Kadang-kadang, saya melihat bahawa sebahagian daripada masyarakat kita mempunyai sati sifat ego yang tinggi. Sukar menerima pandangan. Tidak kira pangkat atau darjat, dari golongan atasan, juga golongan bawahan iaitu rakyat. Masing-masing ingin menunjukkan bahawa merekalah yang mulia dari yang lain. Merekalah yang berhak memiliki kuasa. Pendapat merekalah yang terbaik.

Inilah satu sifat yang melanda masyarakat kita hari ini. Bila ditegur, maka akan ada yang melatah dan naik ingin. 

Tidak salah jika kita mempunyai idea atau pendapat, bahkan digalakkan untuk kita suarakan. Namun kita tidak berhak memaksa orang lain untuk menerima idea kita sebulat-bulatnya. Kita juga harus membuka minda dan hati untuk menerima pendapat orang lain.

Namun, apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, masing-masing ingin mempertahankan ego mereka. Ini berlaku dalam setiap skop kehidupan kita terutamanya dalam minda politik di Malaysia.

Perkara sebegini bukan sekadar menyukarkan kita untuk bersatu padu, bahkan ianya memarakkan lagi api permusuhan yang sedia ada.

Allah SWT berfirman melalui surah al-Hujurat, ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِير
Yang Bermaksud:
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Kita semuanya sama, dan yang membezakan antara kita adalah taqwa kepada Allah SWT.

Kita memerlukan perpaduan dan penyatuan dalam memajukan agama, bangsa dan negara kita. Jika masing-masing tidak mahu mengetepikan ego dan terus bermusuhan, maka kita akan terus mundur.

Iktibar dan pengajaran dari kisah yang dibawa oleh al-Quran sepatutnya menjadi contoh kepada kita. Antaranya ialah kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar dan juga kisah penyatuan Kaum Aus dan Khazraj. Kerana perpaduan yang dibawa itulah mereka berjaya membangunkan sebuah negara Islam bernama Madinah bersama Rasulullah. Sebaliknya, jika kita saling bermusuhan kerana ingin mempertahankan ego, masih jauh perjalanan kita dalam menuju kejayaan sebenar.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُون

Maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.


Semoga satu hari nanti kita semua bersatu atas nama Islam dan masing-masing saling menerima tanpa mengira perbezaan politik, warna kulit, pangkat, ataupun darjat.