Dua tahun telah berlalu sejak tercetusnya perang Palestin-Israel, namun kesan kemusnahan yang ditinggalkan masih segar dan berdarah. Gaza, yang sering digelar sebagai penjara terbuka terbesar di dunia, kini hampir lumpuh dengan infrastruktur yang hancur, ratusan ribu penduduk menjadi pelarian di tanah sendiri, dan ribuan nyawa yang terkorban tanpa mengira usia mahupun jantina. Dunia menyaksikan tragedi kemanusiaan ini melalui pelbagai platform dan tidak lagi tersembunyi. Namun persoalan besar terus menghantui, sampai bila penderitaan ini harus berlarutan? Hakikatnya, dua tahun perang ini bukan sekadar konflik ketenteraan, tetapi satu lambang kegagalan global dalam menegakkan keadilan dan melindungi maruah manusia.

Sepanjang tempoh dua tahun, Gaza menyaksikan kemusnahan pelbagai fasiliti awam, bangunan sekolah dan hospital, serta kawasan kediaman bertukar menjadi timbunan runtuhan. Menurut pelbagai laporan kemanusiaan, hamper seluruh dari fasiliti asas di Gaza tidak lagi berfungsi, menjadikan kehidupan harian mustahil untuk diteruskan. Kanak-kanak membesar dengan trauma, tanpa pendidikan yang sempurna dan tanpa akses kepada bekalan asas. Dunia moden sering melaungkan tentang kemajuan teknologi dan globalisasi, tetapi di Gaza, realitinya masih berkisar pada perjuangan untuk sesuap makanan dan setitis air.

Kemusnahan ini juga mencerminkan kegagalan besar sistem antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkali-kali mengeluarkan resolusi, namun pelaksanaannya terbantut oleh veto kuasa besar. Perang yang sepatutnya dihentikan melalui diplomasi berterusan sebaliknya menjadi medan ujian geopolitik di mana nyawa rakyat Palestin menjadi taruhan. Dua tahun berlalu, dunia seakan masih tidak mampu menamatkan kitaran keganasan yang sama.

Tanggungjawab global
Konflik Palestin-Israel bukan lagi isu serantau semata-mata, tetapi masalah global yang menuntut perhatian bersama. Negara-negara besar yang memiliki pengaruh dalam politik antarabangsa seharusnya memikul tanggungjawab lebih serius. Malangnya, sering kali kepentingan politik, ekonomi dan strategik mengatasi keadilan. Ada yang memilih untuk menutup mata kerana hubungan dagangan atau sekutu strategik, sedangkan prinsip kemanusiaan dikorbankan.

Namun, dalam dua tahun ini, kita juga menyaksikan kebangkitan solidariti global. Dari jalan-jalan di Eropah, Asia hingga ke Amerika Latin, jutaan rakyat biasa turun ke jalan raya menuntut keadilan untuk Palestin. Gerakan masyarakat sivil ini membuktikan bahawa walaupun kerajaan sering terikat dengan polisi dan kepentingan politik, suara rakyat dunia masih lantang mempertahankan kemanusiaan. Inilah bukti bahawa tanggungjawab global tidak semestinya lahir daripada meja rundingan rasmi sahaja, tetapi juga daripada hati nurani manusia yang menolak penindasan.

Dalam konteks ini, Malaysia muncul sebagai salah satu suara konsisten di pentas antarabangsa. Kerajaan Malaysia, melalui kenyataan rasmi dan pendirian tegas di forum antarabangsa, tidak berganjak daripada prinsip mendukung Palestin. Walaupun kuasa Malaysia terbatas berbanding negara besar, tetapi konsistensi ini menunjukkan bahawa tanggungjawab global tidak hanya terletak pada kuasa veto, malah boleh dijalankan oleh negara sederhana yang berpegang pada prinsip.

Masa untuk kemanusiaan
Sudah tiba waktunya dunia meletakkan kemanusiaan sebagai asas penyelesaian. Konflik yang berlarutan ini tidak akan selesai dengan lebih banyak senjata atau lebih banyak serangan balas. Apa yang diperlukan ialah keberanian politik untuk mengakui hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka, serta hak untuk hidup dalam keadaan aman dan bermaruah.

Genjatan senjata kini semakin hampir, namun ia tidak akan bermakna selagi wujud dasar penindasan, penjajahan tanah, dan sekatan yang menafikan kehidupan normal rakyat Palestin. Masa untuk keamanan ini bermaksud dunia perlu mengutamakan prinsip asas iaitu hak untuk hidup, hak untuk pendidikan, hak untuk kesihatan, dan hak untuk masa depan.

Lebih penting lagi, keamanan tidak boleh sekadar menjadi slogan politik. Ia mesti diterjemah melalui langkah konkrit dengan gencatan senjata kekal, pengiktirafan hak rakyat Palestin, pembinaan semula Gaza dengan bantuan antarabangsa, serta mekanisme undang-undang untuk mengheret penjenayah perang ke muka pengadilan. Tanpa elemen-elemen ini, keamanan hanya akan tinggal dalam ucapan pemimpin dunia, bukan realiti di lapangan.

Dunia tidak boleh terus bersembunyi di balik retorik diplomasi dan kepentingan politik. Nyawa manusia tidak seharusnya dijadikan angka dalam laporan tahunan. Jika dua tahun penderitaan ini gagal menjadi titik tolak perubahan, maka generasi akan datang hanya akan mewarisi kitaran keganasan yang sama. Oleh itu, keamanan bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan. Dunia perlu bergerak bersama, tanpa mengira kuasa besar atau kecil, untuk menamatkan perang yang telah meragut terlalu banyak nyawa tidak berdosa.

x