Berita Harian 3 Oktober 2014

artikel penuh:
oleh: Mohd Syarizwan

Cabaran sebagai generasi muda hari ini lebih mencabar jika dibandingkan dengan generasi terdahulu. Hari ini, kita diperlihatkan dengan pelbagai bentuk masalah sosial yang melanda anak muda di negara kita. Pelbagai aktiviti dan program disusun oleh pihak-pihak tertentu untuk menarik belia supaya lebih sihat dalam aktiviti mereka. Belia merupakan golongan penting dalam pembentukan sesebuah negara kerana mereka merupakan pewaris kepimpinan hari ini. Justeru mereka perlu didedahkan dengan ilmu kepimpinan dan pemikiran yang dapat membentuk mereka untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Pemikiran belia hari ini perlu lebih progresif dan profesional. Progresif menurut kamus dewan edisi keempat bermaksud menuju kearah kebaikan atau kemajuan. Mereka perlu melatih diri mereka untuk lebih progresif dalam pemikiran dan tindakan supaya ianya menjadi satu langkah untuk negara kita terus maju kedepan dari segi intelektual. Pemikiran sebegini penting untuk melahirkan pemimpin yang mampu membawa negara ke arah yang lebih baik.

Seperti yang kata-kata yang diungkapkan oleh Saidina Ali r.a, “jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda dan pemudi negara itu hari ini”. Oleh sebab itu, belia hari ini harus lebih progresif.

Salah satu perkara yang perlu ada pada belia yang progresif adalah jati diri yang mantap dalam membentuk peribadi pekerti. Jati diri merupakan identiti yang penting bagi sesebuah masyarakat kerana ia mencerminkan budaya, adat, bahasa, dan agama. Hilang jati diri, maka hilanglah identiti sebuah bangsa. Belia perlu diterapkan dengan program yang boleh membentuk mereka kearah kebaikan kerana pembinaan negara bangsa berteraskan kekuatan semangat patriotik dan jati diri yang kukuh namun ia hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Ancaman kedaulatan negara

Perkara ini penting dalam menghindarkan belia dari terjebak dengan perkara negatif disamping menangkis ancaman pemikiran yang melanda sesetengah belia hari ini. Tanpa kita sedar, sebenarnya kedaulatan negara kita diancam bukan sahaja dari segi fizikal bahkan dari segi spiritual (pemikiran). Menurut Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Insitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), yang juga merupakan pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM, serangan pemikiran yang dilihat sebagai ancaman kepada kedaulatan negara adalah lebih bahaya dari serangan fizikal. Setiap perkara yang melanggar prinsip perlembagaan negara adalah ancaman dan ia merupakan satu perkara yang serius.

Kebelakangan ini, kita melihat negara kita menghadapi beberapa krisis yang menggugat keamanan negara termasuk peristiwa pencerobohan di Sabah, Tragedi MH370 dan MH17, dan juga desas-desus pihak yang mencadangkan supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Justeru, jati diri yang kukuh dalam kalangan belia akan mampu mengelakkan kekeliruan dan serangan pemikiran tersebut. Selain itu mereka juga akan lebih berwaspada terhadap sebarang propaganda yang diterima.

Dalam kita melangkah kedepan, kita harus mengambil pengajaran dari apa yang terdapat dibelakang. Oleh itu, kita harus menangkis setiap propaganda yang melanda masyarakat hari ini dengan memahami sejarah dengan jelas. Sejarah merupakan identiti dan melupakan sejarah menandakan kita semakin melupakan identiti kita. Itulah yang berlaku kepada sesetengah remaja yang lebih cenderung kepada budaya luar. Memahami sejarah akan membantu belia dalam memahami fungsi dan kepentingan perlembagaan terutamanya yang melibatkan kedudukan Islam, kedudukan melayu dan kedudukan raja-raja melayu.

Sejarah memberi kita pengajaran dalam membantu kita merencang masa hadapan. Sejarah juga merupakan guru terbaik sepertimana yang diungkapkan oleh ahli falsafah Roman, Cicero (106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore, “historia est magistra vitae” yang bermaksud sejarah merupakan guru terbaik dalam hidup. sejarah juga menjadi motivasi terbaik kepada belia dalam perjuangan menegakkan syiar Islam dan menjaga kedaulatan negara. Terdapat ramai pemuda yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam usia muda. Antaranya, Usamah bin Zaid yang menjadi panglima perang pada usia remaja, Sultan Muhammad al-Fateh berjaya membuka Kota Konstantinople seawal usia 21 tahun, dan ramai lagi pemuda lain yang menjadi motivasi kepada belia hari ini. Sejarah telahpun membuktikan kejayaan belia.

Bentuk Pemikiran Progresif dan Profesional

Pelbagai forum dan wacana ilmiah diadakan dalam membicangkan isu-isu semasa. Ini merupakan satu medium kepada masyarakat terutamanya belia untuk memahami apa yang berlaku dalam negara. Ianya juga menjadi satu medan kepada belia dalam menyuarakan pendapat atau kemusykilan mereka mengenai sesuatu isu. Perkara seperti ini membentuk pemikiran progresif dan profesional belia sebagai bakal pemimpin yang bersifat glokal iaitu mampu berdaya saing di peringkat global tetapi berakar umbi dan berpegang teguh kepada jati diri yang bersifat lokal.

Oleh itu, belia harus mengubah perspektif pemikiran mereka untuk lebih matang dan tidak terlalu hanyut dengan perkara yang merosakkan mereka. Kita amat berperanan dalam menjaga kedaulatan negara dan menangkis segala ancaman terhadap agama dan negara yang diserang dari segi fizikal dan juga pemikiran.