artikel disiarkan Berita Harian 27 Ogos 2014

artikel penuh:

Fahami Konsep Wasatiyah Hindarkan Diri Dari Ekstrimis Agama
oleh: Mohd Syarizwan

Islam seringkali dipandang dengan imej buruk oleh masyarakat barat dek kerana pelbagai fitnah yang terlempar dari apa yang berlaku di sesetengah tempat. Ia bukanlah isu yang baru timbul. Islam telah digambar secara melulu dan menjadi mangsa kepada perlakuan segelintir manusia yang tidak memahami Islam dengan sepenuhnya tetapi mengaku perlakuan mereka sebagai Islamik.

Ini ditambah dengan kemunculan sebuah kumpulan yang menggelarkan mereka sebagai Islamic State of Iraq and Levant (ISIS atau ISIL).  Ini mencemarkan lagi imej Islam dengan tindakan mereka yang bertentangan dengan Islam. Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi selaku ketua Kesatuan Ulama Dunia juga menyuarakan isu ini yang mengisytiharkan mereka ini bukan dari kumpulan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Perbuatan oleh puak pelampau agama ini disebut sebagai al-Ghuluw didalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar di dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang terdahulu yang telah sesat (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakkan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." (Surah al-Ma'idah, 5: 77).

Golongan pelampau atau lebih popular dengan gelaran ekstrimis ini menjadi duri dalam Islam. Ini merupakan fitnah terbesar kepada Islam. Malaysia juga tidak terkecuali dari golongan seperti ini. Mereka telah pun diharamkan dan diisytiharkan sebagai kumpulan merbahaya kerana mengancam keselamatan negara dan terpesong dari aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Baru-baru ini juga pihak polis telahpun melaporkan penahanan beberapa orang rakyat Malaysia yang mengancam untuk mengebom kilang arak di Shah Alam. Perancangan pengeboman itu disifatkan ala ISIL kerana antara mereka dipercayai terlibat dengan kumpulan militan di Syria itu.

Perkara sebegini harus diambil serius kerana ia boleh mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara disamping pemesongan akidah umat Islam. Hal ini kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk melampaui batas dalam sesuatu perkara bahkan peperangan dalam Islam sendiri amat mementingkan etika dan akhlak terhadap musuh dan rumah-rumat ibadat.

Ini dilihat melalui firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke-190 yang bermaksud “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”  Sebagai umat Islam yang berpegang pada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah, kita harus menghindarkan diri dari perbuatan-perbuatan yang melampaui batas kerana ia boleh menjadi fitnah untuk Islam itu sendiri dan menjadi satu senjata untuk musuh dalam menjatuhkan Islam.

Manhaj wasatiyah (kesederhanaan) dalam Islam merupakan doktrin penting dalam mengelakkan diri terjebak dengan isu-isu sebegini. Islam merupakan agama yang indah lagi mudah. Al-Qaradhawi menerangkan dua faktor dalam keruntuhan umat Islam adalah disebabkan al-Ghuluw (berlebihan atau melampau) dan al-Inhilal (terlalu bebas tanpa batasan). Islam berada ditengah antara kedua-duanya. Islam menolak perkara-perkara ekstrim dan juga kebebasan yang terlampau luas.

Justeru konsep wasatiyah merupakan pemikiran yang membawa kearah Islam yang sebenar. Wasathiyah yang menjadi perbincangan kita adalah konsep kesederhaan atau pertengahan atau seimbang antara ketuhanan-kamanusian, kerohanian-kebendaan, ukhrawi-duniawi, wahyu-akal, individu-masyarakat, dan realiti-keunggulan. Umat Islam hari ini perlu memahamkan diri dengan konsep ini supaya tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang membawa kepada ekstrimism seperti ISIS atau ISIL.

Salah satu ciri kefahaman wasathiyah dalam Islam adalah ialah kefahaman Islam yang syumul. Islam berdiri diatas semua cabang kehidupan manusia seperti akidah, undang-undang, muamalat, ibadat, akhlak, budaya, penampilan, dan sebagainya. Kefahaman yang sepenuhnya tentang Islam dapat menolak pemikiran sesetengah masyarakat yang hanya tertumpu kepada ibadat semata-mata dan ada juga menganggap Islam ini hanya hanya ritual keagamaan sahaja tidak pada perniagaan, kerja, pergaulan, pemakaian, dan lain-lain.

Kedua, sumber utama kepada kefahaman Islam ini mestilah al-Quran dan al-Sunnah. Allah menurunkan kitab al-Quran sebagai ‘gudance book’ atau buku panduan untuk manusia. Begitu juga pengutusan rasul-rasul-Nya. Ia adalah sumber utama dalam memandu manusia kearah kebenaran sepertimana hadis Nabi SAW: “aku tinggalkan kamu dua perkara. Jika kamu berpegang teguh pada kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.” (hadis riwayat Muslim)

Ketiga, konsep wasatiyah ini menekankan nilai-nilai akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW. Ini dibuktikan melalui sabda baginda SAW, “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” (hadis riwayat al-Bukhari). Nilai-nilai ini bukan sahaja tertumpu antara sesama muslim, bahkan Nabi mengajar untuk berbuat baik kepada bukan muslim. Akhlak Islamiyah ini juga dipraktikkan dalam perang iaitu akhlak terhadap tawanan perang, rumah-rumah ibadat dan orang yang tidak berdaya. Justeru, ini menempelak tindakan kumpulan ekstrimis ISIL yang menyebarkan tindakan kejam mereka terhadap tawanan perang di internet.

Kesimpulannya, umat Islam harus berusaha memahami konsep wasatiyah ini dalam mengelakkan diri daripada terjebak dengan kumpulan-kumpulan ekstrimis. Tindakan golongan tersebut juga memberi kesan negatif kepada mujahidin yang ikhlas berjuang dalam menegakkan syiar Islam yang terpalit sama dengan kontroversi golongan ekstrimis ini. Umat Islam harus berfikir dengan lebih matang dalam setiap tindakan supaya ia tidak menjadi fitnah kepada Islam termasuk etika kita dalam kempen boikot.

*Berita Harian 27 Ogos 2014