2018 adalah tahun yang paling menarik dalam sejarah Malaysia selepas 61 tahun negara bertuah ini merdeka. Pilihanraya Umum ke-14 yang diadakan menyaksikan sejarah baru terukir dengan pahit manis perjuangan pelbagai pihak.

Ramai penganalisis dan pengamal politik melihat pilihanraya yang diadakan ini adalah ibu segala pilihanraya. Akhirnya terbukti, ia bukan sekadar ibu, malah ia membuka lembaran sejarah baru yang akhirnya memberi harapan baru buat Malaysia dengan beberapa kejutan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Tarikh keramat 9 Mei 2018 yang diumumkan sebagai tarikh membuang undi membuatkan seluruh rakyat Malaysia begitu teruja untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam menentukan siapa bakal menerajui kepimpinan negara.


Pertembungan PRU14

Dalam sejarah pilihanraya Malaysia, ini kali pertama berlaku pertembungan 3 penjuru yang menyaksikan 3 blok pakatan bertanding di hampir semua kawasan seluruh Malaysia. Jika sebelum ini kita melihat hanya dominasi dari Barisan Nasional (BN) di hampir semua negeri, tetapi buat kali ini, kita melihat persaingan sengit berlaku termasuk di Sabah Sarawak yang merupakan hayat sebenar buat BN. 

Bukan itu sahaja, isu-isu nasional dan skandal melibatkan pemimpin utama negara mengambil tempat dan dijadikan isu utama perbincangan rakyat dalam menentukan siapa yang mereka pilih. Ia termasuk isu skandal terbesar 1MDB, pengurusan Felda, rasuah yang melibatkan ketua-ketua jabatan kerajaan, dan lain-lain. Begitu juga tuduhan memanipulasikan sistem pilihanraya yang pernah berlaku pada PRU13, ditambah dengan proses persempadanan semula yang dirasakan memberi kelebihan kepada parti memerintah, penentuan hari membuang undi yang jatuh pada hari rabu, dan juga persoalan yang timbul apabila Rang Undang-undang Anti Berita Palsu yang diluluskan secara tergesa-gesa sebelum PRU14 diadakan.

Isu dan persoalan ini menjadikan rakyat hilang kepercayaan apatah lagi tindakan arahan pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dikatakan tidak mematuhi perlembagaan dan syarat-syarat dari Pertubuhan Pendaftar Persatuan (ROS) ini seolah-olah satu tekanan kepada pihak lawan dalam pilihanraya. 

SEJARAH BARU MALAYSIA

Keputusan Pilihanraya ke 14 pasti memeranjatkan ramai pihak. Setelah 6 dekad pemerintahan kerajaan di bawah Barisan Nasional, akhirnya, rakyat membuat keputusan dan memberikan mandat kepada pakatan baru untuk membentuk Kerajaan Malaysia. Ini merupakan sejarah baru kerana ia adalah peralihan kuasa yang pertama dibuat setelah 61 tahun Merdeka. 

Namun, walaupun Pakatan Harapan secara teknikalnya telah memenangi pilihanraya tersebut, kerajaan tidak dapat dibentuk kerana tiada parti secara rasmi mendapat majoriti mudah (simple majoriti) untuk membentuk kerajaan. Ia menjadikan pembentukan kerajaan persekutuan tergantung. 

Keputusan Rasmi PRU14:

Pakatan Harapan terdiri daripada parti gabungan PKR, AMANAH, BERSATU, dan DAP. Namun mereka bersetuju bertanding mengunakan tiket PKR sahaja kecuali di DAP Sarawak yang bertanding menggunakan tiket DAP.

Ketiadaan majoriti mudah daripada semua parti yang bertanding menyebabkan pemilihan Perdana Menteri Malaysia yang baharu memerlukan sokongan majoriti daripada ahli dewan untuk dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Ia mengikut kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada YDPA untuk memilih seorang Perdana Menteri yang merupakan ahli Dewan Rakyat dan menerima kepercayaan majoriti ahli dewan.

Perkara 43. Jemaah Menteri.
(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.
(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;

Maka, oleh kerana itu, YDPA perlu memastikan calon Perdana Menteri menerima sokongan dan kepercayaan daripada mereka yang memenangi kerusi dari parti lain secara majoriti.

Apabila Tun Mahathir diumumkan dan secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ke-7, ini terukir sekali lagi sejarah baru kerana beliau merupakan bekas Perdana Menteri ke-4 dan kini merupakan Perdana Menteri Tertua di dunia seusia 93 tahun.

Inilah buat pertama kalinya Barisan Nasional kalah teruk dalam pilihan raya Malaysia apabila bukan sahaja hilang mandat di peringkat persekutuan, tetapi di majoriti negeri yang dipegang oleh BN selama ini termasuk Johor, negeri kubu kuat UMNO. 


Dalam proses peralihan kuasa yang berlaku, buat kali pertama juga pembentukan kerajaan baru di Perak, Kedah dan Sabah tergantung apabila tiada parti melepasi majoriti mudah menyebabkan berlaku sedikit krisis termasuk beberapa ADUN yang melompat parti. Di Sabah pula kerajaan yang dibentuk oleh BN yang diketuai oleh Musa Aman hanya bertahan selama 72 jam apabila 6 ADUN BN membuat keputusan menyertai Warisan untuk membentuk kerajaan baru diketuai oleh Dastuk Seri Shafie Apdal.

Begitulah epiknya pertembungan yang memahat pelbagai peristiwa menarik dalam arena politik tanah air. Kini rakyat telah memberi peluang kepada satu pakatan baharu untuk mentadbir Malaysia dan sudah pasti rakyat akan sentiasa menilai dan meneliti sejauh mana Pakatan Harapan mampu memberi harapan baru kepada Malaysia. Kita sama-sama lihat dan doakan Malaysia terus maju jaya, aman dan sejahtera.