Hari ini, dunia terus dilihatkan dengan kematian demi kematian di tanah Palestin. Kekejaman rejim Zionis itu terus memuncak dengan pembedilan bom yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita yang tak berdosa. Itulah yang berlaku pada saudara-saudara Islam kita disana. Keamanan di tanah air mereka sendiri dicabul sejak pengisytiharan pembentukan negara Israel pada 14 Mei 1948. Sehingga hari ini, penduduk Palestin tidak lagi merasai keamanan.

Sejak sebulan lalu, Bumi Gaza terus dihujani peluru yang dilancarkan oleh Rejim Zionis itu. Namun, untuk kali ini, Israel juga menerima tekanan hebat apabila kejutan demi kejutan dilancarkan oleh mujahidin Briged al-Qassam dan juga mujahidin Saraya al-Quds yang terus mempertahankan bumi Palestin dari dipijak oleh Israel. Bukan setakat itu sahaja, Israel juga menerima tamparan hebat apabila seluruh dunia mula mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Rejim Zionis itu terhadap bumi Gaza. 

Melihat kepada apa yang berlaku pada hari ini, boleh dikatakan Israel mula goyah dan ini merupakan satu kejayaan bagi mujahidin di Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka dari terus dicabuli. Ini ditambah lagi dengan berita (5 Ogos 2014) yang melaporkan Israel mula mengarahkan tentera mereka berundur dari bumi Gaza. 

Peristiwa besar ini juga mengakibatkan meletusnya perang psikologi yang dilancarkan oleh seluruh dunia melalui serangan keatas laman sosial milik Kementerian Pertahanan Israel dan juga beberapa page lain sehingga mereka terpaksa menyekat pengguna dari negara Malaysia untuk mengakses laman tersebut. Begitu juga dengan kempen boikot keatas produk-produk yang menyalurkan seumbangan kepada Israel yang menunjukkan bahawa bukan sahaja negara Islam, bahkan hampir seluruh dunia menyatakan pendirian sebegitu bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Apa yang berlaku dalam konflik Israel-Palestin ini jelas menunjukkan bahawa tuduhan Islam itu sebagai terrorist itu tidak berasas. Hal ini kerana rakyat Palestin menjadi mangsa kekejaman Rejim Zionis itu dan sejak perang bermula Israel juga telah beberapa kali mencabuli gencatan senjata yang dilancarkan termasuklah peristiwa mengebom sekolah atau pusat pelindungan milik PBB (UNRWA). 

Tambahan lagi, jika dilihat pada sejarah lampau, Golden Age of Judaism (zaman kegemilangan Yahudi) juga berlaku pada zaman pemerintahan Islam di Andalus (Sepanyol). Zaman kegemilangan Yahudi itu berlaku sekitar 711-718 M sementara ketika itu, pemerintahan adalah dibawah pemerintahan Islam. Ini menunjukkan bahawa orang bukan Islam dapat hidup dengan aman dan selamat dibawah pemerintahan Islam. Ini jelas dalam menangkis tuduhan bahawa Islam itu agama terrorist. Namun, sebaliknya berlaku pada Muslim minoriti di beberapa negara termasuklah Myammar, Philipina, dan Thailand. Mereka sering ditindas dan tidak mendapat apa yang sepatutnya sebagai rakyat di negara mereka sendiri. Jadi, adakah dunia masih lagi menganggap Islam sebagai pengganas?

Berbalik kepada konflik yang berlaku antara Israel-Palestin, sebagai umat Islam, kita mesti teguh berdiri dibelakang saudara-saudara kita. Kita perlu membantu mereka dalam apa jua bentuk bantuan. Jika tidak dapat dengan wang ringgit, sekurang-kurangnya bantulah dengan doa dan munajat kepada Allah supaya mereka diberi kekuatan dan ketabahan. Inilah salah satu tanda kita mengasihi saudara-saudara kita. Bahkan dalam Islam jelas sekali bahawa orang-orang yang beriman itu bersaudara berdasarkan pegangan tawhid kepada Allah bukan berdasarkan pegangan politik, darjat, pangkat dan sebagainya. Justeru, marilah kita sama-sama menyatakan sokongan dan solidariti untuk Palestin dan merenungi satu hadis yang bermaksud: "tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri" (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Wallahua'lam...





*nyatakan sokongan dan solidariti anda melalui segment oleh saudara Ikhwan Yusuff dalam Team Blogger Support Gaza ...