Oleh: Mohd Syarizwan
Sejarah merupakan satu elemen penting dalam kehidupan. Sejarah
sendiri mempunyai pelbagai definisi yang diketengahkan oleh ahli sejarah
terdahulu. Menurut Donald V. Gawronski, beliau mendefinisikan sejarah sebagai
satu catatan atau rekod masa lalu atau sebahagian dari masa lalu (lihat
Gawronski, Donald V, History: Meaning and Method, Foreman and Company, Scott,
1969). Kalau dilihat kepada definisi tersebut, ianya melibatkan tempoh masa
yang telah berlalu dalam kehidupan manusia. Namun walaupun ianya telahpun
berlalu, ia amat penting untuk suatu tamadun manusia.
Dalam Islam sendiri sejarah amat memainkan peranan dalam membentuk
peribadi manusia. Oleh kerana itu, al-Quran yang diturunkan bukan sahaja untuk
memberitahu mengenai hukum-hukum, tetapi didalamnya terkandung sejarah tamadun
tamadun terdahulu sebagai pengajaran untuk kita semua. Sebagai contoh,
bagaimana Allah merakamkan dalam al-Quran kisah umat yang diturunkan azab
terhadap mereka seperti kaum Lut, A’d dan Thamut. Ahli sejarah dalam kalangan
muslim juga cuba untuk menerapkan kepentingan sejarah melalui karya mereka
seperti al-Muqadimmah karya Ibnu Khaldun dan Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk (sejarah
para Rasul dan Raja-raja) karya Al-Tabari.
Pemahaman sejarah itu penting kepada semua generasi terutamanya
umat Islam sendiri. Sarjana sejarah Islam seperti Ibnu Khaldun sering
mengetengahkan bahawa intelektual dan spritual umat terdahulu telahpun berjaya
membentuk kegemilangan tamadun Islam. Namun, dalam pada itu, kita juga jatuh
kerana kekurangan elemen tersebut. Salah satu faktornya adalah kerana kita
melupakan sejarah.
Mari kita ingat kembali ucapan yang diungkapkan Tun Dr Mahathir
sebelum beliau menyatakan perletakan semua jawatannya dalam parti (Perhimpunan
Agong Umno 2001). Beliau menyatakan bahawa melayu mudah lupa. Berulang-ulang
kali beliau mengungkapnya. Apakah signifikasi ungkapan tersebut? Dalam satu
buku bertajuk “Jejak Seorang Pemimpin: Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir”, beliau
ada menjelaskan mengapa beliau berkata sedemikian. Ini kerana beliau melihat
bahawa anak muda kita semakin lupa akan asal-usul dan sejarah mereka sendiri.
Ini yang mengecewakan beliau. Justeru, kita tidak patut melupakan sejarah
kerana menurut George Santayana, sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan
mengulanginnya berkali-kali. Sejarah itulah panduan terbaik kita.
Sebagai contoh, saya ingin mengajak para pembaca kembali merenung
tentang sejarah kewujudan sekularisma dalam dunia ini. Ramai menyangka bahawa
Mustafa Kamal Atartuk merupakan orang pertama yang mengasaskan pemikiran yang
disebut sekularisma itu. Namun, sebelum pada itu, Perancis merupakan negara
sekular pertama yang mengisytiharkan agama dipisahkan dari pentadbiran politik
negara pada tahun 1789. Hal ini kerana pada ketika itu orang melihat bahawa
peranan agama dan golongan gereja ini terlalu mengongkong kehidupan rakyat.
Selain itu, peranan gereja juga seolah-olah dilihat tidak masuk akal dengan
penjualan sijil pengampunan dengan harga yang mahal. Begitu juga konkongan
gereja terhadap penemuan sains sehingga beberapa saintis ketika itu dihukum.
Itulah yang berlaku pada zaman gelap akibat daripada kesilapan memahami dan
pemesongan dalam kalangan ahli agama.
Berbalik pada apa yang berlaku di negara kita hari ini, saya
melihat ada segelintir antara kita yang tidak memahami sepenuhnya konsep dalam
Islam itu sendiri. Ini boleh mengakibatkan satu fitnah besar terhadap agama
yang boleh mengakibatkan sejarah dahulu berulang. Ramai yang memperlihatkan
kejahilan mereka tentang agama secara terang-terangan sehingga umat Islam dan
bukan Islam melihat bahawa Islam ini agama yang terlalu mengongkong dan tidak
masuk akal. Perkara sebeginilah yang memalukan agama dan diri kita sendiri
sedangkan Islam itu mudah dan indah. Secara jujurnya, saya merasakan kita
berada dalam keadaan yang agak bahaya dan kritikal dengan pencemaran imej Islam
oleh pihak-pihak yang tertentu.
Oleh sebab itu, kita perlu mengambil pengajaran dari apa yang
berlaku pada sejarah lampau. Kita perlu mengkaji dan mejejaki semula jejak
tamadun terdahulu dari segi kebangkitan, kegemilangan dan juga kejatuhan. Jika yahudi
boleh mengkaji tentang sejarah Islam, mengapa tidak kita sendiri yang mengkaji
sejarah kita untuk bangkit. Semuanya mempunyai signifikasi dan pengajaran tersendiri
untuk masa hadapan. Sepertimana yang ditulis oleh Donald W. Whisenhunt dalam The
Importances of History (Kepentingan Sejarah), beliau menegaskan bahawa
sejarah penting untuk merancang masa hadapan kerana setiap keputusan seseorang
atau sesebuah negara adalah berdasarkan masa lalu (lihat Whisenhunt, Donald W,
A Student’s Introduction to History 2nd Edition, American Press, Boston, 1993).
Jadikanlah sejarah itu guru kita seperti lirik lagu doa buat kekasih, nyanyian
Ramli Sarip, “sejarah, mengajar kita, menjadi lebih dewasa..”
Yeah..terbaek..sejarah mengajar kita erti siapa kita..mengapa kita di sini..mmg sejarah perlu ditelaah secara berterusan supaya kita mengambil intipati yang berguna untuk merancang masa depan..
ReplyDelete