Artikel disisarkan Berita Harian 30 Ogos 2013 |
artikel penuh:
Oleh:
Mohd Syarizwan
Kemerdekaan ialah
antara anugerah yang tinggi nilainya. Hal ini kerana untuk mencapainya bukanlah
suatu usaha yang mudah. Kemerdekaan negara kita juga merupakan satu
pengiktirafan kepada Malaysia bahawa rakyatnya mampu mentadbir dan menguruskan
negara sendiri. Rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan setiap kejayaan
yang dicapai atas nama Malaysia. Nama Malaysia gah dimata dunia dalam bidang
politik, diplomasi, sukan, ekonomi, pelancongan dan sebagainya. Kejayaan demi
kejayaan yang diraih ini melonjakkan nama Malaysia dipersada antarabangsa.
Kejayaan yang dicapai ini merupakan kejayaan bersama.
Namun kita harus
ingat bahawa ianya bukanlah satu anugerah yang akan kekal. Apa yang kita capai
selama ini boleh hilang dalam sekelip mata jika kita tidak menjaganya dengan
baik. Lihat saja apa yang telah berlaku pada masa lampau. Disebabkan kelekaan
dan mengambil ringan sesuatu perkara, tamadun yang gemilang juga boleh runtuh.
Ini dibuktikan melalui kejatuhan tamadun-tamadun seperti Rom, Parsi dan juga
Turki Uthamaniyah yang disebabkan perpecahan kaum, ketidakstabilan politik,
bencana alam dan sebagainya.
Oleh sebab itu, kita
tidak seharusnya mengambil ringan perkara ini. Mengekalkan kemerdekaan yang
dicapai bukanlah satu tugas diletakkan dibahu pihak tertentu sahaja. Walaupun
negara kita mempunyai tentera, polis, dan kementerian-kementerian yang tertentu
dalam memastikan keamanan negara terjamin, sebagai rakyat, kita juga mempunyai
peranan penting dalam mengekalkan kemerdekaan ini. Justeru nilai kemerdekaan
ini adalah salah satu khazanah yang perlu dijaga oleh setiap warganegara
Malaysia.
Hayati nilai sejarah
Kemerdekaan
seringkali dikaitkan dengan sejarah. Tidak dinafikan sejarah merupakan satu
elemen penting dalam proses kemerdekaan. Menurut pengkaji sejarah Donald W.
Whisenhunt, sejarah adalah ilmu penting dalam merancang masa depan seseorang
atau negara kerana setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan masa lalu.
Ahli falsafah Roman, Cicero (106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore menyatakan “historia est magistra vitae” yang bermaksud
sejarah merupakan guru terbaik dalam hidup. Elemen sejarah ini harus diterapkan
dalam setiap jiwa rakyat Malaysia terutamanya generasi muda. Kegagalan memahami
sejarah boleh membawa kepada tidak sefahaman dalam masyarakat. Kita seharusnya
mengambil iktibar dari petikan kata-kata daripada ahli falsafah George
Santayana (1863-1952) yang menyebut sesiapa yang melupakan sejarah, mereka pasti
akan mengulanginya berkali-kali.
Oleh itu, semua pihak
seharusnya mengambil pengajaran dari kejatuhan dan juga kegemilangan tamadun
lampau untuk dijadikan iktibar. Sejarah juga boleh dijadikan sebagai alat
motivasi terbaik bagi diri sendiri untuk mencapai sesuatu kegemilangan. Sejarah
juga penting untuk memahami situasi yang berlaku pada hari ini. Setiap perkara
yang berlaku pada hari ini merupakan hasil atau produk dari masa lalu. Jadi,
penghayatan sejarah perlu diperkasakan terutamanya dalam kalangan generasi muda
yang kelihatan semakin melupakan sejarah dan lebih cenderung kepada budaya luar
yang boleh merosakkan mereka.
Fahami konsep politik
Kedua, kestabilan
politik juga merupakan asas dan elemen yang penting dalam memastikan kestabilan
negara terjamin. Ini kerana menurut Aristotle (384-322 SM) politik disebut
sebagai ‘master art’ kerana ia mempunyai kesan yang besar dalam
kehidupan seharian. Politik merujuk kepada ‘skill’ (kemahiran) atau
‘craft’ (aktiviti) dalam mentadbir dan menguruskan masyarakat. Kerja-kerja
mentadbir dan mengurus negara bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Oleh
sebab itulah kita semua harus faham sepenuhnya konsep politik sebelum
mengkritik sesuatu perkara.
Politik yang matang
perlu dipraktikkan dalam kalangan masyarakat supaya ia tidak menimbulkan
pelbagai perbalahan atau pergaduhan yang mengganggu kestabilan negara. Salah
faham tentang politik menyebabkan kita lari dari matlamat utama iaitu
mewujudkan satu sistem untuk menjaga manusia. Pemikir politik Islam yang
tersohor seperti Imam al-Ghazali dan al-Mawardi juga menggariskan kepentingan
politik dalam masyarakat. Menurut Imam al-Ghazali (1058-1111), politik
memerlukan prinsip al-Imamah (kepimpinan) dan at-Ta’at (kepatuhan).
Al-Imamah diperlukan menurut syariah untuk menjaga manusia dari segala
bahaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga. Prinsip at-Ta’at yang
melibatkan kepatuhan kepada pemimpin pula diperlukan supaya tidak belaku fitnah
yang besar seperti kekacauan, kemusnahan dan sebagainya.
Oleh itu, pemikiran
politik kita harus matang dan tidak diganggu oleh emosi. Pemikiran masyarakat
yang merdeka seharusnya bebas dari dirantai sifat ego-sentrisme iaitu melihat
satu perkara hanya dari sudut perspektif sendiri. Kita perlu mengajar diri kita
untuk mendengar dan berlapang dada terhadap pendapat lain. Masalah sebegini
sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita sehingga ada yang sanggup memutuskan
silaturahim hanya kerana perbezaan fikrah politik. Tidak dinafikan masing-masing
mempunyai fikrah politik kepartian sendiri namun, ia perlu diuruskan dengan
baik. Secara ringkasnya, sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu berusaha
untuk menjadikan politik sebagai satu alat perpaduan, bukan perpecahan.
Perpaduan dalam mencapai kemerdekaan
Kemerdekaan yang kita
kecapi selama 57 tahun ini sepatutnya menjadikan masyarakat kita lebih bersatu
padu dan matang dalam setiap tindakan. Elemen seterusnya yang menjadi asas
kepada kestabilan negara adalah perpaduan yang utuh antara rakyat Malaysia yang
terdiri daripada masyarakat majmuk.
Rakyat yang bersatu
padu akan menjadikan negara ini sebagai negara contoh kepada dunia. Ini kerana
kemerdekaan yang dicapai selama ini merupakan hasil daripada perpaduan yang
dicapai walaupun kita terdiri daripada masyarakat majmuk yang memperjuangkan
kemerdekaan. Tun Dr Mahathir pernah berpesan “manusia
yang lemah pun jika bersatu pasti akan dapat menggoncangkan dunia. Demikianlah
kesannya perpaduan”. Kata-kata ini mempunyai signifikasi tersendiri kepada kita
semua kerana dengan perpaduan kemerdekaan yang dicapai dapat dikekalkan.
Oleh itu, kita perlu
memainkan peranan yang sepatutnya sebagai rakyat yang ingin melihat keamanan
dan kestabilan negara ini kekal. Kemerdekaan ini adalah milik semua rakyat
Malaysia dan kita seharusnya menghargai sebaiknya nilai tersebut.
Assalam.. t kasih kerana sudi bertandang ke blog saya. Sememangnya Kemerdekaan itu bukan sesuatu perkara yg mudah kita perolehi. Menyoroti perjuangan datuk nenek memerah keringat dan akal fikiran bersama2 bersatu utk kemerdekaan.. utk kebaikan generasi kita & seterusnya. Semoga kita semua mampu menggalas tanggungjawab menjaga warisan ini demi kesejahteraan kita & generasi masa hadapan Malaysia. Terima kasih atas perkongsian & artikel yg dinukilkan utk kebaikan kita semua.. Salam ukhwah.. :)
ReplyDeleteArtikel yang bagus :) Nice sharing ^^
ReplyDeleteBegitulah yang sepatutnya. Walau berbeza pandangan, keamanan sewajibnya terus dikekalkan, bersama-sama..
ReplyDelete