolak tawaran tersebut kerana membina negara Islam bukanlah suatu yang mudah tanpa pentarbiahan dan pemahaman kepada mereka. Baginda dan sahabat memperkukuhkan tarbiah dan tauhid kepada Allah dengan sepenuhya dalam masa yang agak lama sebelum fasa pembukaan Madinah.

Begitulah juga dalam konteks untuk mewujudkan satu perundangan Islam yang sistematik, ianya bukanlah semudah membina istana pasir. Ia memerlukan suatu pemahaman yang jelas dan praktikal yang cukup. Sebagai contoh, perlaksanaan hudud itu perlu diberikan satu pemahaman yang jelas kepada rakyat sebelum pelaksanaan. Agak sukar dilakasanakan dalam konteks rakyat Islam sendiri belum memahami perkara tersebut. Itualah salah satu fungsi kepimpinan negara.

Begitu juga untuk membina sistem khalifah. Saya suka untuk mengambil contoh dari sejarah pembukaan kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Baginda mempersiapkan tenteranya dan diriya dengan pentarbiahan yang agak kemas dari segi fizikal dan spritualnya. Walhal, generasi sebelum baginda termasuk ayahanda baginda Sultan Abdul Murad telah pun mencuba untuk menawan kota tersebut tetapi gagal. Hanya dengan berbekal hadis nabi yang menyatakan bahawa hanya sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpin akan membuka kota tersebut.

Pengajaran dari kisah sejarah tersebut jelas menunjukkan perancangan rapi dan pentarbiahan jiwa dan rohani itu penting dalam membentuk kejayaan. Jihad bukanlah suatu perkara yang ringan. Kerana itu berjihad itu juga memerlukan jiwa bukan sahaja fizikal seperti mana difirmankan oleh Allah : “ Wahai orang-orang yang beriman, hendakkah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman terhadap Allah dan RasulNya serta berjihadlah di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang terbaik bagimu jika engkau mengetahui.” (surah as-Saff : 10-11)


Justeru, marilah kita sama-sama mempersiapkan diri kita dengan secukupnya. Fahami sebetul-betulnya apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Pembinaan daulah dan khalifah Islamiah itu bermula dari Fardhu muslim yakni diri kita sendiri.


Posted on Tuesday, July 15, 2014 by Mohd Syarizwan

2 comments