Politik itu sebenarnya unik. Ada yang beranggapan bahawa lapangan politik itu adalah lapangan yang kotor, penuh penipuan, penuh dengan taktik jijik menjatuhkan yang lain. Ya, saya tidak nafikan memang itulah anggapan masyarakat terhadap politik. Saya tidak nafikan juga bahawa itu memang berlaku dalam lapangan politik.

Ada juga yang beranggapan bahawa politik itu sebenarnya bersih, cumanya mereka yang berada didalamnya itu yang mencemari apa yang berlaku. Itu juga betul. Namun bagi saya politik itu bukan sekadar apa yang kita fikirkan. Politik itu mempunyai konsep yang meluas. Bukan hanya sekadar meraih undi dalam pilihanraya. 

Ye, saya mengambil jurusan Sains Politik. Ramai yang bila bertanya, kemudian apabila saya menjawab Sains Politik, mereka beranggapan saya akan menjadi ahli politik, (Yang Berhormat). Dalam media sosial juga banyak perkara yang saya tuliskan berkenaan dengan politik Malaysia. Sehingga juga yang memanggil saya dengan gelaran YB (walupun ini hanyalah sekadar gurauan dari rakan-rakan).


Sebenarnya saya tidak berminat untuk berada dalam lapangan politik sebagai ahli siyasah (Ahli Politik). Tetapi, saya hanya ingin berada dalam lapangan akademik sebagai ahli 'Ilm (ahli akademik).


Mengapa? Untuk menjadi ahli politik, kelayakan yang perlu ada sangat tinggi. Lapangan politik itu sendiri sangat mencabar. Tipu muslihat itu sudah tentu perlu dibiasakan walaupun sebagai mangsa. Saya merasakan diri ini tidak mampu berada dalam situasi sebegitu. Jiwa ahli politik ini perlu keras, kental, tidak lemah. Itulah yang menjadikan politik itu menarik bagi saya. Ia dilihat seperti satu game yang sangat menarik. 


Namun, bidang ilmu dalam politik ini lebih menarik. Jika tiada ilmu, politik itu menjadi hina. TIdak akan ada moral dalam politik. Saya ingin berada dalam lapangan akademik ini untuk sedaya upaya membantu ahli-ahli politik ini dari sudut nasihat atau pandangan dari sudut ilmu.


Dalam negara kita, itulah yang masih kurang. politik kita lebih dimenangi oleh politik ampu dari politik ilmu. Mungkin banyak lagi yang perlu sama-sam kita usahakan untuk mengharmonikan lapangan politik ini. Sebenarnya ramai yang tidak berminat untuk ambil tahu. Sebenarnya, kita perlu ambil tahu, kerana tanpa kita sedar kita bertanggungjawab terhadap agama dan negara kita. 


Kita memerlukan lebih ramai cendekiawan yang rasional dalam politik. Sekarang kita tengok, kita mempunyai Dr Maza (Mufti Perlis), Dr Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah UIAM), Dr Maszlee Malek (penganalisis politik UIAM), Prof Agus Yusof (penganaisis politik UKM), Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan), dan ramai lagi. Setakat ini, saya kagum dengan mereka kerana ilmu mereka dan cara mereka berhadapan dengan politik sebagai ahli akademik. Namun, siapa akan ganti mereka untuk menjadi penasihat generasi seterusnya?


Mudah-mudahan segala ilmu yang kami pelajari dalam ilmu politik ini dapat diaplikasikan nanti untuk memberi manfaat kepada semua... wallahu a'lam...