![]() |
Berita Harian 3 Oktober 2014 |
artikel penuh:
oleh: Mohd Syarizwan
Cabaran sebagai
generasi muda hari ini lebih mencabar jika dibandingkan dengan generasi
terdahulu. Hari ini, kita diperlihatkan dengan pelbagai bentuk masalah sosial
yang melanda anak muda di negara kita. Pelbagai aktiviti dan program disusun
oleh pihak-pihak tertentu untuk menarik belia supaya lebih sihat dalam aktiviti
mereka. Belia merupakan golongan penting dalam pembentukan sesebuah negara
kerana mereka merupakan pewaris kepimpinan hari ini. Justeru mereka perlu
didedahkan dengan ilmu kepimpinan dan pemikiran yang dapat membentuk mereka untuk
menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Pemikiran belia hari
ini perlu lebih progresif dan profesional. Progresif menurut kamus dewan edisi
keempat bermaksud menuju kearah kebaikan atau kemajuan. Mereka perlu melatih
diri mereka untuk lebih progresif dalam pemikiran dan tindakan supaya ianya
menjadi satu langkah untuk negara kita terus maju kedepan dari segi
intelektual. Pemikiran sebegini penting untuk melahirkan pemimpin yang mampu
membawa negara ke arah yang lebih baik.
Seperti yang
kata-kata yang diungkapkan oleh Saidina Ali r.a, “jika kamu ingin melihat masa
depan sesebuah negara, lihatlah pemuda dan pemudi negara itu hari ini”. Oleh
sebab itu, belia hari ini harus lebih progresif.
Salah satu perkara yang perlu ada pada belia yang progresif adalah jati diri
yang mantap dalam membentuk peribadi pekerti. Jati diri merupakan identiti yang
penting bagi sesebuah masyarakat kerana ia mencerminkan budaya, adat, bahasa,
dan agama. Hilang jati diri, maka hilanglah identiti sebuah bangsa. Belia perlu
diterapkan dengan program yang boleh membentuk mereka kearah kebaikan kerana
pembinaan negara bangsa berteraskan kekuatan semangat patriotik dan jati diri
yang kukuh namun ia hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
Ancaman kedaulatan negara
Perkara ini penting
dalam menghindarkan belia dari terjebak dengan perkara negatif disamping menangkis
ancaman pemikiran yang melanda sesetengah belia hari ini. Tanpa kita sedar,
sebenarnya kedaulatan negara kita diancam bukan sahaja dari segi fizikal bahkan
dari segi spiritual (pemikiran). Menurut Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz, Felo
Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Insitut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM), yang juga merupakan pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad
Ibrahim UIAM, serangan pemikiran yang dilihat sebagai ancaman kepada kedaulatan
negara adalah lebih bahaya dari serangan fizikal. Setiap perkara yang melanggar
prinsip perlembagaan negara adalah ancaman dan ia merupakan satu perkara yang
serius.
Kebelakangan ini,
kita melihat negara kita menghadapi beberapa krisis yang menggugat keamanan
negara termasuk peristiwa pencerobohan di Sabah, Tragedi MH370 dan MH17, dan
juga desas-desus pihak yang mencadangkan supaya Sabah dan Sarawak keluar dari
Malaysia. Justeru, jati diri yang kukuh dalam kalangan belia akan mampu
mengelakkan kekeliruan dan serangan pemikiran tersebut. Selain itu mereka juga
akan lebih berwaspada terhadap sebarang propaganda yang diterima.
Dalam kita melangkah kedepan, kita harus mengambil
pengajaran dari apa yang terdapat dibelakang. Oleh itu, kita harus menangkis
setiap propaganda yang melanda masyarakat hari ini dengan memahami sejarah
dengan jelas. Sejarah merupakan identiti dan melupakan sejarah menandakan kita
semakin melupakan identiti kita. Itulah yang berlaku kepada sesetengah remaja
yang lebih cenderung kepada budaya luar. Memahami sejarah akan membantu belia
dalam memahami fungsi dan kepentingan perlembagaan terutamanya yang melibatkan
kedudukan Islam, kedudukan melayu dan kedudukan raja-raja melayu.
Sejarah memberi kita
pengajaran dalam membantu kita merencang masa hadapan. Sejarah juga merupakan
guru terbaik sepertimana yang diungkapkan oleh ahli falsafah Roman, Cicero
(106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore,
“historia est magistra vitae” yang bermaksud sejarah merupakan guru
terbaik dalam hidup. sejarah juga menjadi motivasi terbaik kepada belia dalam perjuangan
menegakkan syiar Islam dan menjaga kedaulatan negara. Terdapat ramai pemuda
yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam usia muda. Antaranya,
Usamah bin Zaid yang menjadi panglima perang pada usia remaja, Sultan Muhammad
al-Fateh berjaya membuka Kota Konstantinople seawal usia 21 tahun, dan ramai
lagi pemuda lain yang menjadi motivasi kepada belia hari ini. Sejarah telahpun
membuktikan kejayaan belia.
Bentuk Pemikiran Progresif dan Profesional
Pelbagai forum dan
wacana ilmiah diadakan dalam membicangkan isu-isu semasa. Ini merupakan satu
medium kepada masyarakat terutamanya belia untuk memahami apa yang berlaku
dalam negara. Ianya juga menjadi satu medan kepada belia dalam menyuarakan
pendapat atau kemusykilan mereka mengenai sesuatu isu. Perkara seperti ini
membentuk pemikiran progresif dan profesional belia sebagai bakal pemimpin yang
bersifat glokal iaitu mampu berdaya saing di peringkat global tetapi berakar
umbi dan berpegang teguh kepada jati diri yang bersifat lokal.
Oleh itu, belia harus
mengubah perspektif pemikiran mereka untuk lebih matang dan tidak terlalu
hanyut dengan perkara yang merosakkan mereka. Kita amat berperanan dalam
menjaga kedaulatan negara dan menangkis segala ancaman terhadap agama dan
negara yang diserang dari segi fizikal dan juga pemikiran.
Rakyat Malaysia sememangnya memerlukan kesedaran dlm membina jati diri. Walaupun negara kita dianggap aman, tetapi tidak dinafikan yg kita berperang dengan gejala sosial, krisis identiti budaya & remaja serta pelbagai lagi anasir2 yg kurang elok. Begitu juga dgn kesan2 yg kita terima dlm persada antarabangsa terhadap tragedi2 yg tak disangka2 berlaku. Syabas atas perkongsian ilmu yg sungguh bermanfaat ini. Semoga Allah sentiasa memberkati... aamiin.. :)
ReplyDeleteNice entry :)
ReplyDelete