Medium maklumat yang ada pada hari ini bukan lagi seperti dulu. Hari ini semua orang boleh mendapatkan maklumat dengan mudah. Bukan seperti dulu, hanya bergantung kepada medium akhbar dan warta berita. sekarang, akhbar terdapat dalam versi online, mudah dibaca, dan boleh diakses dimana-mana dan pada bila-bila masa. Ditambah lagi dengan medium media sosial seperti Facebook, Twitter,Whatsapp dan sebagainya. Setiap apa yang menarik pasti akan ada yang update dan memuat naik post tersebut di medium-medium tersebut.

Namun, kemudahan ini sebenarnya menimbulkan satu perkara negatif yang sukar untuk diatasi. Medium-medium yang digunakan ini membawa suatu kekeliruan kepada masyarakat kerana terlalu banyaknya maklumat yang diperoleh. Persoalan yang timbul dari isu ini, bagaimana cara kita menerima maklumat-maklumat ini. Ada antara kita yang apabila terima sahaja apa-apa maklumat, terus disebarkan tanpa membacanya. Ada juga yang apabila diterima, mereka terus mempercayainya dan keluarlah pelbagai teori konspirasi yang dianalisisnya. 
  
Adakah perkara ini perkara yang remeh? Sebenarnya ini satu yang serius. Maklumat-maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber ini membawa kepada satu kekeliruan dan boleh mengundang fitnah. Oleh sebab itu perlunya kita bersikap tabayyun.

Apa makna Tabayyun ini dan mengapa pentingnya bersikap seperti ini? Tabayyun adalah perbuatan menyiasat, menyelidik, dan mengkaji kesahihan sesuatu maklumat yang diterima daripada sumber yang belum pasti betul sebelum kita mengambil tindakan samaada untuk menerima maklumat tersebut atau menyebarkannya. Ia penting dan bertepatan dengan Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Ramai antara kita hari ini terlalu obses untuk menjadi pembawa berita tanpa menyelidik fakta dan kesahihannya. Ini yang menyebabkan berlaku banyaknya fitnah di laman sosial Facebook, Twitter dan sebagainya. Tabayyun ini sebenarnya menjadikan kita masyarakat yang matang. Tidak gelabah atau marah ketika menerima sesuatu maklumat.

Kadang-kadang yang menyebarkan berita-berita palsu ini mereka sendiri juga tidak faham dan tidak tahu isu sebenar. Cuma disebabkan ghairah mendapat berita yang panas dan mungkin akan mendapat perhatian, mereka terjerumus dalam masalah CPS (copy, paste dan share). Ada juga yang bersikap playsafe dengan menyebarkannya kemudian meletakkan caption "Copy & Paste dari Group Whatsapp sebelah". Adakah dengan meletakkan caption sebegitu maka ia dianggap membenarkan perbuatan tersebut? Apakah caption tersebut adalah satu autoriti untuk anda menyebarkannya?

Tabayyun ini mengajar kita untuk lebih rasional dan professional dalam menerima maklumat. Bukan sekadar terima dan share walaupun ia daripada sahabat baik kita. Pastikan sumber yang diperoleh itu adalah tepat dan dipercayai sebelum menyebarkannya kepada orang lain, takut-takut ia adalah satu fitnah dan kita termasuk dari golongan yang menyebarkan fitnah. Fitnah dan berita palsu ini banyak kesannya kepada masyarakat dan negara. 

Jadi, bertabayyun lah apabila menerima sesuatu maklumat. Jadilah masyarakat yang matang, bukan mengikut nafsu dan telunjuk syaitan.