Pengenalan

Dalam era teknologi yang berkembang pesat, kewangan Islam kini sedang mengalami satu transformasi besar. Jika dahulu kewangan Islam dilihat sebagai sistem kewangan alternatif yang konservatif yang memerlukan prosedur ketat dan tertentu. Hari ini ia beradaptasi dengan era digital dan teknologi dengan memperkenalkan pelbagai inovasi yang mematuhi prinsip Syariah sambil memenuhi keperluan pengguna moden. Evolusi ini bukan sekadar penyesuaian kepada teknologi, malah ia mencerminkan keperluan kepada sistem kewangan yang lebih beretika, telus dan inklusif kepada masyarakay Islam seluruh dunia.

Asas Kewangan Islam

Kewangan Islam berpaksikan yang prinsip Syariah menekankan beberapa perkara sebagai asas yang membezakan kewangan islam dan konvesyional. Antara prinsip utamanya adalah larangan riba (faedah), perkongsian risiko (mudarabah, musyarakah), transaksi yang berasaskan aset sebenar (murabahah, ijarah), dan mengelakkan ketidakpastian (gharar) serta pelaburan dalam industri haram seperti alkohol atau perjudian.

Sebelum era digital, sistem kewangan Islam lebih bergantung kepada kaedah manual dan fizikal yang memerlukan kaedah bersemuka dalam menjalankan apa-apa transaksi termasuk pembiayaan dan pelaburan. Namun, dunia kini sedang bergerak ke arah pendigitalan penuh, dan sektor kewangan Islam tidak terkecuali.

Perubahan Landskap Kewangan Islam

Era digital telah membawa pelbagai inovasi dalam kewangan Islam yang memudahkan urusan penting tanpa mengabaikan prinsip utama dalam transaksi. Justeru kaedah pendigitalan dan inovasi ini telah membuka ruang baru kepada institusi kewangan Islam untuk menjalankan traksaksi lebih laju dan cepat. Antara inovasi yang berlaku dalam kewangan islam hari ni adalah:

  • Penggunaan e-KYC (Electronic Know Your Customer) untuk pembukaan akaun dan permohonan pembiayaan secara digital,
  • Platform pelaburan patuh Syariah automatik (robo-advisors),
  • Pembiayaan secara peer-to-peer (P2P) patuh Syariah,
  • Akad melalui elektronik auto-robotik – akad melalui platform SMS atau emel
  • Dan tokenisasi sukuk dan aset Islam menggunakan teknologi blockchain.

Inovasi-inovasi ini telah membantu menjadikan kewangan Islam lebih efisien, telus dan mudah diakses, terutamanya untuk komuniti yang sebelum ini terpinggir seperti kawasan luar bandar atau komuniti berpendapatan rendah yang mungkin jauh untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan di kawasan mereka.

Perbankan Digital Islam: Gabungan Teknologi dan Syariah

Kemunculan kaedah digital sepenuhnya merupakan antara pencapaian terbesar dalam evolusi ini. Di Malaysia, beberapa lesen bank digital telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, termasuk institusi yang berlandaskan prinsip Islam sepenuhnya.

Antara ciri utama penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kewangan islam adalah Chatbot AI yang menjelaskan kontrak-kontrak Islamik kepada pengguna, aplikasi mudah alih dengan fungsi pengiraan dan potongan zakat automatik, dan akses pembiayaan mikro secara mudah tanpa fizikal ke cawangan. Perkhidmatan sebegini mampu menarik masyarakat untuk lebih memilih produk kewangan islam yang selari dengan gaya hidup digital dan tanpa mengabaikan nilai keagamaan mereka.

Cabaran yang Dihadapi

Walaupun perkembangan ini positif, kita tidak boleh nafikan terdapat cabaran dalam mengembangkan inovasi ini. Antaranya adalah pematuhan Syariah dalam masa nyata amat kompleks terumata menggunakan teknologi seperti AI dan kontrak pintar, kekurangan standard global dalam pematuhan syariah melibatkan teknologi, dan kefahaman tentang kaedah syariah yang digunapakai oleh institusi kewangan.

Cabaran utama juga berkisar tentang isu keselamatan data dan siber yang masih membimbangkan. Keyakinan pelabur dan juga pengguna dalam memastikan keselamatan data serta mengelakkan kes penipuan atas talian ini memerlukan satu prosedur dan kerjasama rapat antara pihak keselamatan, pakar Syariah, pembangun teknologi, dan institusi kewangan itu sendiri.

Kesimpulan

Evolusi kewangan Islam hari ini bukan sekadar trend, tetapi ia telah menjadi satu keperluan. Dengan menggabungkan prinsip Syariah dan teknologi moden, kewangan Islam membuktikan bahawa agama dan inovasi boleh bergerak seiring. Malaysia, sebagai hub kewangan Islam global, mempunyai potensi besar untuk menerajui transformasi ini.

Kini, cabaran utama adalah memastikan setiap inovasi digital kekal berlandaskan nilai Islam, demi membina masa depan kewangan yang lebih adil, telus dan mampan.


Rujukan

  1. Bank Negara Malaysia (2024). Menggalakkan Sistem Kewangan Islam yang Progresif dan Inklusif (Laporan Tahunan 2024).
  2. Malaya Newsroom (2025)- Pendigitalan kunci tingkatkan ekosistem kewangan syariah - https://malayanewsroom.com/04/04/2025/pendigitalan-kunci-tingkatkan-ekosistem-kewangan-syariah/
  3. Co-opbank Pertama (2024)– Resolusi Jawatankuasa Syariah 2023
  4. Journal of Islam in Asia (IIUM) (2019) - ¤International Islamic University Malaysia (IIUM)Journal of Islam in AsiaVol. 16, No.  3. 2019E-ISSN: 2289-8077Islamic Finance in theDigital World: Opportunities and Challenges