Pembocoran soalan
peperiksaan awam yang dilaporkan baru-baru ini merupakan satu pengajaran kepada
semua pihak. Perkara sebegini berlaku apabila ada pihak tidak menunaikan amanah
dengan sebaiknya. Peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa
Inggeris yang dijadualkan semula memberi kesan yan besar kepada semua pihak
terutamanya pelajar tahun 6 yang akan mendudukinya. Ini akan menambah tekanan
yang dihadapi oleh mereka. Sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar tahun 6 merancang
untuk mengadakan lawatan setelah tamat UPSR. Namun, disebabkan perkara
sebegini, semuanya terpaksa dibatalkan.
Ramai pihak menuding
jari kepada guru-guru apabila kes ini berlaku. Namun, tidak sewajarnya
kesalahan itu diletakkan diatas bahu guru semata-mata. Guru merupakan orang
penting dalam memberikan ilmu kepada pelajarnya. Hanya kerana segelintir yang
tidak amanah, semua guru dipersalahkan. Ia hanya seperti kata pepatah, kerana
nila setitik, rosak susu sebelanga. Ada sesetengah pihak memperlekehkan para
guru dengan gelaran penipu. Saya merasakan ia adalah satu tindakan yang sangat
tidak wajar kerana peranan dan jasa guru amat besar dalam membangunkan sesebuah
negara. Hal ini telah pun mengakibatkan hati warga pendidik terguris dek kerana
pelbagai tohmahan yang diberikan kepada mereka.
Masyarakat seharusnya
faham situasi yang dihadapi guru hari ini. Cabaran sebagai guru hari ini amat
hebat dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Amatlah tidak wajar
apabila berlaku sesuatu perkara, mereka dipersalahkan sehingga dihina dan
digelar dengan panggilan yang kurang sopan. Tambahan pula guru-guru juga turut
tertekan dalam menaikkan dan mengekalkan nama sekolah untuk ranking terbaik.
Kes ini sebenarnya memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan
masyarakat keseluruhannya.
Tingkatkan
kredibiliti bakal guru
Guru merupakan role model atau contoh kepada
para pelajar dan masyarakat. Justeru pihak kementerian perlu menjadikan
profesion perguruan sebagai satu medium dalam mendidik masyarakat melalui
contoh ikutan yang baik. Justeru, bakal
guru yang berada di universiti dan juga institut perguruan perlu diterapkan
dengan asas disiplin yang baik. Profesion perguruan bukanlah satu bidang yang
senang dan sesuai untuk semua orang. Ramai antara guru muda yang tidak
menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar seperti merokok, mencarut dan
sebagainya. Hal sebeginilah yang menyebabkan guru-guru lain turut terkesan
akibat perbuatan segelintir daripada mereka.
Disiplin yang ingin
diterapkan dalam kalangan pelajar perlu ditunjukkan oleh guru. Pelajar akan
lebih menghormati guru yang mempunyai karisma dan penampilan tersendiri. Guru
perlu lebih mendidik daripada mengajar. Menurut seorang pensyarah Universiti
Malaysia Sabah, proses mendidik dan mengajar merupakan dua perkara berbeza.
Mendidik melibatkan proses ‘transfer’(memindahkan ilmu dan kemahiran kepada
pelajar) dan proses ‘transform’ (mengubah tingkah laku pelajar kearah lebih
baik). Proses mendidik ini bukanlah satu kerja yang mudah bagi sesetengah
insan. Oleh itu, cabaran sebagai guru harus difahami oleh masyarakat dan tidak
terlalu cepat menyalahkan mereka dalam sesuatu perkara.
Prihatin terhadap
ilmu bukan A
Ibu bapa juga berperanan dalam proses mendidik anak-anak mereka
secara lebih serius. Hari ini kebanyakan ibu bapa sibuk dengan karier
masing-masing sehingga mengabaikan peranan mereka. Ibu bapa lebih suka salahkan
guru-guru jika sesuatu berlaku pada anak mereka. Ibu bapa yang prihatin
sepatutnya lebih tumpukan anak-anak mereka kepada penerimaan ilmu dan
pendidikan akhlak daripada tumpukan mereka kepada A semata-mata. Tidak
dinafikan keputusan akademik seperti A dalam peperiksaan juga penting, namun
haruslah diseimbangkan dengan akhlak yang sepatutnya.
Kebelakangan ini,
kita sering disajikan dengan cerita ibu bapa menyaman guru-guru yang ingin
mendidik anak mereka. Pada pendapat saya, ini salah satu perkara yang
menyebabkan pelajar hari ini terlalu manja dan sukar dididik. Lebih malang lagi
jika ibu bapa hanya pentingkan keputusan cemerlang peperiksaan semata-mata
tanpa menumpukan anak mereka kepada akhlak dan ilmu akhirat. Justeru, pemikiran
masyarakat kita seharusnya ditukar daripada pemikiran berorientasikan penilaian
ranking dan keputusan peperiksaan kepada pemikiran pendidikan ilmu.
Perkara sebegini
perlu diambil serius dan tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak. Hal ini
kerana pelajar-pelajar hari ini merupakan bakal mewarisi kepimpinan negara dan
mereka perlu dididik sebaiknya. Kes kebocoran soalan UPSR yang berlaku ini
telah membuka mata semua pihak untuk memperbaiki kesilapan masing-masing. Saling menuding jari tidak akan menyelesaikan
masalah, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan apabila ada pihak yang terguris.
Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan
perkara sama tidak berulang dan menjadikannya satu pengajaran untuk memperbaiki
setiap kelemahan yang ada. Wallahu’alam...
beri pengajaran pada semua pihak dan perbetulkan segala kelemahan...
ReplyDeletenice sharing....Good luck in ur final wann..:D
ReplyDeleteSalam kenal dari Blog Santai Wan..
ReplyDeleteCantik layout Blog ni...Nway pity the students kan...nak buat macam mana bila pihak yang sepatutnya menjaga amanah tak menjalankan tugas. Harap-harap tak akan berulang lagi kes macam ni.