Forum@BH 30 Ogos 2018

Pelihara Identiti dan Sejarah Negara Tanda Semangat Patriotisma
Oleh: Mohd Syarizwan Mat Jenon

Identiti sesebuah tamadun itu merupakah antara anugerah yang perlu dipelihara oleh setiap lapisan generasi untuk menjadikannya sebagai pengajaran sejarah dan membantu generasi akan datang memahami cara hidup orang lama. Identiti boleh ditakrifkan sebagai sifat-siat atau ciri-ciri yang terdapat pada seseorang atau sesuatau yag sebagai suatu keseluruhan memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada orang lain. Ia juga boleh dirujuk sebagai aspek-aspek tertentu yang dapat menunjukkan sifat diri seseorang keperibadian atau adat resam dan kesenian yang dapat melambangkan sekumpula masyarakat.

Ia bermaksud identiti sesebuah bangsa itu juga menjadi satu pengukur untuk ianya dihormati dan dikenali oleh masyarakat luar. Setiap bangsa yang diciptakan Tuhan mempunyai identiti yang berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri dalam membentuk sesebuah masyarakat. Ia difirmankan sepertimana yang terkandung dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan daripada kamu seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum agar kamu saling mengenal”.

Perbezaan identiti yang memberi keunikan itu semestinya perlu dipelihara agar ia tidak hilang ditelan zaman terutamanya yang melibatkan sejarah peradaban sesebuah bangsa. Dalam perlembagaan Malaysia, beberapa perkara termaktub bagi tujuan tersebut. Sebagai contoh Bahasa Melayu yang pernah menjadi sebagai lingua franca ketika zaman kegemilangan Melayu Melaka. Seharusnya sebagai rakyat yang mempunyai jiwa bangsa yang tinggi dan patriotik, Bahasa Melayu yang dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaaan perlu diperluas dan diutamakan terutamanya dalam hal ehwal pentadbiran dalam negara.

Begitu juga dengan kefahaman sejarah negara. Kegagalan rakyat sendiri memahami sejarah negara boleh menyebabkan perjuangan yang ditegakkan sekian lama oleh pejuang-pejuang dahulu tidak lagi dihargai dan tidak hairan jika semakin hari semakin hilang nilai bangsa untuk kita amalkan. Apatah lagi jika ia berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara. Sejarah bukan sahaja menjadi pengajaran untuk kita hargai, tetapi ia merupakan satu penanda aras untuk menentukan kemajuan sesebuah bangsa. Begitulah seperti yang diungkapkan oleh ahli falsafah Roman, Cicero (106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore menyatakan “historia est magistra vitae” yang bermaksud sejarah merupakan guru terbaik dalam hidup. Elemen sejarah ini harus diterapkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.

Tidak dinafikan peredaran zaman sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada nilai sejarah dan identiti bangsa. Jika dahulu orang melayu amat bangga memperagakan busana tradisi melayu ketika sambutan hari raya. Namun hari ini, busana tradisi melayu hanya dipakai oleh segelintir sahaja masyarakat kita ketika majlis-majlis, bahkan ada juga yang masih tidak tahu tentang etika pemaikaian baju kebangsaan terutamanya yang melibatkan majlis rasmi.

Hargai perjuangan orang lama
Sebagai rakyat yang hidup dalam persekitaran yang harmoni dan aman dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kita seharusnya bersyukur dan berbangga kerana keunikan itu mungkin tidak dapat dilihat di tempat lain. Oleh itu, salah satu manifestasi rasa syukur kita adalah dengan menghargai apa yang telah dijuangkan oleh orang terdahulu.

Sejarah perjuangan dalam menegakkan kemerdekaan dan keamanan ini bukanlah suatu yang mudah. Justeru generasi yang lahir dalam zaman yang telah mencapai kemajuan ini harus kenal dan tahu tentang apa yang berlaku suatu ketika dulu. Oleh sebab itu lah pengajaran sejarah di peringkat sekolah perlu ditekankan bukan sekadar subjek untuk menduduki peperiksaan semata-mata.

Pelihara khazanah, sejarah
Selain itu, usaha yang menyeluruh dari pelbagai pihak juga perlu untuk memelihara khazanah dan tinggalan sejarah dari setiap sudut termasuklah catatan-catatan bekas pemimpin, gambaran peritiswa menarik, atau dokumen-dokumen pentadbiran yang sangat berguna untuk dijadikan sebagai rekod sejarah untuk dilihat oleh generasi akan datang. Semua maklumat daripada rekod tersebut amat penting untuk dijadikan sebagai bahan rujukan primer (primary sources) untuk kajian-kajian pada masa akan datang dan ia juga merupakan bukti kukuh tentang sesuatu peristiwa yang pernah berlaku dalam negara kita.

Utama Prinsip Rukun Negara.
Seterusnya, prinsip-prinsip negara yang diketengahkan oleh pemimpin dahulu perlu ditekankan secara tegas kerana ia merupakan antara elemen yang perlu dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat dalam membentuk dan memelihara perpaduan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, prinsip rukun negara menekankan lima elemen penting yang perlu kita fahami seperti kepercayaan kepada Tuhan, kesetian kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan. Kelima-lima prinsip ini perlu dijadikan teras kerana ia mengandungi lima perkara asas dalam pentadbiran dan mencorak masa depan negara yang lebih harmoni terutamanya dalam situasi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Kesimpulannya, kemerdekaan yang dicapai hari ini bukanlah satu anugerah yang mudah untuk dicapai tanpa usaha dan keringat orang-orang lama. Justeru sebagai rakyat yang merasai kenikmatan dari hasil tersebut, maka seharusnya kita lebih menghargai dan memelihara apa yang dikurniakan Tuhan kepada kita hari ini. Berbanggalah anak Malaysia.