Ramai yang tidak dapat membezakan antara keseronokan, kebahagian, atau ketenangan jiwa. Kita semua mahukan ketenangan, kebahagian dalam hidup kita. Semua itu penting. Itulah yang menjadikan masa depan kita bersinar, hidup kita disayangi keluarga dan rakan-rakan. Namun ramai yang hanya mencari kebahagian itu dengan cara yang salah, sehingga menjadikan orang lain pula yang menderita. sikap ini amat ditegah dalam Islam. Kadang-kadang kita merasakan bahawa kesenangan hidup itu yang memberikan ketenangan kepada kita. Ada juga yang menganggap bahawa berhibur dapat menghilangkan masalah mereka yang selama ini bersemak dalam kepala mereka. Mungkin sedikit sebanyak ada betulnya semua itu. Namun adakah ketenangan itu hadir jika kita melakukan apa yang dilarang oleh syariat Islam? Dan adakah berhibur itu salah dalam Islam?

Islam itu bukan agama yang jumud. Islam bukan menyempitkan hidup manusia. Bahkan Islam itu sifatnya syumul atau comprehensive atau menyeluruh, meliputi seluruh aspek kehidupan. Islam tidak melarang sama sekali untuk mencari harta dunia atau berhibur. Namun kita yang harus tahu syariat yang digariskan, jangan sampai melanggar apa yang telah digariskan. Namun, manusia yang tidak tahu menguruskannya sehingga perkara halal menjadi haram. Islam menggalakkan umatnya untuk menjadi kaya supaya dapat menaikkan nama Islam, dan dapat membantu saudara lain yang dalam kesusahan.

Tetapi harus ditegaskan bahawa perlu selari dengan kehendak Islam. Ramai yang tersesat kerana mereka lupa bahawa segala yang diberikan kepada mereka adalah semuanya daripada Allah. Ini yang menjadikan mereka tidak bersyukur. Tidak hairanlah jika kita melihat ramai yang kaya raya hari ini tidak mendapat ketenangan hatinya. Tidak percaya? Lihat saja golongan penghibur yang ingin menghiburkan hati orang lain, tetapi mereka yang berada dalam tekanan sehingga ada antara mereka yang mengambil dadah, membunuh diri, dan tidaka kurang juga hebatnya dalam kes cerai berai. Adakah ini yang mereka cari selama ini? Tentunya tidak.

Kita hayati firman Allah dalam surah at-Taubah ayat ke 55:

"oleh itu, janganlah kamu tertarik hati terhadap harta benda dan anak-anak kamu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyiksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir"

Harta benda itu hanyalah sekadar perhiasan dan ujian semata-mata untuk kita. adakah kita bersyukur atau sebaliknya. Lihat saja mereka yang mempunyai harta yang banyak, adakah makan minum mereka itu sentiasa berselera ? Sementara si miskin walaupun hanya makan sekadar mengalas perut , tetapi mereka mungkin berselera. Kerana apa? Kerana setiap ketenangan hati itu, Allah yang beri, bukan harta. 

Jadi pohonlah ketenangan itu daripada Allah. Hanya Allah yang mampu memeberikan ketenangan hati itu. seperti firmannya di dalam kitab suci al-Quran:

"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. " (surah ar-Ra'd : 28)

Sahabat pembaca yang dikasihi sekalian, jadilah kita orang yang bersyukur, InsyaAllah ketenangan itu hadir sekiranya hati kita benar-benar untuk Allah, Tuhan Penguasa Alam. 

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"kekayan hakiki itu bukanlah dengan banyaknya harta, namun, kekayaan hakiki adalah apabila mempunyai hati yang sentiasa berasa cukup" (hadis riwayat Bukhari-Muslim)


Tidak ada guna jika kita kaya harta tapi miskin jiwa. Jadi kita kejarlah kekayaan kedua-duanya. Semoga apa yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah. InsyaAllah. Wallahu a'lam.