Forum@BH 30 Ogos 2018
Pelihara Identiti dan Sejarah Negara Tanda Semangat
Patriotisma
Oleh: Mohd
Syarizwan Mat Jenon
Identiti sesebuah tamadun itu
merupakah antara anugerah yang perlu dipelihara oleh setiap lapisan generasi
untuk menjadikannya sebagai pengajaran sejarah dan membantu generasi akan
datang memahami cara hidup orang lama. Identiti boleh ditakrifkan sebagai sifat-siat
atau ciri-ciri yang terdapat pada seseorang atau sesuatau yag sebagai suatu
keseluruhan memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada orang lain. Ia juga
boleh dirujuk sebagai aspek-aspek tertentu yang dapat menunjukkan sifat diri
seseorang keperibadian atau adat resam dan kesenian yang dapat melambangkan
sekumpula masyarakat.
Ia bermaksud identiti sesebuah bangsa
itu juga menjadi satu pengukur untuk ianya dihormati dan dikenali oleh
masyarakat luar. Setiap bangsa yang diciptakan Tuhan mempunyai identiti yang
berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri dalam membentuk sesebuah masyarakat.
Ia difirmankan sepertimana yang terkandung dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang
bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya
Kami ciptakan daripada kamu seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami
jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum agar kamu saling mengenal”.
Perbezaan identiti yang memberi
keunikan itu semestinya perlu dipelihara agar ia tidak hilang ditelan zaman
terutamanya yang melibatkan sejarah peradaban sesebuah bangsa. Dalam
perlembagaan Malaysia, beberapa perkara termaktub bagi tujuan tersebut. Sebagai
contoh Bahasa Melayu yang pernah menjadi sebagai lingua franca ketika zaman kegemilangan Melayu Melaka. Seharusnya
sebagai rakyat yang mempunyai jiwa bangsa yang tinggi dan patriotik, Bahasa
Melayu yang dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaaan perlu diperluas dan
diutamakan terutamanya dalam hal ehwal pentadbiran dalam negara.
Begitu juga dengan kefahaman sejarah
negara. Kegagalan rakyat sendiri memahami sejarah negara boleh menyebabkan
perjuangan yang ditegakkan sekian lama oleh pejuang-pejuang dahulu tidak lagi
dihargai dan tidak hairan jika semakin hari semakin hilang nilai bangsa untuk
kita amalkan. Apatah lagi jika ia berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara.
Sejarah bukan sahaja menjadi pengajaran untuk kita hargai, tetapi ia merupakan
satu penanda aras untuk menentukan kemajuan sesebuah bangsa. Begitulah seperti
yang diungkapkan oleh ahli
falsafah Roman, Cicero (106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore menyatakan “historia
est magistra vitae” yang bermaksud sejarah merupakan guru terbaik dalam
hidup. Elemen sejarah ini harus diterapkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia
terutamanya generasi muda.
Tidak dinafikan peredaran zaman
sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada nilai sejarah dan identiti bangsa.
Jika dahulu orang melayu amat bangga memperagakan busana tradisi melayu ketika
sambutan hari raya. Namun hari ini, busana tradisi melayu hanya dipakai oleh
segelintir sahaja masyarakat kita ketika majlis-majlis, bahkan ada juga yang
masih tidak tahu tentang etika pemaikaian baju kebangsaan terutamanya yang
melibatkan majlis rasmi.
Hargai perjuangan orang lama.
Sebagai
rakyat yang hidup dalam persekitaran yang harmoni dan aman dalam negara yang
mempunyai masyarakat majmuk, kita seharusnya bersyukur dan berbangga kerana
keunikan itu mungkin tidak dapat dilihat di tempat lain. Oleh itu, salah satu
manifestasi rasa syukur kita adalah dengan menghargai apa yang telah dijuangkan
oleh orang terdahulu.
Sejarah perjuangan dalam menegakkan
kemerdekaan dan keamanan ini bukanlah suatu yang mudah. Justeru generasi yang
lahir dalam zaman yang telah mencapai kemajuan ini harus kenal dan tahu tentang
apa yang berlaku suatu ketika dulu. Oleh sebab itu lah pengajaran sejarah di
peringkat sekolah perlu ditekankan bukan sekadar subjek untuk menduduki
peperiksaan semata-mata.
Pelihara khazanah, sejarah
Selain itu, usaha yang menyeluruh dari
pelbagai pihak juga perlu untuk memelihara khazanah dan tinggalan sejarah dari
setiap sudut termasuklah catatan-catatan bekas pemimpin, gambaran peritiswa
menarik, atau dokumen-dokumen pentadbiran yang sangat berguna untuk dijadikan
sebagai rekod sejarah untuk dilihat oleh generasi akan datang. Semua maklumat
daripada rekod tersebut amat penting untuk dijadikan sebagai bahan rujukan
primer (primary sources) untuk
kajian-kajian pada masa akan datang dan ia juga merupakan bukti kukuh tentang
sesuatu peristiwa yang pernah berlaku dalam negara kita.
Utama Prinsip Rukun Negara.
Seterusnya, prinsip-prinsip negara
yang diketengahkan oleh pemimpin dahulu perlu ditekankan secara tegas kerana ia
merupakan antara elemen yang perlu dititik beratkan oleh semua lapisan
masyarakat dalam membentuk dan memelihara perpaduan rakyat Malaysia. Sebagai
contoh, prinsip rukun negara menekankan lima elemen penting yang perlu kita
fahami seperti kepercayaan kepada Tuhan, kesetian kepada raja dan negara,
keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.
Kelima-lima prinsip ini perlu dijadikan teras kerana ia mengandungi lima
perkara asas dalam pentadbiran dan mencorak masa depan negara yang lebih
harmoni terutamanya dalam situasi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Kesimpulannya, kemerdekaan yang
dicapai hari ini bukanlah satu anugerah yang mudah untuk dicapai tanpa usaha
dan keringat orang-orang lama. Justeru sebagai rakyat yang merasai kenikmatan
dari hasil tersebut, maka seharusnya kita lebih menghargai dan memelihara apa
yang dikurniakan Tuhan kepada kita hari ini. Berbanggalah anak Malaysia.
0 comments:
Post a Comment