Hampir 57 tahun Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Pelbagai perubahan telah berlaku dalam negara kita ini baik dari segi pembangunan negara, ataupun pemikiran rakyat kita yang semakin hari semakin berkembang. Evolusi dan revolusi itu berlaku disekeliling kita. Antara sedar ataupun tidak, hanya kita yang tahu. Namun saya yakin dan pasti, kita sudah tentu sedar akan perubahan tersebut.

Namun masih ada perkara yang memerlukan kesedaran yang tinggi untuk kita bergerak lebih kehadapan. Salah satu perkara tersebut adalah pemikiran politik kita. Sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini masih lagi jauh ketinggalan dari segi kematangan politik dalam kalangan rakyat kita. Saban hari kita melihat gelagat wakil rakyat kita di sidang parlimen yang menunjukkan tahap kematangan politik yang kurang profesional. Bagi saya, perkara itu memalukan.


ANTARA EMOSI DAN FAKTA


Jadi, persoalan inilah yang bermain difikiran, kemana hala tuju politik Malaysia? Semakin hari semakin banyak isu yang menjadi kunci perbalahan. Adakah itu politik sebenar? Tidak, itu bukan politik sebenar.

Banyak perkara sebenarnya yang masih perlu difahami oleh rakyat Malaysia. Menurut pensyarah sains politik saya, Ahmad El-Muhammady bin Uthman El-Muhammady kematangan politik itu memerlukan satu keupayaan yang dinamakan Political Inteligence. Itulah juru ukur tahap kematangan kita. Sesiapa yang dapat membezakan emosi dan fakta, maka mereka akan mencapai tahap kematangan tersebut.

Di Malaysia ini, ramai golongan akademik telah pun mencapai tahap matang tersebut. Antaranya ialah Dr. Asri, Prof Agus Yusof, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah. Namun dalam kalangan ahli politik di Malaysia, hanya ada segelintir kecil sahaja yang mempunyai keupayaan tersebut. Saya pernah mengikuti diskusi Prof Agus bersama Dato' Saifuddin Abdullah dan Yb Khalid Samad tentang demokrasi di Malaysia. Saya suka cara Dato' Saifuddin Abdullah dalam berpolitik. Beliau tidak terlalu mengikut emosi, dan tidak terlalu memihak kepada sebelah pihak walaupun beliau berada dalam UMNO. Beginilah yang kita mahukan bukan seperti kebanyakan ahli politik yang hanya tahu menghentam pihak musuh sehingga ada juga yang menggunakan isu peribadi. Kita harus jujur terhadap perkara yang mana salah dan yang mana benar walaupun dari musuh.

Banyak lagi perkara yang perlu diketengahkan sebenarnya. Kita terlalu memerlukan golongan yang mempunyai politik matang itu. Lihat sahaja hari ini, kebanyakan mereka yang masuk ke dalam bidang politik ini sama ada ustaz, ulama, cendekiawan yang berpangkat prof, dr, mahupun sesiapa sahaja, jika tiada correct mindset tentang politik ini, maka mereka akan jatuh. Ini yang menjadikan politik itu berapi. Bercakap sahaja tentang politik, maka hati akan panas. Kita tidak mahu begitu.


PERLUNYA MENUKAR PERSEPSI (CORRECT MINDSET)


Politik ini sebenarya melibatkan antara persepsi dan realiti. Ramai yan tertipu oleh persepsi yang akhirnya menjadi realiti. Oleh sebab itulah kita perlu mengubah persepsi tersebut terhadap politik ini.

Sebagai contoh, ramai melihat bahawa PAS dan UMNO itu bermusuh dan mustahil untuk dibawa ke dalam satu haluan. Itulah persepsi kita yang akhirnya menjadikannya tidak kemana dan terus bermusuh. Adakah mereka musuh hakiki? Kedua-duanya Islam. Ini lah yang merugikan mereka, merugikan kita, melemahkan umat Islam dan disebalik itu, ada pihak yang sedang cuba mengambil kesempatan dan keuntungan terhadap perpecahan ini.

Bukan di Malaysia sahaja, di luar juga begitu. Mengapa kisah di Palestin masih belum menemui jalannya? Kita lihat sahaja apa yang berlaku pada HAMAS dan FATAH. Pertengkaran yang berlaku dalam kalangan mereka itu sebenarnya memberi keuntungan kepada pihak yang menjadi musuh sebenar mereka.


JANGAN FANATIK SECARA BUTA


Kadang-kadang saya melihat bahawa rakyat kita mempunyai satu penyakit dalam berpolitik. Terlalu fanatik secara membuta tuli. Ada yang sanggup mengkafirkan, menyesatkan golongan yang berbeza pendapat dengannya. Ini yang perlu kita tukar. Profesional daam berpolitik. Kita harus terbuka dalam mendengar dan menerima pendapat pihak yang lain. Saya sering melihat pihak yang hanya menerima sahaja apa yang dikeluarkan oleh pihak yang disokongnya dan menolak semua pandangan dari pihak lawan walaupun ia benar. Terlalu fanatik kepada pihaknya sehingga jika ada ustaz atau pendakwah yang menyokong pihak lawannya, maka ustaz itu diklasifikasi sesat pada matanya. Ini karut.

Memang perbezaan pendapat itu akan timbul dan mustahil untuk menolak situasi itu. Namun, kita haruslah jujur dan profesional. Yang salah tetap salah, yang benar tetapp benar, jangan kerana yang benar itu dari lawan, kita menolaknya. Ini tidak adil. Mungkin itu salah satu faktor yang saya lihat mengapa politik negara kita ini tidak matang.

Konklusinya, politik kita tidak akan kemana-mana jika ini terus berlanjutan. Kita perlu menukar persepsi kita terhadap politik yang sebenar. Pada pandangan saya, politik Malaysia masih belum matang sepenuhnya. Banyak lagi ruang-ruang untuk diperbaiki jangan sudah terhantuk baru terngadah.