Setelah melebihi 60 tahun Malaysia membentuk sebuah perseketuan, kita dapat melihat pelbagai kejayaan dan cerita manis yang dirakamkan oleh masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama. Kenikmatan dan keharmonian ini dapat dirasai dari generasi ke generasi. Keindahan budaya dan citarasa yang berlainan antara kaum ini mengajar kita untuk lebih menghargai antara satu sama lain.

Namun harus kita ingat bahawa keharmonian yang dikecapi hasil pengorbanan dan titik peluh nenek moyang kita mungkin tidak lagi dirasai generasi akan datang sekiranya kita gagal mendidik diri untuk hidup dalam toleransi antara masyarakat di Malaysia.

Elemen toleransi inilah yang membawa kepada sikap saling hormat antara kita walau dalam keadaan apa jua perbezaan yang kita hadapi. Toleransi bukanlah bermaksud kita membiarkan atau mengabaikan segala perbuatan buruk, tetapi toleransi yang dimaksudkan adalah cara kita berinteraksi dengan lebih berhemah dalam membincangkan sesuatu perkara terutamanya yang melibatkan dasar.

Toleransi juga bukan bermaksud kita memberi peluang untuk sesetengah pihak melakukan perkara yang melanggar batas undang-undang. Kita tidak dapat nafikan bahawa sikap toleransi inilah yang membawa kepada pembentukan dan kemerdekaan Tanah Melayu dengan memberi kerakyatan kepada Bukan Melayu dengan syarat mereka mengiktiraf keistimewaan dan Hak Orang Melayu di bumi Malaysia ini. Ini memberi gambaran bahawa sikap toleransi ini telah membawa satu keadilan dengan memeterai kontrak sosial yang memberi situasi menang-menang kepada semua kaum yang akhirnya menatijahkan kemerdekaan di Tanah Melayu.

Namun, jika kita melupakan sejarah negara, tidak mustahil masyarakat yang hidup berbilang bangsa dan agama ini tidak lagi saling menghormati dek kerana ego dan pentingkan diri sendiri.

Justeru, prinsip Rukun Negara yang mempunyai 5 prinsip asas dalam membentuk kerharmonian hidup bermasyarakat perlu disemai dengan lebih mendalam.

Rukun Negara yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke IV, Almarhum Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Syah pada tahun 1970 ini merupakan salah satu solusi dan falsafah kepada identiti rakyat Malaysia yang perlu kita jaga. Ia diperkenalkan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam kepada sejarah perpaduan di Malaysia.

Prinsip ini mengandungi asas kepada konsep keagamaan, kesetiaan kepada Raja selaku ketua negara dan negeri masing-masing, mengangkat keluhuran perlembagaan, mendaulatkan keadilan melalui undang-undang, dan mempratikkan kesopanan serta kesusilaan dalam interaksi sesama masyarakat.


Kemunculan pelbagai platform media sosial hari ini sedikit sebanyak membuka ruang untuk masyarakat meluahkan perasaan dan pandangan mereka. Namun, sebahagian daripada kita lupa untuk menjaga sensitiviti sesama kita. Justeru, Rukun Negara ini sangat relevan untuk dijadikan panduan kepada semua sebelum mengeluarkan pandangan atau komen yang boleh memberi negativiti dalam masyarakat.

Sistem Raja Berpelambagaan yang diamalkan di Malaysia merupakan satu sistem yang unik dan menjadi kebanggaan untuk Malaysia. Yang Di Pertuan Agong merupakan ketua agama dan ketua negara merupakan simbol kedaulatan negara yang perlu dihormati setiap lapisan masyarakat. 9 raja-raja Melayu yang terdapat di Malaysia berkuasa di setiap negeri jajahan takluknya dan salah seorang daripada mereka akan dipilih untuk menjadi Yang Di Pertuan Agong bagi negara Malaysia melalui sistem giliran.

Istilah Raja Berpelembagaan itu sendiri menunjukkan bahawa setiap raja atau sultan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber perundangan tertinggi Malaysia. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak-hak dan keistimewaan rakyat Malaysia serta memberi kuasa kepada pihak-pihak tertentu untuk melaksanakan undang-undang dan pentadbiran negara.

Walaupun begitu, setiap hak dan keistimewaan yang diberi kepada rakyat Malaysia, ia tertakluk kepada undang-undang bagi menjamin keadilan kepada semua. Semua pihak tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menghukum sesuatu perbuatan dengan cara sendiri.

Kesimpulannya, kerharmonian dan perpaduan yang wujud sejak sebelum kemerdekaan ini menjadi satu kebanggaan yang perlu kita teruskan demi kesejahteraan generasi akan datang. Oleh itu, prinsip rukun negara yang dijadikan sebagai asas kepada perpaduan ini perlu diterap dan dipraktikkan setiap lapisan masyarakat tidak mengira usia, bangsa atau agama.