2 Mac 2013 / 19 Rabi'ul akhir 1434
Bismillahirahmanirrahim..
Segala puji dan
syukur dirakamkan kehadrat Allah S.W.T dan selawat serta salam ke atas
junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga kepada sahabat-sahabat baginda. Alhamdulillah kerana diberi peluang untuk
menulis sesuatu untuk kita diskusikan.
Kadang kala saya
terfikir adakah pertikaian mengenai sesuatu isu di Malaysia itu membawa
kebaikan kepada rakyat dan negara. Sebagai contoh, isu keagamaan yang timbul
pada akhir-akhir ini membawa banyak spekulasi yang kurang menyenangkan sama ada
dalam kalangan mahasiswa, parti-parti politik, mahupun pemimpin-pemimpin
negara. Hal ini masih timbul walaupun telah lama diselesaikan.
Adakah itu hanya permainan politik atau sebaliknya? Persoalan itu sering
timbul terutamanya bagi pihak media yang inginkan sesuatu yang hangat untuk
dijadikan bahan siaran. Akan tetapi, masalah yang timbul ialah kekeliruan dalam
kalangan rakyat untuk menerima cerita-cerita tersebut.
Jangan fanatik secara
buta
Siapa di pihak benar atau salah hanya Allah yang dapat menilainya secara
menyeluruh. Namun apa yang menyedihkan, sebahagian perkara yang timbul hanyalah
perlakuan segelintir ahli yang fanatik dalam berpolitik tanpa menggunakan cara
yang betul. Mereka seolah-olah menerima apa yang didengar disebelah pihak
sahaja tanpa meneliti adakah hal tersebut wajar.
Imam Malik berkata : “aku juga manusia biasa dan boleh betul, boleh salah. Periksalah pendapat-pendapatku. Jika sesuai dengan al-Quran, atau sunnah, maka terimalah. Jika sebaliknya, tinggalkanlah.”
Pengikut yang fanatik inilah yang menyebabkan kadang-kadang keadaan yang
pada mulanya kelihatan jernih tapi dicemari dengan keganasan hanya kerana mahu pihak lain menerima pandangan
pihak mereka walaupun kewajaran pada hal tersebut samar.
Kita tidak boleh memaksa atau berkeras untuk menerima pendapat kita tanpa
mendengar pendapat orang lain. Adakah salah untuk menjadi fanatik dalam
sesuatu? Mungkin ianya tidak salah, namun jika terlalu fanatik, dan fanatik
secara buta ini mungkin akan menimbulkan sesuatu yang kurang elok.
Perbezaan pendapat antara
manusia.
Setiap manusia
itu tidak sempurna dan ada kalanya mereka tersilap atau terlepas pandang akan
hal sesuatu. Hal ini akan menyebabkan berlakunya perselisihan pendapat. Pebezaan pendapat ini amat mustahil untuk
kita hapuskan kerana ia tetap akan timbul. Bahkan perbezaan ini tidak perlu
dihapuskan tetapi ianya perlu diuruskan dengan betul. Tetapi yang menjadi
persoalannya, bagaimanakah?
Sebagai seorang yang matang, kita perlu menilai dan meneliti sesuatu secara
rasional sebelum menerimanya. Pendapat yang jelas keliru dengan al-Quran dan
Hadis, perlulah kita elakkan dan bukalah sesi perbincangan secara rasional
bukan dengan cara membuka gelanggang pergaduhan yang boleh menjadi perpecahan
antara umat.
Elakkan perkara yang
jelas keliru dalam argumentasi
Pendapat-pendapat
yang jelas keliru dikenali sebagai syadz
atau Zallah (ketergelinciran)
ulama. Ulama juga seorang manusia walaupun gelarannya ulama. Tetap ada
kesilapan dalam sesuatu walaupun kecil. Secara rasional kita tidak boleh
menghukum mereka. Kekeliruan yang timbul tanpa sedar itu wajar jika terjadi.
Jadi kita haruslah matang dalam menilai sesuatu perkara dengan meneliti dengan jelas
dan tidak memecah belahkan umat.
“Setiap perkara yang didalamnya ada Hadis Rasulullah, menurut ahli hadis, yang berbeza dengan pendapatku, akan aku tarik balik. Sama ada masa hidupku, ataupun setelah aku mati.”
-Imam
as-Syafie -
Konklusinya , elok kiranya kita membuka dialog secara sihat tanpa cacian
dan saling memahami bagi menyelesaikan sesuatu kekeliruan. Dengan cara ini,
kita akan lebih dihormati oleh lawan. Pada waktu inilah masa untuk melihat
kebijakan dan kematangan seseorang dalam menyelesaikan sesuatu konflik dengan
pihak lawan mahupun sesama mereka sendiri.
0 comments:
Post a Comment