Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Wednesday, 1 January 2025

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu dasar pembangunan sosioekonomi penting yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1971 dan dilaksanakan sehingga 1990, selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua. Dasar ini digubal selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, yang telah mendedahkan ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum dan ancaman terhadap perpaduan negara. 

Matlamat utama DEB adalah untuk mewujudkan perpaduan nasional melalui pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan adil. Bagi mencapai matlamat tersebut, DEB berteraskan dua strategi utama. Pertama, membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dengan meningkatkan pendapatan, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta menaikkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar. Kedua, menyusun semula masyarakat bagi mengurangkan dan akhirnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi, seperti pekerjaan dan lokasi tempat tinggal.

Melalui pelaksanaan DEB, kerajaan memberi penekanan kepada peningkatan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi moden, termasuk pemilikan ekuiti, pendidikan, keusahawanan dan jawatan profesional, tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain. Pelbagai program dan agensi ditubuhkan untuk menyokong usaha ini, di samping membangunkan infrastruktur serta peluang ekonomi di luar bandar.

Secara keseluruhannya, DEB telah membawa kepada pembangunan ekonomi yang lebih pesat dan membantu mengurangkan kadar kemiskinan serta jurang ekonomi antara masyarakat. Walaupun tempoh rasmi pelaksanaannya tamat pada tahun 1990, roh dan prinsip DEB masih diteruskan melalui dasar-dasar pembangunan negara yang lain, seperti Dasar Pembangunan Nasional (DPN), demi memastikan kestabilan, keharmonian dan kemajuan Malaysia yang berterusan.

Muat turun Nota : 

Nota: Analisis DEB


Posted on Wednesday, January 01, 2025 by Mohd Syarizwan

No comments

Saturday, 30 September 2017




Forum@BH 30 Ogos 2018

Pelihara Identiti dan Sejarah Negara Tanda Semangat Patriotisma
Oleh: Mohd Syarizwan Mat Jenon

Identiti sesebuah tamadun itu merupakah antara anugerah yang perlu dipelihara oleh setiap lapisan generasi untuk menjadikannya sebagai pengajaran sejarah dan membantu generasi akan datang memahami cara hidup orang lama. Identiti boleh ditakrifkan sebagai sifat-siat atau ciri-ciri yang terdapat pada seseorang atau sesuatau yag sebagai suatu keseluruhan memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada orang lain. Ia juga boleh dirujuk sebagai aspek-aspek tertentu yang dapat menunjukkan sifat diri seseorang keperibadian atau adat resam dan kesenian yang dapat melambangkan sekumpula masyarakat.

Ia bermaksud identiti sesebuah bangsa itu juga menjadi satu pengukur untuk ianya dihormati dan dikenali oleh masyarakat luar. Setiap bangsa yang diciptakan Tuhan mempunyai identiti yang berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri dalam membentuk sesebuah masyarakat. Ia difirmankan sepertimana yang terkandung dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan daripada kamu seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum agar kamu saling mengenal”.

Perbezaan identiti yang memberi keunikan itu semestinya perlu dipelihara agar ia tidak hilang ditelan zaman terutamanya yang melibatkan sejarah peradaban sesebuah bangsa. Dalam perlembagaan Malaysia, beberapa perkara termaktub bagi tujuan tersebut. Sebagai contoh Bahasa Melayu yang pernah menjadi sebagai lingua franca ketika zaman kegemilangan Melayu Melaka. Seharusnya sebagai rakyat yang mempunyai jiwa bangsa yang tinggi dan patriotik, Bahasa Melayu yang dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaaan perlu diperluas dan diutamakan terutamanya dalam hal ehwal pentadbiran dalam negara.

Begitu juga dengan kefahaman sejarah negara. Kegagalan rakyat sendiri memahami sejarah negara boleh menyebabkan perjuangan yang ditegakkan sekian lama oleh pejuang-pejuang dahulu tidak lagi dihargai dan tidak hairan jika semakin hari semakin hilang nilai bangsa untuk kita amalkan. Apatah lagi jika ia berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara. Sejarah bukan sahaja menjadi pengajaran untuk kita hargai, tetapi ia merupakan satu penanda aras untuk menentukan kemajuan sesebuah bangsa. Begitulah seperti yang diungkapkan oleh ahli falsafah Roman, Cicero (106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore menyatakan “historia est magistra vitae” yang bermaksud sejarah merupakan guru terbaik dalam hidup. Elemen sejarah ini harus diterapkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.

Tidak dinafikan peredaran zaman sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada nilai sejarah dan identiti bangsa. Jika dahulu orang melayu amat bangga memperagakan busana tradisi melayu ketika sambutan hari raya. Namun hari ini, busana tradisi melayu hanya dipakai oleh segelintir sahaja masyarakat kita ketika majlis-majlis, bahkan ada juga yang masih tidak tahu tentang etika pemaikaian baju kebangsaan terutamanya yang melibatkan majlis rasmi.

Hargai perjuangan orang lama
Sebagai rakyat yang hidup dalam persekitaran yang harmoni dan aman dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kita seharusnya bersyukur dan berbangga kerana keunikan itu mungkin tidak dapat dilihat di tempat lain. Oleh itu, salah satu manifestasi rasa syukur kita adalah dengan menghargai apa yang telah dijuangkan oleh orang terdahulu.

Sejarah perjuangan dalam menegakkan kemerdekaan dan keamanan ini bukanlah suatu yang mudah. Justeru generasi yang lahir dalam zaman yang telah mencapai kemajuan ini harus kenal dan tahu tentang apa yang berlaku suatu ketika dulu. Oleh sebab itu lah pengajaran sejarah di peringkat sekolah perlu ditekankan bukan sekadar subjek untuk menduduki peperiksaan semata-mata.

Pelihara khazanah, sejarah
Selain itu, usaha yang menyeluruh dari pelbagai pihak juga perlu untuk memelihara khazanah dan tinggalan sejarah dari setiap sudut termasuklah catatan-catatan bekas pemimpin, gambaran peritiswa menarik, atau dokumen-dokumen pentadbiran yang sangat berguna untuk dijadikan sebagai rekod sejarah untuk dilihat oleh generasi akan datang. Semua maklumat daripada rekod tersebut amat penting untuk dijadikan sebagai bahan rujukan primer (primary sources) untuk kajian-kajian pada masa akan datang dan ia juga merupakan bukti kukuh tentang sesuatu peristiwa yang pernah berlaku dalam negara kita.

Utama Prinsip Rukun Negara.
Seterusnya, prinsip-prinsip negara yang diketengahkan oleh pemimpin dahulu perlu ditekankan secara tegas kerana ia merupakan antara elemen yang perlu dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat dalam membentuk dan memelihara perpaduan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, prinsip rukun negara menekankan lima elemen penting yang perlu kita fahami seperti kepercayaan kepada Tuhan, kesetian kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan. Kelima-lima prinsip ini perlu dijadikan teras kerana ia mengandungi lima perkara asas dalam pentadbiran dan mencorak masa depan negara yang lebih harmoni terutamanya dalam situasi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Kesimpulannya, kemerdekaan yang dicapai hari ini bukanlah satu anugerah yang mudah untuk dicapai tanpa usaha dan keringat orang-orang lama. Justeru sebagai rakyat yang merasai kenikmatan dari hasil tersebut, maka seharusnya kita lebih menghargai dan memelihara apa yang dikurniakan Tuhan kepada kita hari ini. Berbanggalah anak Malaysia.






Posted on Saturday, September 30, 2017 by Mohd Syarizwan

No comments

Wednesday, 31 August 2016

31 OGOS merupakan tarikh keramat yang membuka satu lembaran baru buat sejarah tanah air. Ia tercatat sebagai salah satu detik terindah dan detik yang amat bersejarah bagi seluruh rakyat Tanah Melayu. 

59 tahun bukanlah satu jangka yang pendek, bahkan sepanjang perjalanan merentasi angka ke-59 tahun itu, pastinya pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh pemimpin dan pejuang-pejuang tanah air demi mendaulatkan tanah air ini. Namun apa yang ada pada hari ini dapatkah kita kekalkan dan dapatkah kita pastikan generasi seterusnya menjaga kedaulatan ini?

31 Ogos bukanlah sekadar sambutan sahaja. Tarikh ini adalah kebanggaan dan semangat yang membawa kepada kebersatuan setiap rakyat di tanah Malaysia ini. Kemerdekaan bukanlah untuk kita sorakkan kegembiraan sahaja. Ia juga bukanlah untuk kita laungkan Merdeka Merdeka Merdeka tanpa mengerti erti sebenar merdeka itu.

Sejauh mana generasi ini jadikan 31 Ogos ini sebagai detik penghargaan apa yang telah kita nikmati hari ini? Sambutan kemerdekaan menjadi pesta anak muda untuk berhibur, melempiaskan nafsu. Adakah itu yang diertikan kemerdekaan bagi mereka?

Nikmat merdeka, keamanan, kesejahteraan dan pembangunan pesat tanah air kita ini merupakan satu anugerah oleh Allah dan pastinya ia juga boleh ditarik bila-bila masa sahaja. Tugas menjaga dan memelihara kemerdekaan ini pasti bukan mudah tetapi apa juga terjadi, kita harus menjaganya.

Namun alangkah sedihnya jika sejarah tanah air sendiri pun kita lupa, nilai kebanggaan tanah air juga kita perlekehkan. Sempena kemerdekaan Malaysia ke 59 ini, kita harus ubah persepsi dan minda kita sejajar pebangunan negara kita. Minda kita belum merdeka sepenuhnya...






#SalamSehatiSejiwa
#MalaysiaTanahTumpahDarahku
#SalamKemerdekaan59
#ILuvMalaysia

Posted on Wednesday, August 31, 2016 by Mohd Syarizwan

No comments

Saturday, 30 August 2014



Artikel disisarkan Berita Harian 30 Ogos 2013





artikel penuh:


Oleh: Mohd Syarizwan


Kemerdekaan ialah antara anugerah yang tinggi nilainya. Hal ini kerana untuk mencapainya bukanlah suatu usaha yang mudah. Kemerdekaan negara kita juga merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia bahawa rakyatnya mampu mentadbir dan menguruskan negara sendiri. Rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan setiap kejayaan yang dicapai atas nama Malaysia. Nama Malaysia gah dimata dunia dalam bidang politik, diplomasi, sukan, ekonomi, pelancongan dan sebagainya. Kejayaan demi kejayaan yang diraih ini melonjakkan nama Malaysia dipersada antarabangsa. Kejayaan yang dicapai ini merupakan kejayaan bersama.

Namun kita harus ingat bahawa ianya bukanlah satu anugerah yang akan kekal. Apa yang kita capai selama ini boleh hilang dalam sekelip mata jika kita tidak menjaganya dengan baik. Lihat saja apa yang telah berlaku pada masa lampau. Disebabkan kelekaan dan mengambil ringan sesuatu perkara, tamadun yang gemilang juga boleh runtuh. Ini dibuktikan melalui kejatuhan tamadun-tamadun seperti Rom, Parsi dan juga Turki Uthamaniyah yang disebabkan perpecahan kaum, ketidakstabilan politik, bencana alam dan sebagainya.

Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya mengambil ringan perkara ini. Mengekalkan kemerdekaan yang dicapai bukanlah satu tugas diletakkan dibahu pihak tertentu sahaja. Walaupun negara kita mempunyai tentera, polis, dan kementerian-kementerian yang tertentu dalam memastikan keamanan negara terjamin, sebagai rakyat, kita juga mempunyai peranan penting dalam mengekalkan kemerdekaan ini. Justeru nilai kemerdekaan ini adalah salah satu khazanah yang perlu dijaga oleh setiap warganegara Malaysia.

Hayati nilai sejarah

Kemerdekaan seringkali dikaitkan dengan sejarah. Tidak dinafikan sejarah merupakan satu elemen penting dalam proses kemerdekaan. Menurut pengkaji sejarah Donald W. Whisenhunt, sejarah adalah ilmu penting dalam merancang masa depan seseorang atau negara kerana setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan masa lalu. Ahli falsafah Roman, Cicero (106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore menyatakan “historia est magistra vitae” yang bermaksud sejarah merupakan guru terbaik dalam hidup. Elemen sejarah ini harus diterapkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia terutamanya generasi muda. Kegagalan memahami sejarah boleh membawa kepada tidak sefahaman dalam masyarakat. Kita seharusnya mengambil iktibar dari petikan kata-kata daripada ahli falsafah George Santayana (1863-1952) yang menyebut sesiapa yang melupakan sejarah, mereka pasti akan mengulanginya berkali-kali.

Oleh itu, semua pihak seharusnya mengambil pengajaran dari kejatuhan dan juga kegemilangan tamadun lampau untuk dijadikan iktibar. Sejarah juga boleh dijadikan sebagai alat motivasi terbaik bagi diri sendiri untuk mencapai sesuatu kegemilangan. Sejarah juga penting untuk memahami situasi yang berlaku pada hari ini. Setiap perkara yang berlaku pada hari ini merupakan hasil atau produk dari masa lalu. Jadi, penghayatan sejarah perlu diperkasakan terutamanya dalam kalangan generasi muda yang kelihatan semakin melupakan sejarah dan lebih cenderung kepada budaya luar yang boleh merosakkan mereka.

Fahami konsep politik

Kedua, kestabilan politik juga merupakan asas dan elemen yang penting dalam memastikan kestabilan negara terjamin. Ini kerana menurut Aristotle (384-322 SM) politik disebut sebagai ‘master art’ kerana ia mempunyai kesan yang besar dalam kehidupan seharian. Politik merujuk kepada ‘skill’ (kemahiran) atau ‘craft’ (aktiviti) dalam mentadbir dan menguruskan masyarakat. Kerja-kerja mentadbir dan mengurus negara bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Oleh sebab itulah kita semua harus faham sepenuhnya konsep politik sebelum mengkritik sesuatu perkara.

Politik yang matang perlu dipraktikkan dalam kalangan masyarakat supaya ia tidak menimbulkan pelbagai perbalahan atau pergaduhan yang mengganggu kestabilan negara. Salah faham tentang politik menyebabkan kita lari dari matlamat utama iaitu mewujudkan satu sistem untuk menjaga manusia. Pemikir politik Islam yang tersohor seperti Imam al-Ghazali dan al-Mawardi juga menggariskan kepentingan politik dalam masyarakat. Menurut Imam al-Ghazali (1058-1111), politik memerlukan prinsip al-Imamah (kepimpinan) dan at-Ta’at (kepatuhan). Al-Imamah diperlukan menurut syariah untuk menjaga manusia dari segala bahaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga. Prinsip at-Ta’at yang melibatkan kepatuhan kepada pemimpin pula diperlukan supaya tidak belaku fitnah yang besar seperti kekacauan, kemusnahan dan sebagainya.

Oleh itu, pemikiran politik kita harus matang dan tidak diganggu oleh emosi. Pemikiran masyarakat yang merdeka seharusnya bebas dari dirantai sifat ego-sentrisme iaitu melihat satu perkara hanya dari sudut perspektif sendiri. Kita perlu mengajar diri kita untuk mendengar dan berlapang dada terhadap pendapat lain. Masalah sebegini sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita sehingga ada yang sanggup memutuskan silaturahim hanya kerana perbezaan fikrah politik. Tidak dinafikan masing-masing mempunyai fikrah politik kepartian sendiri namun, ia perlu diuruskan dengan baik. Secara ringkasnya, sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu berusaha untuk menjadikan politik sebagai satu alat perpaduan, bukan perpecahan.

Perpaduan dalam mencapai kemerdekaan

Kemerdekaan yang kita kecapi selama 57 tahun ini sepatutnya menjadikan masyarakat kita lebih bersatu padu dan matang dalam setiap tindakan. Elemen seterusnya yang menjadi asas kepada kestabilan negara adalah perpaduan yang utuh antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Rakyat yang bersatu padu akan menjadikan negara ini sebagai negara contoh kepada dunia. Ini kerana kemerdekaan yang dicapai selama ini merupakan hasil daripada perpaduan yang dicapai walaupun kita terdiri daripada masyarakat majmuk yang memperjuangkan kemerdekaan. Tun Dr Mahathir pernah berpesan “manusia yang lemah pun jika bersatu pasti akan dapat menggoncangkan dunia. Demikianlah kesannya perpaduan”. Kata-kata ini mempunyai signifikasi tersendiri kepada kita semua kerana dengan perpaduan kemerdekaan yang dicapai dapat dikekalkan.



Oleh itu, kita perlu memainkan peranan yang sepatutnya sebagai rakyat yang ingin melihat keamanan dan kestabilan negara ini kekal. Kemerdekaan ini adalah milik semua rakyat Malaysia dan kita seharusnya menghargai sebaiknya nilai tersebut.

Posted on Saturday, August 30, 2014 by Mohd Syarizwan

3 comments

Sunday, 20 July 2014


Oleh: Mohd Syarizwan

Sejarah merupakan satu elemen penting dalam kehidupan. Sejarah sendiri mempunyai pelbagai definisi yang diketengahkan oleh ahli sejarah terdahulu. Menurut Donald V. Gawronski, beliau mendefinisikan sejarah sebagai satu catatan atau rekod masa lalu atau sebahagian dari masa lalu (lihat Gawronski, Donald V, History: Meaning and Method, Foreman and Company, Scott, 1969). Kalau dilihat kepada definisi tersebut, ianya melibatkan tempoh masa yang telah berlalu dalam kehidupan manusia. Namun walaupun ianya telahpun berlalu, ia amat penting untuk suatu tamadun manusia.

Dalam Islam sendiri sejarah amat memainkan peranan dalam membentuk peribadi manusia. Oleh kerana itu, al-Quran yang diturunkan bukan sahaja untuk memberitahu mengenai hukum-hukum, tetapi didalamnya terkandung sejarah tamadun tamadun terdahulu sebagai pengajaran untuk kita semua. Sebagai contoh, bagaimana Allah merakamkan dalam al-Quran kisah umat yang diturunkan azab terhadap mereka seperti kaum Lut, A’d dan Thamut. Ahli sejarah dalam kalangan muslim juga cuba untuk menerapkan kepentingan sejarah melalui karya mereka seperti al-Muqadimmah karya Ibnu Khaldun dan Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk (sejarah para Rasul dan Raja-raja) karya Al-Tabari.

Pemahaman sejarah itu penting kepada semua generasi terutamanya umat Islam sendiri. Sarjana sejarah Islam seperti Ibnu Khaldun sering mengetengahkan bahawa intelektual dan spritual umat terdahulu telahpun berjaya membentuk kegemilangan tamadun Islam. Namun, dalam pada itu, kita juga jatuh kerana kekurangan elemen tersebut. Salah satu faktornya adalah kerana kita melupakan sejarah.

Mari kita ingat kembali ucapan yang diungkapkan Tun Dr Mahathir sebelum beliau menyatakan perletakan semua jawatannya dalam parti (Perhimpunan Agong Umno 2001). Beliau menyatakan bahawa melayu mudah lupa. Berulang-ulang kali beliau mengungkapnya. Apakah signifikasi ungkapan tersebut? Dalam satu buku bertajuk “Jejak Seorang Pemimpin: Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir”, beliau ada menjelaskan mengapa beliau berkata sedemikian. Ini kerana beliau melihat bahawa anak muda kita semakin lupa akan asal-usul dan sejarah mereka sendiri. Ini yang mengecewakan beliau. Justeru, kita tidak patut melupakan sejarah kerana menurut George Santayana, sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginnya berkali-kali. Sejarah itulah panduan terbaik kita.

Sebagai contoh, saya ingin mengajak para pembaca kembali merenung tentang sejarah kewujudan sekularisma dalam dunia ini. Ramai menyangka bahawa Mustafa Kamal Atartuk merupakan orang pertama yang mengasaskan pemikiran yang disebut sekularisma itu. Namun, sebelum pada itu, Perancis merupakan negara sekular pertama yang mengisytiharkan agama dipisahkan dari pentadbiran politik negara pada tahun 1789. Hal ini kerana pada ketika itu orang melihat bahawa peranan agama dan golongan gereja ini terlalu mengongkong kehidupan rakyat. Selain itu, peranan gereja juga seolah-olah dilihat tidak masuk akal dengan penjualan sijil pengampunan dengan harga yang mahal. Begitu juga konkongan gereja terhadap penemuan sains sehingga beberapa saintis ketika itu dihukum. Itulah yang berlaku pada zaman gelap akibat daripada kesilapan memahami dan pemesongan dalam kalangan ahli agama.

Berbalik pada apa yang berlaku di negara kita hari ini, saya melihat ada segelintir antara kita yang tidak memahami sepenuhnya konsep dalam Islam itu sendiri. Ini boleh mengakibatkan satu fitnah besar terhadap agama yang boleh mengakibatkan sejarah dahulu berulang. Ramai yang memperlihatkan kejahilan mereka tentang agama secara terang-terangan sehingga umat Islam dan bukan Islam melihat bahawa Islam ini agama yang terlalu mengongkong dan tidak masuk akal. Perkara sebeginilah yang memalukan agama dan diri kita sendiri sedangkan Islam itu mudah dan indah. Secara jujurnya, saya merasakan kita berada dalam keadaan yang agak bahaya dan kritikal dengan pencemaran imej Islam oleh pihak-pihak yang tertentu.


Oleh sebab itu, kita perlu mengambil pengajaran dari apa yang berlaku pada sejarah lampau. Kita perlu mengkaji dan mejejaki semula jejak tamadun terdahulu dari segi kebangkitan, kegemilangan dan juga kejatuhan. Jika yahudi boleh mengkaji tentang sejarah Islam, mengapa tidak kita sendiri yang mengkaji sejarah kita untuk bangkit. Semuanya mempunyai signifikasi dan pengajaran tersendiri untuk masa hadapan. Sepertimana yang ditulis oleh Donald W. Whisenhunt dalam The Importances of History (Kepentingan Sejarah), beliau menegaskan bahawa sejarah penting untuk merancang masa hadapan kerana setiap keputusan seseorang atau sesebuah negara adalah berdasarkan masa lalu (lihat Whisenhunt, Donald W, A Student’s Introduction to History 2nd Edition, American Press, Boston, 1993). Jadikanlah sejarah itu guru kita seperti lirik lagu doa buat kekasih, nyanyian Ramli Sarip, “sejarah, mengajar kita, menjadi lebih dewasa..”

Posted on Sunday, July 20, 2014 by Mohd Syarizwan

1 comment

Wednesday, 4 September 2013


 [hasan+al+banna.jpg]

Ikhwanul Muslimin (IM) adalah satu gerakan Islam   yang mengajak dan menuntut agar tertegaknya syariat Allah, hidup di bawah naungan Islam, seperti yang diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW , dan diserukan oleh para salafus-soleh, bekerja denganNYA dan untukNYA, keyakinan yang bersih yang berakar teguh dalam hati, pemahaman yang benar yang akal dan fikrah, syariah yang mengatur al-jawarih (anggota tubuh), perilaku dan politik. Kini, gerakan IM  tersebar ke seluruh dunia.

Pengasas IM adalah Imam Hassan Al-Banna (HAB) yang dibunuh kerana membawa Islam. Meskipun beliau hanyalah seorang tukang jam, seorang guru dan seorang mujahid. HAB dilahirkan pada 14 Oktober 1906 di Mahmudiyah, Mesir. Beliau merupakan anak sulung daripada 8 adik beradik kepada pasangan Ahmad bin Abd Rahman Al-Banna, seorang tukang jam dan Puan Fudhla seorang wanita yang pintar, peka, mahir dalam pengurusan rumah tangga serta tegas dan mempunyai kekuatan kehendak yang diwarisi HAB.

Bapa HAB merupakan ulama sunni berguru dengan Muhammad Abduh juga penyusun hadis imam 4 serta penulis buku hadis. Beliau mempunyai benyak koleksi kitab-kitab dan buku-buku dan sering bermusyawarah dengan ulama’ dan cendekiawan.
ADik beradik HAB adalah
1. Abd Rahman – pengasas Persatuan Tamadun Islam dan kemudiannya bergabung dengan IM
2. Fatimah
3. Muhammad
4. Abdul Basit – merupakan polis di Kaherah tetapi kemudian berhenti berpindah ke Saudi (ana tak ingat pulak bila dan mengapa beliau berhenti)
5. ZAinab – meniggal dunia ketika kecil
6. A. Jamaluddin – dikenali sebagai Jamal Banna dan merupakan seorang penulis dan pengarang
7. Fauziah – isteri kepada Abd Karim Mansur, seorg peguam yang menemani HAB dan ditembak di hadapan Pejabat Syabab Al-Muslimun bersama Imam HAB.
Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. (Mitchell 1969, 2; Lia 25-26).

Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.
Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British. (Mitchell 1969, 3; Lia 1998, 26-27)

Pada tahun 1923, pada usia 16 tahun dia memasuki Dar al ‘Ulum, sekolah latihan guru di Kaherah. Kehidupan di ibu negara menawarkannya aktiviti yang lebih luas berbanding di kampung dan peluang bagi bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya), tetapi dia amat terganggu dengan kesan Kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. (Mitchell 1969, 2-4; Lia 1998, 28-30)

Dia turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka dengan peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian. (Mitchell 1969, 5)

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama’atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

Di tahun akhirnya di Dar al-’Ulum, dia menulis bahawa dia bercadang menzuhudkan dirinya menjadi “penasihat dan guru” bagi golongan dewasa dan kanak-kanak, agar dapat megajar mereka “matlamat agama dan sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan”. Dia mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bhs Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma’iliyya, bandar provincial terletak di Zon Terusan Suez. (Mitchell 1969, 6)

Al-Imam Hassan al-Banna kemudainnya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.

Sebagai anak sulung dalam keluarganya, HAB sangat ambil berat pendidikan adik-beradiknya. Beliau merupakan penasihat peribadi ayah dan adik-beradiknya. Beliau juga berperanan dalam perkembangan pendidikan abang-abangnya. Kerana peribadinya, beliau menekan disiplin dalam keluarganya serta beliau juga mengatur perbelanjaan dalam keluarganya. Ketika bekerja sebagai guru, beliau sanggup memotong sebahagian gajinya dan peruntukkan untuk keluarganya. Hal ini menjadikan hubungan kekeluargaan mereka sangat rapat.

Kepintaran HAB dan pendidikannya tidak dibatasi masa, sebaliknya beliau mengurus masa beliau dengan sistematik. Ketika siangnya, beliau akan belajar di sekolah, setelah tamat sesi pembelajran, beliau akan belajar membaiki jam dengan ayahnya sehingga isya’. selepas Isya’ adalah waktunya untuk mengulangkaji pelajaran dan waktu SUbuh adalah waktunya menghafal Quran.

Jamaah Ikhwanul Muslimin berdiri di kota Ismailiyyah, Mesir pada tahun 1928 iaitu 4 tahun selepas kejatuhan sistem khalifah Islam terakhir iaitu Khalifah Turki Uthmaniyyah oleh HAB, bersama keenam tokoh lainnya, yaitu Hafiz Abdul Hamid, Ahmad al-Khusairi, Fuad Ibrahim, Abdurrahman Hasbullah, Ismail Izz dan Zaki al-Maghribi. Ikhwanul Muslimin pada saat itu dipimpin oleh Hassan al-Banna. Pada tahun 1930, Anggaran Dasar Ikhwanul Muslimin dibuat dan disahkan pada Rapat Umum Ikhwanul Muslimin pada 24 Sep 1930. Pada tahun 1932, struktur administrasi Ikhwanul Muslimin disusun dan pada tahun itu pula, Ikhwanul Muslimin membuka cabang di Suez, Abu Soweir dan al-Mahmoudiya. Pada tahun 1933, Ikhwanul Muslimin menerbitkan majalah mingguan yang dipimpin oleh Muhibuddin Khatib.

Pemikiran IM adalah berlandaskan syariat Islam serta amal berterusan iaitu : -

1. Baiki diri – 10 muwasafat
- aqidah sejahtera
- ibadah sahih
- akhlak mantap
- mampu bekerja
- berpengetahuan luas
- tubuh yang cergas
- sangat menjaga waktunya
- mujahadah li nafs
- teratur urusannya
- bermanfaat kepada orang lain
2. Baitul Muslim – didik keluarga dgn cara Islam & hormat fikrah Islam
- Dahulukan hak & Tanggungjawab
3. Bimbing Masyarakat -kembang aspek dan budaya Islam dlm msykt
- Amar Makruf Nahi Munkar
4. Kerajaan Islam
5. Bebas tanah air daripada kuasa asing
6. Satukan negara-negara Islam
7.Panji Islam kembali berkibar – satu suara, perpaduan ummah
MOTTO IM

-Allahu Ghayatuna
-Ar-Rasul Qudwatuna
-Al-Quran dusturuna
-Al-jihadu sabiluna
-Al-mautu fisabilillah asma’ amanina

Ruang lingkup dakwah IM
-Dakwah Salafiah
-Tariqah Sunniah
-Hakikah Sufiyah
-Hai’ah Siyasiah
-Jamaah Riyadiah
-Rabitah Ilmiah Thaqafiyah
-Syirkah Iqtisodiyah
-Fikrah ijtimaiah
yang melingkipu seluruh aspek….


Posted on Wednesday, September 04, 2013 by Mohd Syarizwan

1 comment