Pengenalan
Dalam era teknologi yang berkembang pesat, kewangan Islam
kini sedang mengalami satu transformasi besar. Jika dahulu kewangan Islam
dilihat sebagai sistem kewangan alternatif yang konservatif yang memerlukan
prosedur ketat dan tertentu. Hari ini ia beradaptasi dengan era digital dan
teknologi dengan memperkenalkan pelbagai inovasi yang mematuhi prinsip Syariah
sambil memenuhi keperluan pengguna moden. Evolusi ini bukan sekadar penyesuaian
kepada teknologi, malah ia mencerminkan keperluan kepada sistem kewangan yang
lebih beretika, telus dan inklusif kepada masyarakay Islam seluruh dunia.
Asas Kewangan Islam
Kewangan Islam berpaksikan yang prinsip Syariah menekankan
beberapa perkara sebagai asas yang membezakan kewangan islam dan konvesyional. Antara
prinsip utamanya adalah larangan riba (faedah), perkongsian risiko (mudarabah,
musyarakah), transaksi yang berasaskan aset sebenar (murabahah, ijarah),
dan mengelakkan ketidakpastian (gharar) serta pelaburan dalam industri
haram seperti alkohol atau perjudian.
Sebelum era digital, sistem kewangan Islam lebih
bergantung kepada kaedah manual dan fizikal yang memerlukan kaedah bersemuka
dalam menjalankan apa-apa transaksi termasuk pembiayaan dan pelaburan. Namun,
dunia kini sedang bergerak ke arah pendigitalan penuh, dan sektor kewangan
Islam tidak terkecuali.
Perubahan Landskap Kewangan
Islam
Era digital telah membawa pelbagai inovasi dalam kewangan
Islam yang memudahkan urusan penting tanpa mengabaikan prinsip utama dalam
transaksi. Justeru kaedah pendigitalan dan inovasi ini telah membuka ruang baru
kepada institusi kewangan Islam untuk menjalankan traksaksi lebih laju dan
cepat. Antara inovasi yang berlaku dalam kewangan islam hari ni adalah:
- Penggunaan e-KYC (Electronic Know Your Customer) untuk pembukaan akaun
dan permohonan pembiayaan secara digital,
- Platform pelaburan patuh Syariah automatik (robo-advisors),
- Pembiayaan secara peer-to-peer (P2P) patuh Syariah,
- Akad melalui elektronik auto-robotik – akad melalui platform SMS atau
emel
- Dan tokenisasi sukuk dan aset Islam menggunakan teknologi blockchain.
Inovasi-inovasi ini telah membantu menjadikan kewangan
Islam lebih efisien, telus dan mudah diakses, terutamanya untuk komuniti yang
sebelum ini terpinggir seperti kawasan luar bandar atau komuniti berpendapatan
rendah yang mungkin jauh untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan di kawasan mereka.
Perbankan Digital Islam:
Gabungan Teknologi dan Syariah
Kemunculan kaedah digital sepenuhnya merupakan antara
pencapaian terbesar dalam evolusi ini. Di Malaysia, beberapa lesen bank digital
telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, termasuk institusi yang
berlandaskan prinsip Islam sepenuhnya.
Antara ciri utama penggunaan
teknologi dalam perkhidmatan kewangan islam adalah Chatbot AI yang menjelaskan
kontrak-kontrak Islamik kepada pengguna, aplikasi mudah alih dengan fungsi pengiraan
dan potongan zakat automatik, dan akses pembiayaan mikro secara mudah tanpa
fizikal ke cawangan. Perkhidmatan sebegini mampu menarik masyarakat untuk lebih
memilih produk kewangan islam yang selari dengan gaya hidup digital dan tanpa
mengabaikan nilai keagamaan mereka.
Cabaran yang Dihadapi
Walaupun perkembangan ini
positif, kita tidak boleh nafikan terdapat cabaran dalam mengembangkan inovasi
ini. Antaranya adalah pematuhan Syariah dalam masa nyata amat kompleks terumata
menggunakan teknologi seperti AI dan kontrak pintar, kekurangan standard global
dalam pematuhan syariah melibatkan teknologi, dan kefahaman tentang kaedah
syariah yang digunapakai oleh institusi kewangan.
Cabaran utama juga berkisar
tentang isu keselamatan data dan siber yang masih membimbangkan. Keyakinan
pelabur dan juga pengguna dalam memastikan keselamatan data serta mengelakkan kes
penipuan atas talian ini memerlukan satu prosedur dan kerjasama rapat antara
pihak keselamatan, pakar Syariah, pembangun teknologi, dan institusi kewangan
itu sendiri.
Kesimpulan
Evolusi kewangan Islam hari ini bukan sekadar trend,
tetapi ia telah menjadi satu keperluan. Dengan menggabungkan prinsip Syariah
dan teknologi moden, kewangan Islam membuktikan bahawa agama dan inovasi boleh
bergerak seiring. Malaysia, sebagai hub kewangan Islam global, mempunyai
potensi besar untuk menerajui transformasi ini.
Kini, cabaran utama adalah memastikan setiap inovasi
digital kekal berlandaskan nilai Islam, demi membina masa depan kewangan yang
lebih adil, telus dan mampan.
Rujukan
- Bank Negara Malaysia (2024). Menggalakkan Sistem Kewangan Islam yang
Progresif dan Inklusif (Laporan Tahunan 2024).
- Malaya Newsroom (2025)- Pendigitalan kunci tingkatkan ekosistem
kewangan syariah - https://malayanewsroom.com/04/04/2025/pendigitalan-kunci-tingkatkan-ekosistem-kewangan-syariah/
- Co-opbank Pertama (2024)– Resolusi Jawatankuasa
Syariah 2023
- Journal of Islam in Asia (IIUM) (2019) - ¤International Islamic University Malaysia
(IIUM)Journal of Islam in AsiaVol. 16, No.
3. 2019E-ISSN: 2289-8077Islamic Finance in theDigital World:
Opportunities and Challenges