Assalamua’laikum. Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat-sahabat baginda.
Hari ini, negara digemparkan dengan satu insiden yang telah menyebabkan
keselamatan dan keharmonian negara sedikit terancam. Bermula pada 1 Mac 2013,
kronologi kes pencerobohan di Lahad Datu ini bukanlah satu insiden kecil
apabila dua anggota keselamatan negar terkorban dalam insiden ini pada 1 Mac
lalu. Hal ini telah menyebabkan kes ini semakin mendapat liputan luas. Namun,
kes ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Bahkan lebih parah apabila 4 lagi
anggota Polis terkorban dalam kes ini.
Menurut apa yang telah saya baca kronologi yang berlaku dalam konflik
antara Kesultanan Sulu dan Sabah ini bermula lebih awal.
Berikut kronologi yang dapat diambil berdasarkan kes ini sejak 1 Feb lalu:
9 Februari – Kumpulan penceroboh
memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara
berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
11 Februari – Sebahagian daripada
anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan
nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala
tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
12 Februari – Kumpulan itu dikenal
pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau
kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali
Mad bon.
14 Februari – Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik
termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum
mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
1 Feb – Ketua Polis Negara, Tan
Sri Ismail Omar berkata, polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina
yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan
‘Raja Sulu’ dari Selatan Filipina.
Ismail berkata, kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar
Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu
dihantar pulang ke negara asal.
Ismail berkata, rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi
mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.
16 Februari – Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan
kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat ‘Kesultanan Sulu’ dan
menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.
Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan
Sulu’antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana
sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
18 Februari – Hishammuddin berkata,
kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan
konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang
pertumpahan darah.
24 Februari – Kerajaan Filipina menghantar
sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota
termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12
Februari lalu.
26 Februari – Tempoh pengusiran
mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
28 Februari – Kerajaan Malaysia
digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di
Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang
berlanjutan selama lebih tiga minggu.
Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang
menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 ‘tentera diraja’
meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
1 Mac – Pertempuran tercetus
antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika
kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo,
menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera.
Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.
Setakat hari ini, kes ini masih belum selesai dan lebih ramai anggota
keselamatan dikerah ke tempat-tempat yang terbabit. Menurut apa yang saya baca
dalam akhbar Berita Harian hari ini, (5 Mac) 7 batalion tentera telah dihantar
untuk membantu menangani kes ini.
Namun apa yang menduka citakan saya sebagai rakyat Malaysia dan seorang
remaja, ada pihak yang sanggup menggunakan insiden ini sebagai kempen
berpolitik. Mereka saling menuduh antara satu sama lain sementara rakyat di
Sabah dalam keadaan cemas dan takut. Adakah ini merupakan satu petanda
kejatuhan keharmonian di Malaysia? Saya berdoa agar ianya tidak berlaku di
negara ini. Namun tidak bolehkah pemimpin-pemimpin yang ada dalam negara ini
bersepakat untuk bersama menjaga keselamatan dan keharmonian negara, bukan
dengan menunding jari disaat orang lain sedang terseksa.
Ada juga rakyat yang memberi komen secara tidak matang dengan menyalahkan
Angkatan Tentera Malaysia kerana tidak bertindak secara awal dengan menyerahkan
tugas ini kepada polis. Kita perlu bercakap dengan fakta bukan dengan
melontarkan idea logik kita semata-mata.
Malaysia menangani masalah mengikut akta Konvensyen Geneva 1949. Bukan
suka-suka untuk tidak melibatkan tentera dalam hal ini. Jadi kita kena faham
akan situasi ini, bukan dengan menyalahkan tindakan tentera yang tidak dihantar
ke sana sebelum ini.
Bagi mereka yang belum tahu, saya telah menyatakan di atas, bahawa 7
Batalion Angkatan Tentera Malaysia telah dikerah dan barisan kedua dalam
keadaan siap siaga untuk mempertahankan Negara.
Jadi, sebagai rakyat Malaysia, marilah kita mendoakan keselamatan rakyat
kita dan juga anggota yang teribat berada dalam lindungan Allah dan selamat
dari segala malapetaka.
Amin. semoga segalanya kembali aman.
ReplyDelete