Waktu yang berlalu pastinya terus pergi dan tak mungkin datang kembali. Apa yang berlaku pada diri kita sebelumnya adalah satu pelajaran baru untuk mengajar kita erti hidup yang sebenar. Setelah lama blog ini dibiarkan tanpa cerita, hari ini, saya mengajak kita semua merenung kembali apa yang telah berlaku dalam hidup kita. Adakah itu semua memberi kesan kepada kita untuk meneruskan hidup yang lebih baik, ataupun ianya sekadar peristiwa yang berlalu seperti angina, terasa ketika dan hilang begitu sahaja? 2013 telah pun melabuhkan tirainya. Pelbagai cerita suka dan duka dirasai sepanjang tahun. Namun sama ada suka ataupun duka, ianya telahpun berlalu. Hanya kenangan yang tinggal untuk kita mengambil iktibar dari apa yang berlaku.


Kini, masing-masing memasang azam yang baru. Semua inginkan yang terbaik. Tapi sedarkah kita bahawa masa lalu yang mengajar kita untuk menjadikan masa depan lebih baik? Nilai pengajaran itu membuatkan kita tidak lupa akan kesilapan yang telah dilakukan pada masa lampau dan dengan itulah kita dapat mengubah situasi itu menjadi lebih baik. Jika tidak, azam yang dipasang tiap-tiap awal tahun itu hanyalah sekadar ungkapan kerana tidak ada perubahan dari tahun ke tahun. Ada juga yang menjadikan azam itu hanyalah sekadar azam untuk tahun baru, setelah beberapa minggu berlalu azam itu hilang dan kehidupan mereka kembali seperti sebelumnya. Inilah contoh-contoh golongan yang hanya menjadikan masa lampau sebagai pengajaran hanya untuk dikenang bukan diubah supaya menjadi lebih baik.

Sejarah yang berlaku itu bukan untuk dipelajari semata-mata, tidak ada gunanya untuk dipelajari jika ianya tidak mengubah apa-apa. Begitu juga dengan saya yang menjadi seorang pelajar. Banyak perkara dan kegagalan yang berlaku sepanjang hidup. Namun jika hanya mengulit kenangan tanpa ada usaha untuk mengubahnya, sia-sia semuanya.

Apa yang penting kita harus mengakui kesalahan diri kita dan ubahnya dengan minda serta diri kita sendiri. Sebagai contoh, pelajar universiti biasanya kerap terlepas kelas kerana tidak sedar untuk bangun pagi setelah sengaja tidur lewat. Mereka sering mengakui kesalahan mereka itu. Namun, perkara tersebut sentiasa berulang akibat kesedaran mereka yang tidak terkesan pada hati. Akibatnya, mereka masih lagi sengaja tidur lewat , walhal mereka tahu yang mereka akan terlewat bangun pagi dan merugikan diri.

Konklusinya, muhasabah diri itu penting dan masa lalu itu bukan sekadar sejarah untuk dikenang, mahupun diakui semata-mata kesalahan lampau. Ianya adalah satu pelajaran untuk kita menjadikan hidup lebih baik dan berkualiti. Sesalan itu bukan pada kegagalan kita masa lampau, tetapi ia patut kita rasai setelah gagal merubah kegagalan masa lampau.