Friday, 6 November 2015

Ramai yang masih keliru berkenaan dengan bidaah dalam ibadah dan juga bidaah dalam perkara umum (duniawi). Hari ini ternyata timbul isu-isu yang melibatkan kedua-dua ini yang mengundang khilaf para ulama dalam menyatakan pandangan mereka terhadap isu-isu tersebut. Yang terbaru adalah berkenaan dengan isu berzikir sambil menari walaupun sebenarnya isu ini telah lama dipedebatkan.

Untuk meletakkan hukum pada isu tersebut bukanlah dalam bidang kuasa saya. Namun dalam isu ini saya lebih kecewa membaca komen-komen para pengguna media sosial yang menghentam para agamawan termasuk mufti dan ahli akademik yang lain. Tidak kurang juga da yang melabelkan mereka ini Syiah, Wahabbi, sesat, dan sebagainya. Ini sebenarnya boleh menimbulkan perpecahan dan persespsi negatif kepada golongan agamawan ini kerana hanya perbezaan pendapat.

Sebahagian pendapat yang menyatakan hukum ini haram kerana tiada dalil yang membenarkan ibadah itu dilakukan. Itu adalah betul. Dalam ibadah, setiapa perkara yang ingin dilakukan memerlukan dalil dalam membenarkanya. Berbeza dengan perkara umum yang lain seperti makanan, teknologi dan sebagainya.

Saya menulis ini kerana ada yang berhujah menyatakan mereka yang mengharamkan ibadah sebegini sesat. mereka membalas hujah dengan bertanya "kenapa naik kereta? sedangkan ia tidak ada zaman Rasululllah. jadi, adakah menaiki kerata haram kerana tidak terdapat dalil berkenaannya??" 

Baik, perkara ibadah dan umum seperti penggunaan kereta ini adalah dua hal yang berbeza dan tidak boleh dibandingkan. dalam melakukan ibadah (perkara agama), perlu ada dalil berkenaannya. Tetapi, dalam perkara umum, ia dibolehkan dan dihalalkan selagi mana tidak ada dalil mengharamkannya.


لاصل في العباده بطلان حتي يقوم الدليل علي الامر
"Asal hukum sesuatu perkara ibadah itu adalah haram/tidak sah, kecuali ada dalil yang memerintahkan."

Berkenaan dengan menaiki kereta atau seumpamanya, memang ia tidak ada pada zaman Rasulullah. tetapi ia dibenarkana kerana ia tergolong dalam kategori Maslahah Mursalah. 

الأصل فى الاشيأ الاباحة, حتى يدل الدليل على التحريم
"asal hukum perkara umum itu adalah harus, kecuali ada dalil yang mengaharamkannya"


Ini lah dua konsep yang berbeza yang perlu kita faham. Sebagai contoh, makan keropok lekor disalut cheese dan coklat kemudian digoreng bersama tepung. Itu dibenarkan. Apa pun resepi yang nak ditambah, silakan. tidak ada dalil yang mengharamkannya. Begitu juga dengan rambutan, durian, laksa, semuanya tidak ada dalil berkenaannya. Adakah boleh makan? ya boleh, kerana hukum asalnya harus.

Tetapi dalam ibadah lain. Seorang yang terlalu zuhud, ingin melakukan solat subuh 4 rakaat. Adakah boleh? Tidak kerana tidak ada dalil yang memerintahkan sebegitu.

Jadi dalam konteks isu yang disebutkan diatas, setiap ulama dan agamawan ada hujah mereka. Cuma orang awam yag tidak faham akan isu ini menjadikan isu ini rumit dan mengelirukan.

Apa-pun cubalah kita berlapang dada dan mengelakkan permusuhan. Bagi mereka yang kata boleh, ada hujahnya. Bagi mereka yang kata haram, ada juga pendapatnya. Jika kita rasa apa yang disampaikan oleh orang lain salah, maka perbetulkan lah dengan cara baik, bukan dengan mengeluarkan kata-kata kesat atau melabel dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

Yang penting bagi kita, cuba cari sebanyak mungkin ilmu, dan fahamkan. Berguru dengan mereka yang benar-benar arif dan beradablah dengan ilmu tersebut. Jangan angkuh dan takabur. Sekian Wallaua'lam...


Posted on Friday, November 06, 2015 by MatWan

7 comments

Tuesday, 20 October 2015



Saya berkesempatan untuk menghadiri persidangan hari pertama Sidang Dewan Rakyat bagi penggal ke-3 Parlimen ke-13. Seperti biasa, disana lah para Menteri dan ahli-ahli Parlimen yang lain membahaskan usul dan membincangkan perihal negara. 

Semalam merupakan hari pertama persidangan. Namun, seperti biasa Ahli Parlimen (MP) dari kerajaan dan pembangkang akan membahaskan usul-usul sebelum sesuatu perundangan itu diluluskan oleh Parlimen. Saya sebagai pemerhati, melihat isi perbahasan dan juga tahap profesionaliti ahli dewan ketika berbahas.


Secara peribadi, saya merasakan sesetengah ahli Parlimen kita masih di tahap profesionaliti yang rendah ketika berbahas. Tidak kira dari pembangkang, dan juga kerajaan. Walaupun persidangan masuk hari pertama, dua orang ahli dewan diarah keluar oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Walaupun ada yang berpendapat itu adalah perkara biasa, namun bagi saya ia menunjukkan bahawa mereka tidak profesional. Sepatutnya mereka sebagai wakil rakyat, pemimpin masyarakat mereka perlu menunjukkan contoh yang baik.

Jadi, saya berfikir, sejauh mana mereka mengutamakan agenda rakyat jika dalam dewan rakyat asyik bertikam lidah dan memerli ahli parlimen yang lain? Bagi saya ia memalukan. Apatah lagi jika mereka tidak boleh menghormati Speaker Dewan selaku pengerusi mensyuarat. Jadi bagaimana rakyat mahu menghormati mereka? 

Namun antara mereka, masih ada yang saya begitu hormati dan kagum kerana kredibiliti dan karakter mereka. Sebahagian dari kerajaan dan sebahagiannya dari pembangkang. Bagi saya mereka masih profesional dan mempunyai nilai yang baik untuk dicontohi, cuma segilintir yang lain bersikap tidak profesional, nama yang baik juga tercalit sama. Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Apa pun kita berharap agenda rakyat terus diutamakan disamping meningkatkan usaha untuk mendidik generasi muda untuk lebih profesional.


*MP = Member of Parliament, digunakan untuk merujuk kepada ahli Parlimen




bergambar bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Datuk Ronald Kiandee
dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Nur Jazlan












 info parlimen:



Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan. Seperti Demokrasi Berparlimen mengandungi 3 cabang utama

  •                    Perundangan (Legislative)
  •                    Eksekutif (Executive)
  •                    Kehakiman (Judiciary)



Parlimen di Malaysia terbahagi kepada dua;-
  •           Dewan Rakyat (house of representative)
  •           Dewan Negara (the senate)



Fungsi Parlimen:
  •           Meluluskan undang-undang
  •           Membuat pindaan undang-undang yang sedia ada
  •           Meluluskan cuka-cukai baru
  •           Menyemak dasar-dasar kerajaan
  •           Meluluskan perbelanjaan kerajaan



Posted on Tuesday, October 20, 2015 by MatWan

4 comments

Wednesday, 14 October 2015

Tanpa kita sedar, zaman sekarang memang banyak berubah. Pembangunan semakin maju. Teknologi pula semakin luas. Semua kerja lebih mudah dengan teknologi. Jika dulu, telefon hanya untuk berhubung melalui panggilan dan pesanan ringkas (SMS). Sekarang, pelbagai aplikasi boleh didownload secara percuma. Memudahkan kita berhubung. Lebih pantas dan cepat. Macam-macam aplikasi tersedia, untuk berhubung, untuk mendapatkan maklumat, games, cuaca, waktu solat, kiblat, semua ada. 

Namun, kita harus akui teknologi yang berkembang ini sebenarnya mempunyai baik buruknya. Perkara yang baik boleh jadi buruk jika ia digunakan untuk tujuan yang salah atau digunakan secara salah. Kesannya besar. Secara mudahnya, teknologi juga membuatkan kita terancam dari sudut keselamatan dan juga moral.

Apa yang dimaksudkan dengan generasi tunduk? Sebenarnya saya gunakan istilah ini untuk merujuk kepada zaman sekarang yang rata-rata pengguna smartphone tidak dapat lari dari gadjet mereka. Tidak kira tempat, masa, umur, sentiasa memegang smartphone mereka. Itu yang membuatkan mereka tunduk khusyuk bermain dengan gadjet yang dipenuhi pelbagai bentuk teknologi. 

Cuba kita fikir kembali kehidupan ketika dulu tanpa teknologi. Terlalu banyak pengalaman kanak-kanak yang kita lakukan bersama kawan-kawan. Masih ingat? Semua itu mengajar kita erti hidup. Tapi berbeza dengan kanak-kanak hari ini. Mereka lebih banyak membesar dengan gadjet. Bahkan seawal umur 5 tahun sudah pandai menggunakan tablet. Tidak boleh salahkan sesiapa. Kita juga harus faham situasi zaman hari ini. Kes kanak-kanak hilang, culik yang berleluasa menyebabkan ibu bapa tidak mahu anak bermain diluar. Oleh sebab itu kanak-kanak hari ini lebih banyak dirumah bersama gadjet.

Namun, ibu bapa juga harus peka dan pandai mengawasi anak-anak. Jangan sampai mereka terlalu leka dan lalai. Terutama bagi mereka yang masih bersekolah rendah dan mempunyai telefon pintar. Ramai antara mereka hari ini sudah mempunyai akaun Facebook, Twitter, Instgram, Wechat dan sebagainya. Terlalu banyak perkara yang tidak sesuai dengan umur mereka terdapat dalam aplikasi-aplikasi tersebut. Jangan kita ambil mudah, kerana kesannya besar. 

Di Facebook hari ini ramai kanak-kanak yang dah pandai mencari pasangan untuk bermanja. Begitu juga di Wechat dan aplikasi laman sosial lain. Sampai dah ada yang mengambil gambar bersama dengan caption yang manja-manja. Parah budak-budak sekarang.

Justeru rakan-rakan, kita perlu menjadi contoh yang baik. Gunakan teknologi sebaiknya. Jika tidak, mungkin satu hari ia boleh memakan kita. Zaman sekarang merupakan zaman yang mencabar. Jika dulu kita berumur 12 tahun masih lagi tak tahu apa-apa, tapi kini, 12 tahun semua benda dah tahu, keluar melepak sehingga tengah malam pun mereka tak kisah.




Anda masih ingat semua ni?? Pasti menggamit kenangan zaman kanak-kanak kita...







Posted on Wednesday, October 14, 2015 by MatWan

7 comments

Thursday, 24 September 2015



Aidiladha di UIAM


أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ

أكْبَرُ ﭐللهُ وَ , ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ

ﭐلْحَمْدُ وَللهِ أكْبَرُ ﭐللهُ

Allah maha besar (3X)


Tiada Tuhan selain Allah, Allah maha besar

Allah maha besar dan segala puji bagi Allah


Salam AidilAdha untuk semua. Alhamdulillah syukur kerana masih lagi berkesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban kali ini.. Tahun depan? Wallahua’lam...

Raya kali ni rasanya lain dari tahun sebelum-sebelumnya. Ini kali pertama saya menyambut Raya Korban tanpa keluarga disisi. Selama 20 tahun menyambut raya di Terengganu bersama keluarga, kali ini terpaksa berhari raya di UIA bersama kawan-kawan.

suasana program korban di UIA
(sebanyak 60 ekor lembu dikorbankan)
Namun, raya kali ini perasaannya lain. Biasanya Aidiladha ini dikaitkan dengan pengorbanan. Pada saat inilah umat Islam menumpukan kepada ibadah Haji di Mekah dan juga Ibadah Korban dalam memperingati peristiwan besar pengorbanan antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.


Ibrah AidilAdha bukan sekadar pengorbanan
Aidiladha bukan sekadar pengorbanan. Pengajaran dari dua ibadah besar yang berlaku pada waktu itu terlalu banyak. Salah satunya ialah perpaduan antara ummah. Saya terkesan pada pengajaran ini untuk raya kali ini. Suasana raya di UIA sebenarnya lebih meriah dari dikampung. Disini saya melihat bagaimana perpaduan ummah itu direalisasikan dalam satu suasana yang mungkin tidak dapat kita lihat di kampung sendiri.

UIA merupakan salah satu universiti yang menempatkan pelajar-pelajar dari luar negara termasuk Mesir, Iraq, Palestin, Sudan, Turki, Jordan, China, Myammar, Indonesia, dan sebagainya. Boleh dikatakan terdapat pelajar-pelajar Islam dari seluruh pelusuk dunia ada disini. Jadi, kami dapat merasai bagaimana Islam itu tersebar ke seluruh dunia.

Namun, raya kali ini merupakan satu suasana baru bagi saya. Selesai solat sunat Aidiladha, saya melihat mereka ini saling bersalaman, berpelukan sambil berbalas ucapan ‘Eid Mubarak’. Ada yang bergambar beramai-ramai. Apa yang cantiknya, mereka tidak mengira warna kulit dan latar belakang. Yang ada hanyalah mereka sebagai saudara seIslam.

Jika kita fikir kembali, inilah yang sepatutnya dan perlu kita teruskan. Begitulah juga pengajaran kepada ibadah haji yang dilakukan. Kita lihat bagaimana umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Mekah dengan pakaian yang sama warna tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.

suasana lepas khutbah
Sungguh raya kali ini mungkin menambahkan satu lagi pengalaman bermakna dalam hidup. Walaupun khutbah yang disampaikan dalam bahasa Arab, keseluruhannya saya tidak berapa faham, tapi khatib ada menyebut apa yang berlaku di Palestin terutamanya tentang Masjid al-Aqsa yang diserang oleh Zionis laknatullah. Masjid al-Aqsa merupakan salah satu tempat yang mulia, juga merupakan kiblat pertama umat Islam. Namun tempat suci itu terus diserang, umat Islam pula terus leka. Oleh sebab itulah perlunya perpaduan yang utuh dalam kalangan umat Islam hari ini.
  
Semoga kita semua terus menghayati ibrah AidilAdha ini. Yang menjalani ibadah korban semoga Allah menerima segala ibadah kita. Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha. .






selepas selesai Solat Sunat Aidiladha bersama kawan-kawan. 
Hanya sekerat sahaja melayu yang tinggal, yang lain semua pelajar luar.
Macam kami pulak yang jadi foreigner.



Posted on Thursday, September 24, 2015 by MatWan

16 comments

Sunday, 20 September 2015

Jangan sangka kita ini terlalu mulia kerana dilahirkan sebagai dalam kaum yang kita rasakan ia mulia. Lahir sebagai melayu itu bukan pilihan kita. Begitu juga kelahiran sebagai Cina, India, atau apa sahaja keturunan yang ada. Itu semua merupakan pilihan Tuhan yang telah menjadikan kita semua sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran untuk berfikir yang baik dan juga yang buruk.
Soal perkauman ini sebenarnya satu isu yang sensitif untuk dibincangkan. Hal ini kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan jika tersilap bicara dalam menyentuh isu ini. Namun akhir-akhir ini ada sesetengah pihak cuba membangkitkan isu ini atas alasan tertentu. 

Sememangnya isu-isu yang berkait dengan sensitiviti perkauman dan agama ini perlu dielakkan. Ia boleh menganggu gugat keamanan dan toleransi masyarakat di seluruh dunia khasnya dalam situasi negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Saya merasakan pihak-pihak yang cuba membangkitkan isu perkauman atas alasan tercabar ini mungkin tidak memahami sejarah secara mendalam.

Memang mencintai bangsa sendiri adalah satu sifat fitrah atau semula jadi dalam diri manusia. Mempetahankan ketuanan bangsa, tanah tumpah adalah satu kemestian yang perlu ada dalam diri. Namun kita perlu berhati-hati, jangan sampai ego kita ini memusnahkan apa yang telah dibina oleh generasi dahulu dalam mengekalkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

Saya tidak merasakan kaum Melayu perlu merasa tercabar dengan apa yang berlaku (merujuk kepada perhimpunan BERSIH 4). Negara kita ada undang-undang. Jika ada yang merasakan ia satu tindakan yang tidak betul, rujuk ia kepada undang-undang, bukan dengan cara meluahkan rasa tidak puas hati itu melalui slogan-slogan perkauman, atau kata-kata yang boleh dianggap penghinaan kepada phak lain.

Mari kita kembali kepada firman Allah yang menjadi rujukan kita dalam semua hal. Allah telahpun nyatakan dalam surah al-Hujurat, ayat 13:

"Wahai manusia, seseungguhnya kamu diciptakan daripada seorang lelaki, dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal. Sesugguhnya yang paing mulia disisi Allah adalah orang yang bertaqwa...." (Surah al-Hujurat, 49: 13)
Image result for perpaduan kaum di malaysia
Oleh sebab itu saya tegaskan pada awalnya, jangan kita rasa lebih mulia kerana kita melayu. Sikap toleransi dalam masyarakat di negara ini perlu dikembangkan supaya kita dapat hidup aman dan sejahtera bersama. Cukuplah ia menjadi catatan sejarah yang perlu kita ambil pengajaran. Tidak perlu diulang apa yang telah berlaku. Kelak ia boleh merugikan kita dan generasi akan datang.

Posted on Sunday, September 20, 2015 by MatWan

5 comments

Wednesday, 20 May 2015

Politik itu sebenarnya unik. Ada yang beranggapan bahawa lapangan politik itu adalah lapangan yang kotor, penuh penipuan, penuh dengan taktik jijik menjatuhkan yang lain. Ya, saya tidak nafikan memang itulah anggapan masyarakat terhadap politik. Saya tidak nafikan juga bahawa itu memang berlaku dalam lapangan politik.

Ada juga yang beranggapan bahawa politik itu sebenarnya bersih, cumanya mereka yang berada didalamnya itu yang mencemari apa yang berlaku. Itu juga betul. Namun bagi saya politik itu bukan sekadar apa yang kita fikirkan. Politik itu mempunyai konsep yang meluas. Bukan hanya sekadar meraih undi dalam pilihanraya. 

Ye, saya mengambil jurusan Sains Politik. Ramai yang bila bertanya, kemudian apabila saya menjawab Sains Politik, mereka beranggapan saya akan menjadi ahli politik, (Yang Berhormat). Dalam media sosial juga banyak perkara yang saya tuliskan berkenaan dengan politik Malaysia. Sehingga juga yang memanggil saya dengan gelaran YB (walupun ini hanyalah sekadar gurauan dari rakan-rakan).


Sebenarnya saya tidak berminat untuk berada dalam lapangan politik sebagai ahli siyasah (Ahli Politik). Tetapi, saya hanya ingin berada dalam lapangan akademik sebagai ahli 'Ilm (ahli akademik).


Mengapa? Untuk menjadi ahli politik, kelayakan yang perlu ada sangat tinggi. Lapangan politik itu sendiri sangat mencabar. Tipu muslihat itu sudah tentu perlu dibiasakan walaupun sebagai mangsa. Saya merasakan diri ini tidak mampu berada dalam situasi sebegitu. Jiwa ahli politik ini perlu keras, kental, tidak lemah. Itulah yang menjadikan politik itu menarik bagi saya. Ia dilihat seperti satu game yang sangat menarik. 


Namun, bidang ilmu dalam politik ini lebih menarik. Jika tiada ilmu, politik itu menjadi hina. TIdak akan ada moral dalam politik. Saya ingin berada dalam lapangan akademik ini untuk sedaya upaya membantu ahli-ahli politik ini dari sudut nasihat atau pandangan dari sudut ilmu.


Dalam negara kita, itulah yang masih kurang. politik kita lebih dimenangi oleh politik ampu dari politik ilmu. Mungkin banyak lagi yang perlu sama-sam kita usahakan untuk mengharmonikan lapangan politik ini. Sebenarnya ramai yang tidak berminat untuk ambil tahu. Sebenarnya, kita perlu ambil tahu, kerana tanpa kita sedar kita bertanggungjawab terhadap agama dan negara kita. 


Kita memerlukan lebih ramai cendekiawan yang rasional dalam politik. Sekarang kita tengok, kita mempunyai Dr Maza (Mufti Perlis), Dr Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah UIAM), Dr Maszlee Malek (penganalisis politik UIAM), Prof Agus Yusof (penganaisis politik UKM), Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan), dan ramai lagi. Setakat ini, saya kagum dengan mereka kerana ilmu mereka dan cara mereka berhadapan dengan politik sebagai ahli akademik. Namun, siapa akan ganti mereka untuk menjadi penasihat generasi seterusnya?


Mudah-mudahan segala ilmu yang kami pelajari dalam ilmu politik ini dapat diaplikasikan nanti untuk memberi manfaat kepada semua... wallahu a'lam...



Posted on Wednesday, May 20, 2015 by MatWan

3 comments

Thursday, 2 April 2015

Kebelakangan ini ada saja isu yang timbul melibatkan masyarakat kita yang bertindak tanpa memikirkan kesan yang berlaku terhadap dirinya dan juga pihak sekeliling. Isu-isu ini timbul akibat perbuatan mereka yang dirakam dan kemudiannya menjadi viral dan disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, blog-blog, aplikasi Whatsapp, dan sebagainya.

Ada juga yang sengaja merakamkan untuk melawak tetapi akhirnya menjadi viral kerana apa yang dilakukannya pendapat perhatian ramai pihak akibat perbuatan mereka yang dianggap sebagai menghina, lawak, terhibur, dan sebagainya.

Baru-baru ini muncul satu video yang menjadi kontroversi apabila video yang berdurasi 1 minit 56 saat itu menyiarkan seorang perempuan yang bernama Aisyah bercakap mengenai hudud. Video itu menjadi viral kerana ia dianggap menghina dan mempertikaikan pelaksanaan hukum tersebut di Kelantan. Kemudian minggu ini muncul pula beberapa versi video yang menunjukkan pergaduhan beberapa remaja perempuan dengan seorang lelaki yang merupakan pemandu teksi. Ia dipercayai akibat satu pelanggaran antara kereta milik mereka. Namun apa yang dikesalkan adalah tindakan remaja-remaja perempuan terbabit yang mengamuk dan bertindak ganas serta mengelurakan kata-kata kesat.

Ia menarik perhatian rakyat Malaysia yang menyebarkan video tersebut dan mencemuh sikap remaja-remaja perempuan terbabit yang dianggap biadap. Rata-rata pengguna sosial media menyatakan kekesalan mereka akibat tindakan tersebut.

Ambil pengajaran
Jika sebelum ini, video tentang seorang perempuan yang bernama Kiki yang mengamuk menggunakan ‘sterring lock’ juga mendapat perhatian akibat tindakan ganasnya. Namun, ia telah menjadi satu pengajaran kepada semua dan beliau sendiri telahpun meminta maaf atas tindakan beliau.

Namun yang menjadi kekesalan saya, tidakkah rakyat Malaysia mengambil pengajaran dari peristiwa lepas? Tindakan sebegitu sepatutnya sudah tidak timbul. Kita sepatutnya mengambil pengajaran dari apa yang teah berlaku sebelum ini. Rakyat Malaysia sekarang ini memang sensitif terhadap perkara-perkara sebegini, jika timbul sahaja perkara begini, maka ia akan menjadi viral. Kita juga yang menanggung malu nanti.

Dimana adab kita?
Saya juga turut kesal apabila melihat isu-isu sebegini timbul. Seolah-olah adab kita sebagai melayu telah hilang kesopanan dan kesusilaan. Walaupun kita perlu faham keadaan merea yang mengalami tekanan atau sebagainya, namun tidak perlu lah mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki hamun.

Bukan sahaja mereka yang terlibat, begitu juga dengan rakyat Malaysia yang lain. Apabila video-video tersebut menjadi viral, maka akan ramai yang memberi komen. Tidak kurang juga mereka yang sama-sama mengeluarkan kata-kata kesat dalam memberi komen dan menuduh dengan bermacam-macam gelaran.

Ke mana adab kita sebenarnya? Sebagai orang Islam, maka ia amatlah mendukacitakan kerana Islam itu agama yang indah dan aman. Kita yang sepatutnya menunjukkan keindahan Islam itu supaya dapat dikagumi oleh bangsa lain. Namun kini, bukan sahaja nama agama, nama keluarga, nama institusi pengajian juga turut tercemar akibat daripada perbuatan kita.

Hormat-menghormati dalam masyarakat
Sikap saling menghormati antara kita juga dilihat semakin hilang. Ada sahaja kontroversi yang menyentuh sensititviti pihak lain dan ia boleh menyinggung pihak tersebut. Kehidupan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama seperti di negara kita amat memerlukan masyarakat kita untuk saling menghormati antara satu sama lain. Jika tidak, ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah dan perbalahan yang akhirnya merugikan kita semua. Justeru, sama-samalah kita menjaga adab dab tatasusila kita dalam kehidupan seharian dan janganlah terlalu cepat menghukum sesiapa sebelum mendapat penjelasan dari semua pihak... 

wallahua'lam....



Posted on Thursday, April 02, 2015 by MatWan

2 comments

Tuesday, 17 March 2015


Kita sering mendengar pelbagai perumpamaan yang menunjukkan betapa tingginya nilai ilmu. Tidak dinafikan bahawa ilmu itu memang satu perkara yang menjadi keutamaan dalam kehidupan. Tanpa ilmu, tiada apa yang kita peroleh. Ilmu itu disifatkan seperti cahaya. Cahaya yang bakal menerangi segenap ruang dalam kehidupan kita sebagai musafir yang berjalan mencari sesuatu. Jika banyak cahaya yang kita ada, maka makin teranglah masa depan kita. Sebalinya, jika kita hanya ada sedikit sahaja cahaya tersebut, maka samarlah masa depan. Itulah satu hipotesis yang menunjukkan kepentingan ilmu ini.

Didalam al-Quran juga Allah sering meninggikan sifat ilmu ini. Ia terkandung melalui wahyu Allah yang pertama yang menyebut tentang iqra’ (baca). Ia menjadi wahyu yang pertama diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Dari situlah menunjukkan betapa pentingnya ilmu. Allah tidak mengarahkan Nabi Muhammad untuk terus pergi kepada kaumnya atau tidak pula Allah menyuruh Muhammad untuk membuka sebuah negara dengan serta merta. Sebaliknya Allah memerintahkan supaya membaca, iaitu cari ilmu.

Dengan ilmulah kita akan dapat segala apa yang kita mahukan. Tanpa ilmu, mana mungkin seorang mekanik mampu membaiki kereta, seorang doktor mampu merawat pesakit, seorang jurutera mampu membina bangunan-bangunan, dan sebagainya.

Menuntut ilmu merupakan satu tuntutan kepada seluruh manusia. Dalam satu hadis ada menyebut :

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam." (HR Ibnu Majah)

Jangan mengeluh dalam menuntut ilmu
Menuntut ilmu itu memerlukan kesabaran yang tinggi. Imam Syafie sering mengingatkan kita supaya terus tekun dalam menuntut ilmu. Salah satu petikan kata-katanya ialah: “Jika kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan tanggung peritnya kebodohan”.

Hari ini ramai pelajar tidak kira disekolah, kolej mahupun di universiti sering mengeluh dalam menuntut ilmu. Tidak dinafikan bahawa apa yang dipelajari setiap hari pastinya mencabar dan kadangkala sukar untuk difahami. Namun, jangan sesekali mengeluh tentang kesukaran tersebut. Hal ini kerana semua ilmu yang kita pelajari itu adalh milik Allah SWT. Seeloknya mohon lah kepada pemilik ilmu tersebut agar dipermudahkan urusan dalam menuntut ilmu.

Ikhlaskan hati untuk menerima ilmu
Keikhlasan adalah komponen yang utama dalam melakukan apa sahaja pekerjaan apatah lagi dalam beribadat kepada Allah. Menuntut ilmu adalah satu ibadah dan ia menjadi perkara yang fardhu kepada setiap muslim. Niat itu penting dalam melakukan perkara tersebut. Justeru, niatkanlah bahawa kita menuntut ilmu ini adalah kerana Allah SWT bukan hanya untuk peperiksaan semata-mata.

Keikhlasan itulah yang akan memandu kita untuk terus berada dijalan yang benar. Apabila kita ikhlas dalam menuntut ilmu, maka walaupun apa jua halangan yang kita hadapi, pasti akan dipermudahkan untuk kita menempuhnya. Dalam menuntut ilmu, betapa sukar pun apa yang kita pelajari, kita akan cuba fahami dan cuba fokus kerana niat kita adalah untuk mendapatkan ilmu tersebut kerana Allah SWT.

Allah naikkan darjat orang berilmu
Ilmu itu merupakan satu hadiah yang amat berharga buat manusia. Orang yang berilmu sering dipandang tinggi oleh masyarakat. Walhal ilmu yang dimiliki oleh kita itu adalah sedikit sahaja jika dibandingkan dengan semua ilmu. Hanya Allah yang memiliki segala ilmu dan hanya Dia lah yang patut di puji kerana setiap ilmu yang dimiliki adalah milik-Nya.




Banyak dalil dari al-Quran dan hadis Nabi menerangkan tentang darjat orang yang berilmu. Antaranya seperti yang dinyatakan dalam ayat berikut:


يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُواْ الْعِلْمَ دَرَجَـتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”(surah al-Mujadilah,58: 11)

Allah menaikkan darjat orang yang berilmu dengan beberapa darjat. Jadi lihatlah betapa kasihnya Allah kepada makhluk-Nya yang berilmu. Justeru, ilmu itu merupakan satu perkara yang menjadi keutamaan kepada manusia dalam mencari redha Allah. 

Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita menuntut ilmu itu akan membawa kita lebih dekat dengan pemilik ilmu tersebut iaitu Allah SWT. Ilmu itu sebenarnya satu jalan menuju redha Allah. Setiap puji hanya lah kepada-Nya yang meminjamkan ilmu-ilmu tersebut kepada kita. Semoga kita semua dipermudahkan dalam menuntut ilmu. J Wallahua’lam...





Posted on Tuesday, March 17, 2015 by MatWan

13 comments